Kalori Durian, Khasiat & Keburukan Jika Makan Berlebihan

Kalori Durian, Khasiat & Keburukan Jika Makan Berlebihan
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kalori Durian, Khasiat & Keburukan Jika Makan Berlebihan

Bagi peminat durian, musim durian adalah antara waktu yang ditunggu-tunggu setiap tahun. 

Durian, adalah salah satu buah tempatan yang mempunyai peminatnya tersendiri. Aromanya sahaja sudah cukup membuat ramai orang teruja!

Namun, tahukah anda bahawa di sebalik keenakan buah ini, terdapat fakta menarik mengenai kalori durian dan khasiat durian yang perlu anda tahu sebelum ‘melantak’ tanpa had?

Jom baca lebih lanjut di bawah. 

Berapa Kalori Durian?

Ramai anggap durian adalah buah yang mempunyai khasiat seperti buah-buahan yang lain. Namun, hakikatnya, 1 ulas durian boleh menyamai kalori satu mangkuk nasi kecil. Kandungan gulanya juga bukan sedikit!

Contohnya:

  • 1 ulas Musang King ≈ 59 kcal ≈ 2 sudu teh gula
  • 1 ulas Kradum (Thailand) ≈ 74 kcal ≈ 2.5 sudu teh gula
  • 1 ulas durian kampung ≈ 29 kcal ≈ 1 sudu teh gula

Kalau makan 4–5 ulas durian premium, jumlah kalori dan gula yang masuk ke dalam badan boleh menyamai sepinggan nasi putih bersama air manis!

Inilah sebabnya anda perlu berhati-hati dalam pengambilan durian,  terutamanya jika sedang mengawal berat badan atau mengamalkan diet rendah kalori. 

Namun, jangan risau, durian tetap boleh dinikmati dalam jumlah sederhana tanpa rasa bersalah!

Jadi, berapa ulas durian yang selamat?

Untuk individu dewasa yang sihat:

  • 2–3 ulas sehari sudah mencukupi
  • Pilih jenis yang kurang manis seperti D24 atau durian kampung
  • Elakkan gabungkan dengan makanan berat, minuman manis atau kuih-muih

Untuk individu yang ada diabetes, darah tinggi atau masalah buah pinggang:

  • 1 ulas sudah mencukupi (bergantung kepada kawalan kesihatan masing-masing). 

BACA JUGA: Port Makan Durian Segamat, Johor 2025 – Lokasi & Harga

Khasiat Buah Durian untuk Kesihatan

DURIAN yang dikenali sebagai “raja buah” dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara, bukan sahaja digemari kerana rasanya yang unik dan aromanya yang kuat, malah turut menyimpan pelbagai manfaat kesihatan yang jarang diperkatakan. 

1. Mengandungi Pelbagai Nutrien

Buah ini mengandungi pelbagai nutrien penting seperti vitamin C, vitamin B-kompleks (B1, B2, B6 dan folat), kalium, magnesium, mangan serta serat makanan yang tinggi. 

2. Sumber Tenaga Semulajadi

Kandungan kalori dalam 100 gram isi durian dianggarkan sekitar 150 hingga 185 kalori, menjadikannya sumber tenaga semula jadi yang sesuai untuk keperluan harian.

3. Melancarkan Sistem Penghadaman

Durian juga dapat membantu melancarkan sistem penghadaman. Kandungan seratnya yang tinggi membantu meningkatkan pergerakan usus sekali gus mencegah sembelit dan memperbaiki kesihatan usus secara keseluruhan. 

Vitamin B1 (tiamin) dalam durian juga merangsang pengeluaran asid hidroklorik dalam perut yang penting untuk pencernaan makanan yang lebih cekap.

4. Menyumbang Kesihatan Jantung

Selain itu, buah durian turut menyumbang kepada kesihatan jantung. Kandungan kalium yang tinggi membantu mengawal tekanan darah manakala lemak tak tepu serta sebatian antioksidan seperti flavonoid dan polifenol membantu menurunkan paras kolesterol jahat (LDL) dalam darah. 

Komponen ini turut bertindak sebagai agen anti-radang dan dapat mengurangkan risiko pembentukan plak di arteri sekaligus mengurangkan risiko penyakit jantung.

5. Memperbaiki Hormon

Dari segi kesihatan mental dan kestabilan emosi, durian mengandungi sejenis asid amino yang dikenali sebagai triptofan. 

Triptofan berfungsi sebagai prekursor kepada serotonin dan melatonin – hormon yang memainkan peranan penting dalam mengawal mood, mengurangkan tekanan dan memperbaiki kualiti tidur. 

Oleh itu, pengambilan durian dalam jumlah yang sederhana boleh memberikan kesan positif terhadap kesihatan emosi dan tidur.

6. Antioksidan Tinggi

Buah durian juga dikenali mempunyai sifat antioksidan yang tinggi. Vitamin C, karotenoid dan sebatian bioaktif lain dalam durian berpotensi membantu meneutralkan radikal bebas dalam badan. 

Radikal bebas yang berlebihan boleh merosakkan sel dan menyumbang kepada pembentukan pelbagai penyakit kronik termasuk kanser. 

Kajian makmal menunjukkan bahawa sebatian sulfur dalam durian berupaya menghalangi percambahan sel kanser tertent sekaligus membuka ruang kepada penyelidikan lanjut dalam bidang perubatan dan pemakanan.

