15 Tempat Menarik di Hanoi & Cadangan Aktiviti Menarik

hanoi
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

15 Tempat Menarik di Hanoi & Cadangan Aktiviti Menarik

Hanoi adalah salah satu destinasi yang anda wajib pertimbangkan. Selain menawarkan pemandangan bandar yang unik dengan gabungan bangunan tradisional dan moden, Hanoi juga menampilkan budaya tradisional yang masih teguh di tengah arus modenisasi. 

Ibu negara Vietnam ini sememangnya menjanjikan pelbagai tarikan dan tempat menarik; pasar tradisional, makanan jalanan, pemandangan indah, budaya tempatan dan macam-macam lagi!

Jom baca perkongsian di bawah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti yang boleh dilakukan di Hanoi dan tempat-tempat menarik di Hanoi untuk dikunjungi. 

BACA JUGA: Tempat Menarik Di Hatyai Untuk Kanak-Kanak

Senarai Aktiviti & Tempat Menarik di Hanoi

1. Menjelajahi Old Quarter

Terletak lebih kurang sejam perjalanan dari Noi Bai International Airport, Old Quarter merupakan kawasan ikonik di Hanoi, Vietnam yang memikat perhatian pelancong dengan keunikan seni bina bersejarah dan budaya tempatan.

Kawasan ini terdiri daripada 36 jalan kecil yang masing-masing memiliki ciri-ciri/karakteristik tersendiri. 

Dikenali sebagai nadi bandar Hanoi, kawasan ini menawarkan pengalaman yang mempesona, dengan deretan kedai tradisional, kafe retro, dan pasar jalanan yang meriah. 

Old Quarter juga terkenal dengan suasana yang sibuk dan meriah, di mana pelancong boleh menikmati makanan jalanan Vietnam yang autentik, membeli-belah cenderamata unik, atau sekadar menghayati kehidupan harian masyarakat setempat.

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Vietnam Tourism

Menariknya lagi, Old Quarter ini juga terletak berhampiran sahaja dengan pusat tarikan lain seperti Hoan Kiem Lake dan Ngoc Son Temple. Jadi, memang mudahlah pengunjung untuk berkunjung ke tempat menarik yang lain. 

2. Bersantai di Hoàn Kiếm Lake

Setelah berkunjung ke Old Quarter, jangan lupa singgah di Hoan Kiem Lake yang terletak di kawasan yang sama.

Tasik ini bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah ia juga merupakan tempat istimewa bagi penduduk tempatan untuk beriadah dan bersantai.

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Freepik

Keindahan Hoan Kiem Lake terserlah dengan pokok-pokok hijau yang melingkari kawasan sekitar. Di tengah tasik, terdapat Pulau Jade yang menempatkan Ngoc Son Temple, sebuah kuil kecil yang dihubungkan dengan tasik melalui Jambatan The Huc berwarna merah terang, simbol ikonik kawasan ini.

Sumber: istock

Menurut legenda, tasik ini mendapat namanya daripada kisah Maharaja Le Loi yang menerima pedang sakti daripada seekor kura-kura emas dan kemudian mengembalikannya ke tasik selepas memenangi peperangan. 

Selain daripada kepentingan sejarahnya, Danau Hoan Kiem menawarkan pelbagai aktiviti dan tarikan. Salah satunya ialah pasar tempatan yang dibuka dan dimeriahkan dengan persembahan jalanan serta gerai makanan. 

Pada waktu pagi, kawasan tasik ini sering dipenuhi penduduk tempatan yang melakukan tai chi, manakala pada waktu malam, suasana sekitar tasik diterangi dengan lampu-lampu indah. 

3. Menyaksikan Persembahan Seni di Thang Long Water Puppet Theater

Persembahan seni di Thang Long Water Puppet Theatre adalah salah satu tarikan budaya yang unik di Hanoi, Vietnam. Teater ini terletak berhampiran Hoan Kiem Lake dan sangat terkenal dengan persembahan seni wayang air tradisional Vietnam yang mempunyai sejarah lebih daripada 1,000 tahun!

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Thang Long Water Puppet

Persembahan di Thang Long Water Puppet Theatre menampilkan cerita rakyat, mitos, dan legenda tempatan, termasuk kisah Raja Le Loi dan Pedang Sakti, dengan diiringi muzik tradisional yang dimainkan secara langsung oleh kumpulan muzik.

Tarikan utama persembahan ini ialah keupayaan wayang yang kelihatan ‘menari’ di atas air dengan penuh warna-warni dan gerakan kreatif. Durasi setiap persembahan adalah sekitar 50-60 minit. 

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Thang Long Water Puppet

Pastikan anda membuat tempahan awal untuk berkunjung ke sini kerana tempat ini memang sering penuh dengan pengunjung dari seluruh dunia. Tempahan tiket boleh dibuat di: https://thanglongwaterpuppet.com/ 

4. Membeli Buku di Mao bookstore

Bagi pencinta buku, pastikan anda singgah di Mao Bookstore yang terletak di tingkat dua, Blok 5, Jalan Dinh Le. Mao Bookstore adalah sebuah kedai buku yang terkenal di Hanoi dan tertua di kawasan tersebut. 

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: VietNamNet

Pengunjung boleh menemui pelbagai genre, termasuk fiksyen, non-fiksyen, dan buku-buku langka yang sukar didapati di tempat lain.

Atmosfera yang tenang dan reka bentuk vintage dengan rak-rak buku yang berdekatan mencipta suasana yang unik. 

Terletak berhampiran tarikan utama seperti Hoan Kiem Lake dan Thang Long Water Puppet Theatre, lokasi ini mudah diakses dan sesuai sebagai tempat persinggahan selepas menjelajahi kawasan sekitar. 

