Sempena bulan Kemerdekaan, terdapat banyak program yang dianjurkan oleh kerajaan dan antara yang baru diperkenalkan adalah Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Inisiatif ini bertepakan untuk menterjemah semangat patriotik dan rasa bangga menjadi anak Malaysia melalui kibaran jalur gemilang.
Sebai rakyat, Jalur Gemilang yang dikibarkan mestilah dalam keadaan yang sempurna, iaitu bendera yang tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh, kerana ia adalah gambaran sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan negara
Latar belakang Jalur Gemilang
Jalur Gemilang ialah bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih yang sama lebar bermula dengan jalur merah di bahagian atas dan berakhir dengan jalur putih di bahagian bawah.
Jalur Bendera Malaysia melambangkan satu haluan yang lurus, hala tuju dan arah yang sama diikuti oleh rakyat negara ini dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
Jalur Gemilang ini mewakili keanggotaan 13 buah negeri manakala 1 jalur mewakili Kerajaan Persekutuan.
Gemilang pula bermaksud bercahaya terang benderang dan cemerlang.
Ia juga melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu serta boleh menaikkan imej negara di dalam dan di luar negara.
Oleh itu, Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang ini haruslah disambut baik oleh semua pihak.
Cara mengibarkan Jalur Gemilang
Bertepatan dengan , rakyat juga haruslah tahu adab dan pantang larang ketika mengibarkan Jalur Gemilang.
Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara. Oleh yang demikian, menaikkan dan menurunkannya hendaklah dalam keadaan tertib dan cara yang sopan.
- Sebelum menaikkan Jalur Gemilang, ujilah tali temali bendera bagi memastikan tali teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan Jalur Gemilang jatuh atau bergerak berayun-ayun tidak tentu kibarannya.
- Sebelum Jalur Gemilang dinaikkan, pastikan bendera dalam keadaan yang baik dan tidak terbalik.
- Mereka yang menaikkan dan menurunkan Jalur Gemilang hendaklah berpakaian kemas.
- Menaikkan dan menurunkan Jalur Gemilang hendaklah dengan tertib iaitu perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan sepenuhnya dahulu dan kemudian menurunkannya separuh tiang. Apabila menurunkan bendera separuh tiang, langkah pertama ialah menaikkan semula bendera tersebut sepenuhnya dan kemudian menurunkannya terus.
- Jalur Gemilang janganlah diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya.
- Jalur Gemilang janganlah dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselimpangkan ke bahu apabila sampai ke bawah.
- Selepas digunakan, Jalur Gemilang hendaklah dilipatkan dan disimpan dengan baik di tempat tertentu supaya tidak dilangkahi dan sebagainya
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia
Ayuh sambut seruan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dan kibarkan Jalur Gemilang dengan bangga!
Baca lagi: Cara Gantung Bendera Malaysia (Jalur Gemilang) Dengan Betul