Kain songket merupakan antara warisan seni Melayu yang popular dalam kalangan masyarakat. Seni tenunan kain ini juga sering bernilai tinggi kerana proses penghasilannya yang halus dan rumit.
Ia juga menjadi lambang kehalusan seni kraf tangan masyarakat Melayu yang diwarisi sejak turun temurun.
Seni tenunan benang sutera atau kapas yang ditenun bersama benang emas dan perak ini terkenal di Tanah Melayu sejak abad ke-15.
Pada zaman dahulu, kain songket juga melambangkan kebesaran, kekayaan serta kekuasaan. Oleh sebab itulah dahulu hanya kerabat diraja, pembesar istana dan golongan bangsawan sahaja yang mampu memakainya.
Identiti seni tenunan songket boleh dikenalpasti melalui ragam hias serta reka corak yang banyak mengandungi unsur-unsur alam seperti bunga, dedaun, unggas, burung dan motif geometrik.
Meskipun kain tenun ini masih dianggap sebagai tekstil Melayu klasik yang mewah, namun songket kini boleh dipakai oleh setiap lapisan masyarakat khususnya pada hari perayaan dan istiadat tertentu.
Songket bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah ia juga boleh ditemui di negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina.
Di rantau Nusantara, terdapat juga rekaan songket khusus mengikut kawasan seperti songket Sarawak, Terengganu, Kelantan, Sumatera, Thailand, Sumbawa dan sebagainya.
Di Malaysia, Perusahaan songket banyak tertumpu di beberapa negeri seperti Pahang, Terengganu, Johor, Melaka dan Sarawak.
Asal Usul Kain Songket
Kain songket mendapat namanya daripada teknik mengungkit benang emas di celah benang pakan dan loseng.
Songket dihasilhan menggunakan alat tenunan kek Melayu serta benang emas sebagai benang pakan tambahan.
Kain tenunan ini dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu songket tekat 3 dan 5.
Bilangan ini merujuk kepada penggunaan beberapa ukuran antara lembaran benang emas yang ditenun dengan benang sutera.
Difahamkan bahawa songket tekat 3 lebih sulit untuk dihasilkan berbanding songket tekat 5. Walau bagaimanapun, songket tekat 3 mempunyai hasil yang lebih kemas dari segi penyusunan benang.
Bunga atau hiasan di kepala kain songket dihasilkan mengikut corak atau ragam hias tertentu antaranya tampok manggis, buah kasmak, lawi ayam, pucuk rebung dan sebagainya.
Dihasilkan proses pembuatannya yang rumit, harga sehelai kain songket adalah agak mahal dan sesetengahnya boleh mencapai sehingga ribuan ringgit.
Kegunaan Kain Songket
Secara umumnya, songket sering digunakan sebagai samping atau sarung untuk melengkapi baju Melayu dan membuat tengkolok.
Buat kaum wanita, songket boleh dijadikan tekstil untuk membuat pakaian atau sebagai kain selendang menutup kepala.
Ia juga sering menjadi tekstil popular bagi busana perkahwinan masyarakat Melayu.
Kini, kegunaan serta fungsi songket telah dikomersialkan dan dijadikan sebagai bahan aksesori dan hiasan dalaman antaranya beg, kasut, langsir, sarung kusyen, hiasan dinding dan alas meja.
Teknik Menjaga Songket
Bagi sesetengah orang, kain yang juga digelar sebagai ‘Ratu Fabrik’ ini boleh dijadikan koleksi berharga kerana nilainya yang akan menjadi lebih tinggi dari semasa ke semasa.
Sekiranya anda mempunyai kain songket atau pakaian yang dihasilkan daripada kain jenis ini, penjagaan rapi adalah sangat penting bagi mengekalkan kualiti serta ketahanannya.
Berikut adalah beberapa teknik menjaga songket yang terbaik :
- Gulungkan songket bagi mengelakkan benang tenunannya daripada patah atau rosak. Untuk menggulung songket, gunakan kertas bebas asid sebagai pelapik pada permukaan dalam dan luar kain sebelum digulungkan pada helaian kain songket.
- Kain sarung pelekat juga boleh digunakan sebagai alas untuk menggulung kain songket.
- Kemudian, simpan gulungan songket dengan cermat secara menegak di dalam almari bagi mengelakkan daripada dihempap oleh fabrik atau pakaian lain.
- Elakkan untuk menggosok kain songket kerana ini boleh menjejaskan kualiti tenunan benang emas.
- Cara terbaik untuk mencuci kain songket adalah melalui dry cleaning atau cucian kering.
Pada Disember 2021, Songket Malaysia kini diakui oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu Warisan Budaya Tidak Ketara.
Dengan pengiktirafan bertaraf antarabangsa ini, diharap ia dapat meningkatkan kesedaran ramai dalam melestarikan warisan tenunan songket.
Ini penting supaya khazanah budaya Melayu ini dikenali oleh generasi baharu dan tidak luput ditelan zaman.
Sumber : Facebook Jabatan Warisan Negara (1), (2), heritage.gov.my, Facebook Kraftangan Malaysia
Baca Juga : Pua Kumbu : Maksud, Kegunaan dan Pantang Larang