Keburukan Buah Durian

Berikut adalah keburukan buah durian yang perlu anda tahu, terutamanya jika diambil secara berlebihan atau oleh individu tertentu:

1. Tinggi Kalori dan Gula

Durian mengandungi kalori dan gula yang tinggi. Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan peningkatan berat badan serta meningkatkan risiko obesiti dan diabetes terutamanya bagi mereka yang sudah menghidap penyakit kencing manis.

2. Bahaya untuk Pesakit Buah Pinggang

Pesakit buah pinggang kronik tidak digalakkan makan durian walaupun hanya satu ulas kerana kandungan kalium yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan kalium dalam darah, mengganggu fungsi jantung dan berpotensi membawa maut.

3. Menyebabkan Ketidakselesaan Perut

Durian membebaskan gas dan alkohol semasa dihadam, yang boleh menyebabkan kembung, perut berangin, keradangan perut, dan rasa tidak selesa, terutama jika diambil berlebihan.

4. Meningkatkan Suhu Badan

Proses metabolik semasa penghadaman durian boleh menyebabkan badan terasa panas, walaupun tidak menyebabkan demam secara langsung. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakselesaan bagi sesetengah individu.

5. Kesan Sampingan Lain

Sesetengah individu mungkin mengalami jantung berdebar, sakit kepala, pening, dan rasa panas selepas makan durian secara berlebihan.

6. Tidak Sesuai untuk Wanita Mengandung dengan Diabetes Gestasi

Wanita hamil yang menghidap diabetes gestasi digalakkan mengelak durian kerana kandungan gulanya yang tinggi boleh membahayakan kesihatan mereka dan bayi.

7. Risiko kepada Pesakit Jantung

Pengambilan durian secara berlebihan boleh meningkatkan risiko gangguan jantung, terutama jika seseorang itu sudah mempunyai masalah jantung atau tekanan darah tinggi.

Walaupun durian mempunyai pelbagai manfaat kesihatan, pengambilannya perlulah berpada-pada. 

Jika diambil secara sederhana dan berhemah, durian mampu menyumbang kepada gaya hidup sihat serta memperkayakan diet harian rakyat Malaysia.

Info Menarik Tentang Durian Yang Anda Patut Tahu

1. Durian Ada Lebih 30 Spesies — Tapi Hanya Beberapa Yang Boleh Dimakan

Walaupun kita biasa dengan jenis seperti Musang King, D24, Udang Merah, sebenarnya ada lebih 30 spesies durian, tetapi hanya sekitar 9 jenis yang boleh dimakan. Selebihnya digunakan untuk tujuan kajian, hiasan atau ditanam di hutan.

2. Durian Sudah Wujud Sejak Zaman Purba

Durian telah direkodkan dalam manuskrip kuno sejak abad ke-15, malah disebut dalam catatan pengembara seperti Niccolò de’ Conti dan Ibnu Battuta yang menjelajah ke Asia Tenggara. Di negara seperti Malaysia dan Indonesia, durian telah menjadi sebahagian daripada budaya turun-temurun.

3. Durian Hanya Berbunga Sekali atau Dua Kali Setahun

Ini menjadikan durian sebagai buah bermusim yang sukar diramal. Ada tahun melimpah ruah, ada tahun sukar dicari. Musim durian utama biasanya antara Jun hingga Ogos dan Disember hingga Januari, bergantung kepada lokasi dan iklim.

4.  Durian Dilarang Di Banyak Tempat Umum

Disebabkan aromanya yang kuat dan ‘tajam’, durian dilarang dibawa masuk ke hotel, lif, pengangkutan awam (terutama di Singapura dan Thailand), dan juga dalam pesawat. Ia disenaraikan sebagai buah yang “berbahaya bau” di tempat tertentu.

5. Durian Tidak Digalakkan Dimakan Dengan Alkohol

Gabungan durian dan alkohol dikatakan boleh menyebabkan gangguan metabolisme. Ini kerana durian mengandungi sulfur semula jadi yang boleh menghalang enzim untuk memecahkan alkohol dalam hati. Ada kes yang melaporkan sesak nafas dan pening melampau akibat gabungan ini.

6. Durian Mengandungi Senyawa Sulfur Yang Unik

Senyawa sulfur inilah yang menjadikan bau durian sangat ‘kuat’. Namun, bahan ini juga mempunyai ciri-ciri antioksidan dan antikanser, menjadikannya buah eksotik yang bukan sekadar sedap tetapi juga bernilai dalam kajian perubatan.

7.  Durian Meningkatkan Fungsi Otak Secara Semula Jadi

Kandungan vitamin B6 (pyridoxine) dalam durian menyokong penghasilan neurotransmitter dalam otak, membantu fokus dan daya ingatan. Ia juga bagus untuk pelajar atau mereka yang bekerja dalam bidang yang memerlukan daya tumpuan tinggi.

8. Durian Juga Digunakan Dalam Penyelidikan Tenaga

Penyelidik di Malaysia pernah mengkaji kulit durian sebagai sumber tenaga bio dan bahan aktif untuk supercapacitor (penyimpan tenaga elektrik). Ini menunjukkan bahawa buah ini berpotensi besar dalam sains moden.

9. Durian Mempunyai Nilai Eksport Yang Tinggi

Malaysia, Thailand dan Indonesia adalah antara pengeksport durian terbesar ke China, Korea Selatan, dan negara-negara Asia Timur. Durian premium seperti Musang King boleh mencecah harga ratusan ringgit sekilogram, terutama di luar negara.

Sumber: 

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut