Generasi muda masa kini mungkin kurang mengenali watak Keluang Man yang pernah popular di kaca televisyen satu ketika dahulu dan menariknya, watak adiwira ini akan membuat kemunculan semula pada tahun 2025 melalui sebuah filem yang diberi nama Keluang Man.
Filem ini berdasarkan daripada siri animasi bernama sama yang disiarkan di TV1 dari 1998 sehingga 2005 oleh Allahyarham Kamn Ismail.
Filem ini diumumkan pada 28 November 2023 oleh Astro Shaw dan akan ditayangkan pada 2025.
Sebelum Astro Shaw meneruskan projek mereka, mereka menjalin kerjasama dengan Iconic Animation Studio, pemilik harta intelek (IP) asal Keluang Man.
Penggambaran utama berlangsung dari Mei hingga Julai 2024 di beberapa lokasi termasuk Bandar Malaysia TUDM, Kluang di Johor, Perak, dan Lembah Klang.
Barisan Pelakon
Berikut merupakan antara barisan pelakon utama yang akan membintangi filem Keluang Man (2025) kelak:
- Nas-T sebagai Borhan
- Remy Ishak sebagai Shamsir
- Rosyam Nor sebagai Ahmad
- Anwaar Beg Moghal sebagai Inspektor Sahab
- Shweta Sekhon sebagai Doktor Malini
- Amelia Henderson
- Daniella Sya
- Dennis Yin
- Sham Sunder Binwani
- Halim Othman
- Azlee Jaafar
- Wahid Senario
Keluang Man Cinematic Universe
Hype untuk filem aksi nyata Keluang Man yang akan datang semakin meningkat apabila pengarah Anwari mendedahkan bahawa filem ini akan menjadi yang pertama daripada enam filem yang dirancang untuk fasa pertama francais tersebut.
Anwari menyatakan bahawa filem pertama Keluang Man akan memberi tumpuan utama kepada daerah Kluang di Johor sebagai penghormatan kepada tempat lahir wira Malaysia itu, manakala lima lagi filem akan berlatarkan Semenanjung Malaysia.
Antara tajuk yang telah disahkan untuk francais Keluang Man termasuk Baling, Patani, Keluang Man 2, Besut, dan Kataha (Kedah Tua) – yang akan memperkenalkan legenda atau wira lain dari kawasan tersebut.
Filem-filem ini akan memperkenalkan siri cerita saling berkaitan yang membawa penonton menjelajah Semenanjung Malaysia, dari Kluang di Johor ke Baling di Kedah, ke Pattani di Thailand, ke Besut di Terengganu, dan kembali ke Kluang.
Sinopsis Keluang Man (2025)
Filem ini mengisahkan Borhan, seorang bekas pesakit hospital mental di Tampoi, yang menjalani kehidupan sebagai seorang wira misteri bernama Keluang Man.
Dia menggunakan kepakarannya dalam seni mempertahankan diri dan kebijaksanaannya untuk melawan jenayah di bandar kecil Kluang. Dalam filem ini, Borhan perlu berdepan ancaman besar apabila sebuah organisasi jenayah rahsia muncul, diketuai oleh musuh utamanya, Shamsir.
Dibantu oleh sahabatnya Inspektor Sahab, Borhan bergelut dengan konflik dalaman, persoalan tentang kewarasannya, dan cabaran menjadi pelindung yang sebenar.
Dengan elemen aksi, drama, dan humor, filem ini memberi penghormatan kepada siri asal sambil menyuntik elemen moden.
Artikel berkaitan: Dongeng Sang Kancil – Sinopsis, Pelakon Suara, Trailer, Tarikh Tayangan
Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU)
Selari dengan pengumuman tayangan Keluang Man (2025), pihak Astro Shaw turut mengumumkan Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) yang akan mengikut jejak langkah gergasi Hollywood – Marvel Cinematic Universe (MCU).
Langkah ini dijangka menjadi pemangkin kepada revolusi dalam industri sinema Malaysia sekali gus mengukuhkan kedudukan industri perfileman negara di persada antarabangsa.
Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) adalah alam sinematik Malaysia yang dibangunkan oleh Astro Shaw, menghubungkan filem-filem tempatan dalam dunia yang saling berkait.
Bermula dengan filem Keluang Man (2025), adaptasi siri animasi klasik, ASCU turut melibatkan filem seperti Kahar: Kapla High Council dan Polis Evo.
Alam ini membawa tema adiwira, jenayah, dan aksi, bertujuan memaparkan kisah pelbagai watak dengan budaya Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan menaikkan standard filem tempatan, mempersembahkan kisah unik yang relevan kepada penonton Malaysia dan global.
Tarikh tayangan
Filem “Keluang Man” dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara menjelang Mei 2025.