Kajian Tindakan: Tingkatkan Profesionalisma Guru di Sekolah

Kajian tindakan melibatkan pengumpulan dan penterjemahan data untuk memudahkan pemahaman seseorang tentang sesuatu fenomena atau permasalahan di tempat kerja.

Perkara utama dalam prinsip pelaksanaan kajian tindakan ialah matlamat untuk
memperbaiki amalan seseorang atau mengatasi masalah yang dihadapi dengan
membuat tindakan terhadap penemuan yang didapati tentang sesuatu amalan itu.

Pengamalan ‘research thinking and orientation’ dan ‘research-based decision-making’ dalam tugas harian dalam kalangan guru merupakan satu daripada pendekatan terbaik untuk meningkatkan mutu kecemerlangan pendidikan, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran.

Definisi Kajian Tindakan

Kajian tindakan adalah satu kajian yang berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh peserta iaitu pengamal pendidikan, guru atau pendidik sebagai penyelidik dalam situasi sosial itu sendiri.

Sebagai penyelidik, mereka melaksanakan tindakan praktik (intervensi) bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti amalan masing-masing, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan.

Ia melibatkan proses membuat refleksi, merancang, melaksanakan dan memerhati.

Tujuan dan objektif

Kajian tindakan (KT) bertujuan untuk memperbaiki amalan pengajaran, memperbaiki atau meningkatkan kefahaman terhadap amalan pengajaran, dan memperbaiki situasi di mana pengajaran dijalankan.

Tujuan pengenalannya adalah untuk memastikan budaya penyelidikan dapat dipupuk dalam kalangan guru-guru.

KT juga didapati membantu guru-guru untuk membuat penambahbaikan secara professional dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sekiranya guru-guru mampu untuk menyelesaikan masalah berdasarkan KT maka guru-guru mampu untuk membuat pelbagai perubahan.

KT juga didapati sebagai satu medan perkongsian dalam kalangan guru-guru untuk berkongsi idea-idea yang telah diketengahkan melalui KT.

> Dapatkan buku Asas Penulisan Laporan Kajian Tindakan (Untuk Guru Sekolah Menengah Dan Rendah)

Sejarah pengenalan di Malaysia

Kajian tindakan di Malaysia mula diperkenalkan secara formal kepada 41 orang
pensyarah maktab perguruan serta pegawai dari Bahagian Pendidikan Guru (BPG)
pada Disember 1988 melalui satu kursus jangka pendek (BPPDP, 2005).

Kursus ini dikendalikan oleh Prof. Stephen Kemmis dari School of Education, Deakin University, Australia pada 11 hingga 20 Disember 1988.

Dalam tahun 1990an, idea “guru sebagai penyelidik” telah menjadi sebahagian daripada kandungan kursus program praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan di Institut Pengajian Guru Malaysia (IPGM) sehingga kini.

Buku Manual Kajian Tindakan

Sekiranya anda masih baru dengan konsep Kajian Tindakan, sila rujuk Buku Manual Kajian Tindakan di bawah yang telah dihasilkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia pada Disember 2008.

Manual Kajian Tindakan dihasilkan dan dimantapkan bersesuaian dengan keperluan semasa dan akan datang.

Ia merupakan garis panduan bagi melaksanakan kajian berdasarkan proses yang betul, tepat dan sistematik supaya dapatan yang bermakna dapat dihasilkan serta mampu menyumbang kepada penambahbaikan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran dan pengurusan pendidikan.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!