Ikan Kembung : Kandungan Nutrisi dan Manfaat Untuk Kesihatan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Jika kita menyentuh tentang sumber asid lemak omega-3 semulajadi, pasti ramai yang akan terlintas tentang ikan salmon.

Padahal ikan tempatan kita juga kaya dengan asid lemak tersebut termasuk ikan kembung.

Juga dikenali sebagai Indian Mackerel, ikan ini merupakan antara ikan kegemaran rakyat Malaysia dan mudah didapati di pasaran.

Ia juga sesuai untuk dijadikan pelbagai jenis juadah yang menyelerakan seperti asam pedas, singgang dan enak digoreng atau dibakar.  

Ingin tahu lagi kebaikan ikan ini untuk kesihatan tubuh? Ayuh kita semak sama-sama.

ikan kembung
Sumber : markwellfoods.co.nz

Kandungan Nutrisi

Bukan sahaja lazat, malah ikan kembung padat dengan pelbagai nutrisi penting untuk tubuh dan mampu melengkapi keperluan diet harian.

Antara nutrisi yang boleh didapati daripada ikan ini adalah :

Protein : 100 gram ikan kembung mampu membekalkan sebanyak 20 gram protein. Ini menjadikan ia sumber protein yang sangat baik.

Asid Lemak Omega-3 : Ikan ini merupakan salah satu ikan tempatan yang tinggi kandungan asid lemak omega-3.

Khusus dengan kebaikan eicosapentaenoic acid (EPA) dan docosahexaenoic acid (DHA), 100 gram ikan ini mampu membekalkan sekitar 1.5 gram asid lemak omega-3.

Seperti yang kita tahu, omega-3 adalah nutrisi yang penting bagi kesihatan mental, fizikal, penglihatan.

ikan kembung
SUmber : Facebook Nutritionist KKM

 Vitamin : Ikan ini juga padat dengan vitamin penting bagi kesihatan tubuh antaranya vitamin D, vitamin B12, niacin (vitamin B3) dan pyridoxine (vitamin B6).

Mineral : Selain vitamin, makanan laut ini juga kaya dengan kebaikan mineral termasuk selenium, fosforus, kalium, magnesium dan kalsium.

Khasiat Ikan Kembung Untuk Kesihatan

Menyihatkan Jantung

Kandungan asid lemak omega-3 yang terkandung dalam ikan ini juga membuatkan ia baik untuk meningkatkan kesihatan jantung.

Beberapa kajian mendapati asid lemak dalam ikan ini membantu dalam mengurangkan keradangan, menurunkan paras tigliserida serta membaiki paras lipid dalam darah.

Pengambilan ikan kembung secara kerap juga sering dikaitkan dengan penurunan risiko sakit jantung, dapat membaiki fungsi salur darah dan menurunkan tekanan darah.

Tambahan pula, terdapat kajian yang turut mendapati asid lemak ini dapat membantu menstabilkan degupan jantung.

Sesuai Untuk Diet

Ikan ini juga merupakan antara ikan yang rendah kandungan karbohidrat namun padat dengan protein serta pelbagai vitamin dan mineral.

Diet yang tinggi kandungan protein juga dapat membantu seseorang rasa kenyang pada tempoh yang lama.

Selain itu, kombinasi protein serta lemak sihat yang terkandung dalam ikan ini dapat menyokong metabolisma yang sihat bagi menurunkan berat badan atau mengekalkan berat badan ideal.

Ini menjadikannya sesuai untuk diamalkan bagi yang sedang berdiet atau sedang mengamalkan pemakanan sihat.

Baik Untuk Kesihatan Mental

Kebaikan asid lemak omega-3 dalam ikan ini, khususnya DHA didapati memainkan peranan penting dalam perkembangan serta fungsi otak.

Berdasarkan kajian saintifik, pengambilan asid lemak omega-3 yang mencukupi dapat meningkatkan kemahiran kognitif, menguatkan ingatan dan mengasah tumpuan seseorang.

Di samping itu, ia juga mengurangkan risiko kelemahan kemahiran kognitif akibat faktor usia seperti penyakit Alzheimer.

Kajian lain turut mendapati asid lemak omega-3 sering dikaitkan dengan pengurangan depression dan boleh membantu mengurangkan simptom anxiety.

Baik Untuk Kesihatan Mata

Ramai yang biasanya mendapatkan khasiat antioksida daripada sayur atau buah-buahan.

Namun, ramai yang terlepas pandang akan kebaikan antioksida yang terkandung dalam sumber protein termasuk ikan kembung.

Sebuah kajian menunjukkan bahawa manfaat antoksida serta asid lemak omega-3 dalam ikan ini dapat membantu melindungi mata daripada kerosakan makular akibat penuaan.

Perkara ini sering membelenggu golongan lanjut usia kerana boleh mengakibatkan penglihatan terjejas.

Vitamin dan mineral penting seperti selenium dan vitamin E dalam ikan kembung juga membantu dalam meneutralkan radikal bebas dan mengurangkan stres oksidatif di mata.

Wah, tak sangka rupanya ada pelbagai khasiat yang terkandung dalam ikan ini. Memang sesuai untuk diamalkan dalam diet harian.

Harganya juga lebih berpatutan daripada ikan salmon serta sesuai untuk dinikmati seisi keluarga.

Jom amalkan pengambilan ikan kembung sebagai sumber protein harian.

Sumber : healthifyme.com, imu.edu.my

Baca Juga : Ikan Tenggiri : Khasiat dan Kesan Sampingan Yang Anda Perlu Tahu

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut