Kanser lidah merupakan salah satu yang dihadapi oleh sesetengah pesakit yang mengakibatkan lidah mereka mengalami tumor atau lesi.
Kebanyakan kes kanser adalah di antara umur 50 hingga 60 tahun yang mana lelaki adalah lebih cenderung untuk mengidap kanser ini daripada wanita.
Jika anda mengalami penyakit ini, anda dinasihat untuk segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Mengenai Kanser Lidah
Kanser ini berlaku apabila sel-sel pada lidah menjadi kanser dan membentuk ketumbuhan dan kebanyakan kes terletak pada hujung dan sisi lidah.
Separuh daripada semua kanser lidah terletak pada bahagian pangkal lidah dan kadang kala ia juga juga boleh berlaku dalam keadaan yang disebut “leukoplakia”, iaitu bahagian lidah yang tebal dan berwarna keputihan.
Leukoplakia boleh disebabkan oleh pertumbuhan sel berlebihan dan umum terjadi pada pengguna tembakau.
90 peratus kes dengan kanser dalam mulut adalah pesakit yang merokok dan risiko mengidap kanser lidah dan mulut adalah enam kali ganda di kalangan penghisap rokok.
Peringkat Kanser Lidah
Pesakit yang dikesan dengan kanser pada peringkat l dan ll dianggarkan mempunyai 80% peluang untuk hidup selama 5 tahun sekiranya dikesan awal namun pesakit ini juga boleh sembuh dan sihat seperti sedia kala.
Namun jika tidak dikesan awal dan dirawat, sel yang tidak normal ini akan tumbuh dan membentuk ketumbuhan lain.
Sel kanser boleh berpecah atau merebak dari ketumbuhan asal, dan memasuki ke bahagian badan yang lain melalui salur darah dan salur limpa (metastasis).
Pada peringkat tersebut, pesakit telah memasuki peringkat lewat (peringkat lll dan lV) dan hanya mempunyai peluang 40% sahaja untuk hidup selama 5 tahun.
Kaedah Pengesanan Kanser
Kanser ini dapat dikesan dengan pemeriksaan mulut dan kerongkong anda dengan menggunakan “skop,” yang merupakan tiub nipis dengan kamera.
Semasa prosedur ini, doktor mungkin melakukan prosedur yang dipanggil biopsi dengan doktor mengambil sampel kecil tisu dari kawasan yang kelihatan seperti kanser.
Pemeriksaan sampel tisu kemudian dijalankan dalam makmal.
Selain itu, pesakit juga mungkin memerlukan ujian pengimejan, seperti MRI, CT, atau imbasan PET.
Simptom Kanser Lidah
Antara simptom kanser ini adalah seperti berikut:
- Sakit di rahang atau tekak
- Sakit ketika menelan
- Rasa seolah-olah ada yang menangkap di dalam kerongkong
- Lidah atau rahang kaku
- Masalah menelan atau mengunyah makanan
- Tompokan merah atau putih yang terbentuk pada lapisan mulut atau lidah
- Ulser lidah yang tidak akan sembuh
- Kebas di dalam mulut
- Pendarahan dari lidah tanpa sebab
- Ketulan pada lidah yang tidak sembuh
Punca Kanser Lidah
Kanser ini dikenalpasti berpunca daripada perkara-perkara berikut:
- Penggunaan tembakau
- Ketagihan alkohol
- genetik
- pemakanan yang tidak sihat
- Kunyah daun sirih
- Gigi bergerigi
- Dijangkiti dengan HPV (Human papillomavirus)
Kaedah Rawatan
Rawatan kanser ini boleh dijalankan menerusi kaedah seperti:
- Pembedahan – Kebanyakan kes kanser lidah perlu dirawat dengan pembedahan
- Kemoterapi
- Terapi radiasi – Sinaran membunuh sel kanser.
Info Lanjut
Info lanjut mengenai kanser lidah ini, sila layari laman web https://hellodoktor.com/kanser/kanser-leher-kepala/karsinoma-lidah-boleh-mula-berlaku-pada-lidah-atau-pangkal-lidah/ atau https://www.johorentdoctor.com/kanser-lidah-bahasa.