Bagi murid yang mula untuk menulis karangan Bahasa Melayu, berikut disertakan format dan tips untuk penulisan karangan.
Ini penting bagi memastikan karangan yang dikarang adalah mengikut format dan menjawab kehendak soalan.
Format Karangan Bahasa Melayu
Umumnya, karangan Bahasa Melayu ditulis melibatkan 3 format utama iaitu:
- Pendahuluan/Pengenalan
- Isi
- Penutup
i) Pendahuluan/Pengenalan
- Pendahuluan/pengenalan ditulis untuk memperkenalkan secara umum berkaitan tajuk karangan.
- Pendahuluan/pengenalan ditulis secara ringkas dan umum melibatkan tiga sehingga ayat sahaja.
- Karangan yang baik adalah apabila penulis mampu memberikan pendahuluan/penganalan yang menarik.
ii) Isi
- Isi merupakan elemen penting dalam karangan kerana ia menjawab persoalan yang diberikan.
- Isi perlu disusun secara teratur dan saling berkait antara satu sama lain.
- Setiap isi mestilah ditulis dalam bentuk perenggan.
- Isi utama mestilah didahulukan dan kemudiannya disertai dengan isi-isi yang lain.
iii) Penutup
- Penutup menjadi kesimpulan atau rumusan sesuatu karangan.
- Murid boleh memberikan pendapat sendiri secara umum di bahagian penutup mengenai tajuk karangan.
Contoh Karangan Bahasa Melayu
Antara contoh karangan yang boleh dijadikan rumusan adalah seperti berikut:
Soalan: Amalan gotong royong semakin pudar dijadikan amalan dalam kalangan masyarakat. Tulis karangan mengenai faedah amalan gotong-royong dalam kalangan masyarakat.
i) PENDAHULUAN
Menurut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud amalan saling menolong atau kerja bersama-sama. Masyarakat Malaysia pada hari ini, kurang mengamalkan gotong-royong oleh sebab mereka lebih suka duduk di dalam rumah sendiri sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan komputer. Sebenarnya, amalan bergotong-royong merupakan amalan yang mulia dan harus dipupuk sejak kecil. Amalan bergotong-royong juga telah banyak membawa kebaikan kepada kita.
ii) ISI
Pertama sekali, bergotong-royong dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan latar belakang. Melalui aktiviti gotong-royong, kita dapat memahami dan menghormati adat istiadat kaum lain tanpa menimbulkan rasa waswas dan curiga.
Selain itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mempercepat dan mempermudah kerja seharian. jika semua orang bersatu padu, tolong-menolong, maka kerja yang sukar atau berat akan menjadi senang dan ringan. Contohnya, sekumpulan murid diberi tugasan oleh guru untuk membersihkan taman di kawasan sekolah. Jika murid-murid bekerjasama dan tidak malas, aktiviti pembersihan taman dapat disiapkan dalam masa yang singkat.
Amalan gotong-royong juga dapat menperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat berbilang ras dan agama. Dalam satu taman, terdapat jiran tetangga yang berbilang kaum dan agama. Oleh itu, semangat kejiranan dapat dipererat melalui aktiviti-aktiviti seperti majlis kenduri-kendara, musim perayaan utama, kempen yang berkaitan dengan semangat kejiranan atau aktiviti yang memerlukan kerjasama semua orang.
Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan pesekitaran yang bersih dan ceria. Kawasan yang bersih dan ceria dapat mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera bak kata slogan pihak berkuasa tempatan, yakni “negara bersih, rakyat sihat.”
iii) PENUTUP
Secara kesimpulannya, aktiviti gotong-royong banyak mendatangkan kebaikan kepada penduduk setempat. Ini terutamanya Malaysia yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama perlu hidup aman makmur, saling menghormati dan bekerjsama. Peribahasa Melayu ada menyatakan, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.”