Hipoglisemia berlaku apabila paras gula dalam darah pesakit di bawah 3.9 mmol/L.
Juga dikenali dengan terma hypo atau hypoglycemia, ia tidak hanya berlaku dalam kalangan pesakit kencing manis atau diabetes sahaja.
Malah, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sekiranya tahap gula dalam darah menjadi rendah.
Sekiranya tidak diatasi, ia boleh mengakibatkan komplikasi seperti pengsan, sawan atau koma.
Kekurangan gula yang berterusan pula dapat mengakibatkan kekejangan otot, pengsan, penurunan tahap kesedaran sehingga membawa kepada kerosakan sel otak dan sawan.
Lebih tragis lagi, hypo juga boleh mengakibatkan kematian!
Oleh itu, anda perlulah peka tentang punca dan tanda hypo serta cara pantas untuk mengatasinya.
Ayuh kita semak bersama-sama.
Punca Hipoglisemia
Pesakit boleh alami hipoglisemia atau kurang gula dalam badan jika:
- Makan terlalu sedikit atau lewat makan
- Penggunaan insulin atau ubat diabetes yang berlebihan
- Melakukan aktiviti fizikal berlebihan atau senaman lasak
- Minum alkohol
Masalah badan hypo berlaku apabila kadar insulin dan glukosa tidak seimbang.
Tanda Tanda Hypo / Simptom Gula Rendah Dalam Darah
Pesakit boleh menunjukkan beberapa tanda hypo apabila kandungan gula dalam darah rendah seperti :
- Menggigil
- Denyutan jantung laju
- Berpeluh
- Pening atau sakit kepala
- Penglihatan terjejas
- Cemas dan keletihan
- Kerap lapar
- Kulit menjadi pucat dan sejuk
Simptom gula darah rendah juga boleh berlaku ketika sedang tidur, di mana kadang-kadang boleh menyebabkan anda mengalami mimpi buruk atau menangis tanpa sedar.
Kerana gula berfungsi untuk memberi tenaga kepada badan, kekurangannya boleh menyebabkan rasa lesu dan tidak selesa.
Jika paras gula turun terlalu cepat, ia boleh menyebabkan seseorang pengsan atau terkena sawan.
Ada kemungkinan terdapat simptom lain yang tidak disebutkan di sini.
Jadi. sekiranya anda bimbang tentang sebarang gejala, sebaiknya berjumpa terus dengan doktor.
Faktor Risiko
Siapa yang lebih cenderung mengalami hypo atau gula rendah dalam badan?
Beberapa keadaan di bawah boleh meningkatkan kemungkinan seseorang mengalami hipoglisemia.
Antaranya termasuk:
- Penghidap diabetes yang mengambil ubat atau insulin.
- Pengambilan alkohol secara berlebihan.
- Mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit hati atau buah pinggang.
- Tubuh menghasilkan insulin secara berlebihan tanpa sebab jelas.
- Mengalami gangguan hormon seperti penyakit Addison atau masalah pada kelenjar pituitari.
Walaupun anda tidak mempunyai faktor-faktor ini, itu tidak bermakna anda bebas sepenuhnya daripada risiko hipoglisemia.
Maklumat ini bersifat umum. Dapatkan nasihat doktor untuk penilaian dan panduan lanjut.
Cara Hilangkan / Atasi Hipoglisemia
Ketika anda atau orang terdekat mengalami hipoglisemia, tindakan segera perlulah diambil.
Cara pantas untuk hilangkan atau atasinya adalah :
1.Segera ambil minuman manis atau makanan manis. Anda atau pesakit juga disarankan untuk sediakan sumber gula (karbohidrat ringkas) yang mudah untuk kegunaan kecemasan seperti :
- Tablet atau serbuk glukos
- Pil atau gel gula
- 2 sudu kismis / sebiji kurma
- ½ cawan jus
- 1 sudu gula atau madu
- Minuman kotak
- Gula-gula atau coklat bersaiz kecil berbentuk keras
2. Sekiranya masih tiada perubahan, ulanginya dalam masa 5 ke 10 minit.
3. Jika berasa lebih sihat, makan makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks dan lambat hadam seperti nasi, biskut, bijirin atau roti.
4. Periksa semula gula darah. Jika gula masih rendah, ambil lagi karbohidrat ringkas dan tunggu 15 minit.
5. Sekiranya paras gula masih tiada perubahan, gejala berterusan, pesakit pengsan atau tidak sedarkan diri, segera rujuk pesakit pada doktor.
Langkah Pencegahan
Kekurangan gula dalam darah perlulah dicegah bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang tidak diingini.
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah :
- Amalkan waktu makan yang tetap
- Ambil makanan ringan sebelum bersenam atau bersukan
- Ambil ubat seperti yang disyorkan doktor
Pesakit diabetes perlulah berjaga-jaga supaya paras gula berada pada tahap yang normal. Lakukan langkah pencegahan segera dengan mengambil karbohidrat ringkas.
Sekiranya gejala masih berterusan atau paras gula masih rendah, berjumpalah dengan doktor segera. Anda juga boleh mendapatkan rundingan daripada pakar perubatan bagi mengesyorkan diet yang sesuai mengikut keperluan kesihatan anda.
Sumber : Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, pharmacy.moh.gov.my, kesihatan.eng.usm.my
Baca Juga : Bacaan Normal Kencing Manis Yang Anda Perlu Tahu