Berikut merupakan karangan cara menangani stress untuk rujukan para murid.
Isi penting dan contoh karangan boleh dirujuk di bawah.
Isi Penting Karangan Cara Menangani Stress
1. Sentiasa Melakukan Aktiviti Riadah
- Aktiviti riadah dapat melupakan segala masalah dan tekanan yang dihadapi.
- Aktiviti riadah yang boleh dilakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan.
- Selain membantu mengurangkan ketegangan otot dan stress, aktiviti riadah dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin.
- Mengakibatkan kita berasa lega dan tenang.
2. Sentiasa Berfikiran Positif
- Cara berfikiran positif dapat membantu menangani stress dengan lebih berkesan.
- Contohnya, jika menerima kritikan atau teguran yang diberikan, kita perlu menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina.
- Kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu.
- Stress juga boleh berlaku disebabkan prasangka dan salah tafsir kita terhadap sesuatu situasi.
3. Mendengar Muzik
- Muzik adalah pencetus kegembiraan dan keceriaan kepada manusia.
- Bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan.
- Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya yang mampu mententeramkan jiwa.
- Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari kita telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik.
4. Melakukan Ibadat
- Beribadat dapat memberi sokongan emosi dan boleh melegakan perasan seseorang.
- Contohnya, melakukan solat dapat memberikan ketenangan dan melupakan semua tekanan yang saya hadapi.
- Apabila rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita.
- Duduk antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan.
- Apabila beribadat, jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih.
Contoh Karangan Cara Menangani Stress
i) PENDAHULUAN
Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi stress dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, ‘bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora.’ Bagaimanapun, stress yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Stress yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kedaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, stress mungkin membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang Iainnya pula menganggap stress sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah boleh diambil bagi menangani masalah stress.
ii) ISI 1: SENTIASA MELAKUKAN AKTIVITI RIADAH
Aktiviti riadah boleh menangani stress dalam kehidupan seseorang. Apabila kita melakukan aktiviti riadah, kita akan melupakan segala masalah dan tekanan yang dihadapi. Aktiviti riadah yang boleh dilakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Ini kerana, selain membantu mengurangkan ketegangan otot dan stress, aktiviti riadah dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin. Ini akan mengakibatkan kita berasa lega dan tenang. Oleh kerana itulah, kita digalakkan untuk melakukan aktiviti riadah sebagai salah satu cara menangani stress.
iii) ISI 2: SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF
Stress juga dapat ditangani apabila kita sentiasa berfikiran positif. Cara berfikiran positif akan dapat membantu kita menangani stress dengan lebih berkesan. Sebagai contoh, jika kita menerima kritikan atau teguran yang diberikan, kita perlu menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Oleh kerana itu, kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Selain itu juga, stress juga boleh berlaku disebabkan prasangka dan salah tafsir kita terhadap sesuatu situasi. Oleh kerana itu, kita perlu sentiasa berfikiran positif dengan cuba melihat kebaikan atau keadaan positif dalam mana-mana situasi yang bersifat negatif.
iv) ISI 3: MENDENGAR MUZIK
Salah satu cara untuk menangani stress ialah mendengar muzik. Muzik adalah pencetus kegembiraan dan keceriaan kepada manusia. Ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya yang mampu mententeramkan jiwa. Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari kita telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah muzik berupaya mengurangkan tekanan yang dihadapi.
v) ISI 4: MELAKUKAN IBADAT
Melakukan ibadat adalah salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Beribadat dapat memberi sokongan emosi dan boleh melegakan perasan seseorang. Contohnya, melakukan solat dapat memberikan ketenangan dan melupakan semua tekanan yang saya hadapi. Apabila kita rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Selain itu, duduk antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Oleh kerana itulah apabila kita beribadat, jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Lantaran itulah, ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan stress yang dihadapi.
vi) PENUTUP
Kesimpulannya, stress mesti ditangani secara berterusan bagi memastikan kita sihat dari segi fizikal, emosi dan minda. Punca stres perlu dikenal pasti dan tindakan susulan perlu diambil untuk mencari jalan penyelesaian kepada punca stres tersebut. Kita perlulah mengamalkan kemahiran daya tindak yang bersesuaian untuk menangani stres di dalam kehidupan kita.