Pernahkah anda dengar tentang kanser limfoma?
Kanser limfoma adalah kanser darah yang dikaitkan dengan sel limfosit di kelenjar limfa membiak di luar kawalan.
Limfosit adalah sejenis sel darah putih yang berfungsi menghasilkan antibodi.
Kira-kira 60 % penghidap kanser di Malaysia termasuk Limfoma hanya dapat dikesan di peringkat akhir sekali gus sukar dirawat.
Pada masa yang sama, kanser limfoma juga tergolong dalam 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Oleh itu, pengesanan awal amat penting khususnya bagi golongan berisiko tinggi.
Terdapat 2 kategori limfoma iaitu Hodgkin Lymphoma dan Non-Hodgkin Lymphoma.
Bagaimana Kanser Limfoma Terjadi?
Limfoma berlaku apabila sel darah putih yang dipanggil limfosit membiak secara tidak terkawal. Tempoh kitaran hidup sel ini biasanya pendek sahaja dan akan mati sendiri di dalam badan.
Namun, sel limfosit yang membiak dalam tubuh pesakit limfoma tidak mati dan sebaliknya merebak ke seluruh tubuh.
Gejala Kanser Limfoma
Pesakit limfoma boleh menunjukkan beberapa gejala seperti berikut :
- Pembengkakan di kelenjar limfa atau hati dan limpa
- Benjol di leher, ketiak atau pangkal peha
- Demam yang berpanjangan
- Berat badan menyusut
- Ruam serta kegatalan pada kulit
- Mudah rasa letih dan tidak bertenaga
- Hilang selera makan
- Mudah lebam
Golongan Berisiko
Beberapa individu yang tergolong seperti di bawah lebih cenderung untuk menghidap kanser darah iaitu :
- Pesakit jangkitan HIV, EBV, Helicobacter pylori, hepatitis B dan C.
- Pesakit autoimun
- Penghidap penyakit keturunan seperti Ataxia telangectasia
- Pesakit kanser genetik atau keturunan
- Individu yang sering terdedah kepada bahan toksik seperti racun serangga, racun rumpai dan benzene.
Cara Diagnos Limfoma
Tiada ujian saringan untuk kanser ini. Oleh sebab itulah pesakit perlu peka dengan gejala yang mungkin dialami.
Pada peringkat awal, doktor akan lakukan biopsi untuk mengesan sel limfoma yang tumbuh pada benjolan kelenjar limfa.
Sekiranya keputusan biopsi didapati positif, doktor akan lakukan pemeriksaan kesihatan yang lebih lanjut untuk ketahui tahap kanser yang dialami pesakit.
Antara prosedur yang akan dilakukan adalah :
- X-ray dada
- Ujian darah untuk semak kiraan sel darah merah dan putih
- Ujan tisu dan benjolan kelenjar limfa
- Pengambilan sampel cecair daripada sumsum tulang
- Ultrasound pada kawasan abdomen
- CT atau MRI scan juga mungkin dilakukan sekiranya perlu.
Rawatan Kanser Limfoma
Bergantung kepada beberapa faktor seperti usia, tahap limfoma dan status fizikal pesakit, terdapat beberapa rawatan yang boleh diberikan.
Antara kaedah rawatan yang disyorkan adalah :
- Kimoterapi
- Radioterapi
- Pemindahan sumsum tulang
- Imunotropi iaitu rawatan menggunakan sistem imun untuk memusnahkan sel-sel kanser.
Orang ramai disarankan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dari klinik jika menunjukkan gejala kanser limfoma.
Ini penting agar ia dapat dikesan dan dirawat segera bagi meningkatkan peluang untuk sembuh.
Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, Healthline