Ikrar Rukun Negara: Sejarah Penggubalan & 5 Prinsip

Sebagai rakyat Malaysia, adalah perlu bagi kita untuk mengetahui dan menghayati ikrar Rukun Negara.

Oleh kerana itulah Kerajaan telah memperkenalkan Rukun Negara bertujuan menjaga keharmonian sosial serta menerap nilai budaya yang murni dalam setiap diri masyarakat
Malaysia.

Sejarah Penggubalan Rukun Negara

Setelah negara mencapai kemerdekaan, kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pertama menghadapi kesukaran untuk menguruskan sistem sosioekonomi yang diwarisi oleh penjajah British.

Sikap liberal Tunku dan ditambah pula oleh kelembutan beliau untuk melayan permintaan masyarakat berbilang kaum telah menyebabkan orang Melayu merasakan kehidupan mereka diabaikan.

Tumpuan Tunku yang terlalu berlebihan pada pertumbuhan material dan pasaran bebas
tanpa menggunakan kuasa kerajaan untuk melakukan campur tangan telah menyebabkan jurang di antara golongan berada dengan golongan tidak berada semakin melebar.

Titik-titik jurang antara kemewahan bandar dan kemiskinan desa, kemewahan orang bukan Melayu dengan kesempitan hidup orang Melayu, dan berbagai-bagai lagi adalah puncapunca yang mencetuskan keresahan kaum dan berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969.

Keadaan yang tercetus ini mengakibatkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969, lantas menyebabkan fungsi Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MEGERAN) ditubuhkan untuk menjalankan pentadbiran negara.

Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai pengarah operasi di bawah Akta Perintah Darurat selama 22 bulan sehinggalah perintah darurat telah dibubarkan.

Melalui MAGERAN telah ditubuhkan Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab dalam menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara dan salah satu hasilnya adalah lahirnya satu ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara yang digubal sebagai falsafah negara dan pendekatan baru ke arah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil.

Rukun Negara ini telah diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Objektif Penggubalan Rukun Negara

Objektif penggubalan Rukun Negara terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

i) Bahagian Pertama

Menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk:

• Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat,
• Memelihara satu cara hidup demokratik,
• Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,
• Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan
• Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

ii) Bahagian Kedua

Menggariskan Lima Prinsip Rukun Negara yang berikut:

• Kepercayaan Kepada Tuhan
• Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
• Keluhuran Perlembagaan
• Kedaulatan Undang-undang
• Kesopanan dan Kesusilaan

Teks Ikrar Rukun Negara

Teks ikrar bagi Rukun Negara boleh dirujuk seperti di bawah:

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya.
  • Memelihara cara hidup demokratik.
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama.
  • Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dengan berbagai-bagai corak.
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!