5. Beli-belah di Dong Xuan Market 

Dong Xuan Market adalah bangunan pasar terbesar di Hanoi dan terletak di kawasan Old Quarter. Dengan luas sekitar 6,500 m², pasar ini menawarkan pelbagai jenis barang seperti pakaian, aksesori, makanan dan sebagainya. 

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: AZ Local Trip

Tingkat pertama dipenuhi dengan makanan segar, herba, dan hasil laut kering, manakala tingkat atas menawarkan pakaian, kain, dan pelbagai jenis barangan runcit pada harga borong.

Jangan lupa gunakan kemahiran tawar-menawar anda untuk mendapatkan harga yang berbaloi ketika membeli di sini. 

Kunjungan ke Dong Xuan Market bukan sahaja tentang membeli-belah, tetapi juga peluang untuk merasai gaya hidup dan budaya masyarakat Hanoi.

Pasar ini sesuai untuk pelancong yang ingin mendapatkan pengalaman tempatan yang autentik sambil mencari barang/cenderamata unik untuk dibawa pulang.

6. Minum Kopi + Tengok Keretapi Lalu di Train Street Hanoi

Train Street Hanoi adalah salah satu tarikan unik di Hanoi, yang telah berjaya menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia. Ia menawarkan pengalaman luar biasa yang menggabungkan keunikan budaya, keindahan fotografi, dan detik yang mendebarkan.

Laluan kereta api ini melalui lorong-lorong sempit yang dikelilingi oleh deretan rumah penduduk. Ia mencipta suasana luar biasa di mana kereta api bergerak hanya beberapa inci dari bangunan dan orang ramai. Fuh. 

Sumber: Get Visa Vietnam

Sebelum kereta api tiba, lorong ini berfungsi seperti jalan biasa, dengan penduduk melakukan aktiviti seharian seperti memasak, menjual barang, atau berbual.

Namun, apabila bunyi siren kereta api kedengaran, penduduk segera beralih ke tepi, mencipta suasana dramatik.

Kawasan ini juga dihiasi dengan beberapa kafe dan kedai kecil yang menawarkan sudut pandang strategik untuk menyaksikan kereta api melintas. 

Sumber: Vietnam Original Travel

Pengunjung boleh menikmati kopi Vietnam sambil mengambil gambar yang menakjubkan. Waktu terbaik untuk melawat adalah ketika jadual kereta api bergerak, jadi pastikan anda mengetahui jadual kereta api agar tidak sia-sia datang ke sini. 

Walau bagaimanapun, pastikan anda mematuhi peraturan keselamatan kerana laluan ini tetap berfungsi sebagai trek kereta api aktif. 

7. Berkunjung ke Temple Of Literature

Temple of Literature atau Van Mieu adalah salah satu tapak bersejarah paling penting di Hanoi. Dibina pada tahun 1070, kuil ini pada asalnya didedikasikan kepada Confucius dan berfungsi sebagai universiti pertama Vietnam, Quoc Tu Giam, yang mengajar golongan elit dalam bidang sastera dan falsafah Confucian.

Sumber: Google Review

Kawasan kuil ini terdiri daripada lima halaman besar yang mencerminkan seni bina tradisional Vietnam, lengkap dengan taman-taman indah, kolam, dan paviliun. 

Salah satu tarikan utama ialah Stelae of Doctors, iaitu batu bersurat yang diukir dengan nama-nama pelajar cemerlang yang lulus peperiksaan, disusun di atas statue berbentuk penyu yang melambangkan umur panjang dan kebijaksanaan.

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Google Review

Temple of Literature bukan sahaja menjadi simbol penghormatan terhadap pendidikan dan pembelajaran tetapi juga lokasi yang sesuai untuk dijadikan tempat mengambil gambar kenang-kenangan. 

Tempat ini sering dikunjungi oleh pelancong yang ingin memahami budaya dan sejarah Vietnam serta  pelajar untuk berdoa agar mendapat kejayaan dalam pelajaran.

8. Melawat Mausoleum Ho Chi Minh

Mausoleum Ho Chi Minh, atau Lăng Chủ tịch Hồ Chí Minh, adalah salah satu mercu tanda paling penting di Hanoi, Vietnam. Mausoleum ini dibina antara tahun 1973 hingga 1975 dengan reka bentuk seni bina yang menggabungkan unsur tradisional Vietnam dan elemen moden. 

Ia merupakan tempat di mana Presiden Ho Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam pada tahun 1945 dan makam yang didedikasikan kepada pemimpin yang dihormati sebagai “Bapa Kemerdekaan Vietnam.”

Sumber: CNN

Di dalamnya, jenazah Ho Chi Minh diawet dan disimpan dalam keranda kaca, membolehkan rakyat Vietnam dan pelawat antarabangsa memberi penghormatan.

Upacara lawatan ke makam diadakan dengan penuh ketertiban, mencerminkan penghormatan mendalam terhadap pemimpin tersebut.

Kawasan sekitar mausoleum dikelilingi taman-taman indah, dengan laluan yang membawa pelawat ke tempat-tempat bersejarah lain seperti Istana Presiden, Pondok Ho Chi Minh, dan Pagoda Satu Tiang.

Sebaiknya, anda datang pada waktu pagi sekiranya ingin melihat upacara penaikan bendera diadakan di dataran. 

9. Melihat Pameran Di Penjara Hoa Lo

Penjara Hoa Lo (atau Hoa Lo Prison) dibina oleh penjajah Perancis pada akhir abad ke-19. Penjara ini asalnya digunakan untuk menahan tahanan politik Vietnam yang melawan penjajahan. Ia juga terkenal dengan nama “Penjara Neraka” kerana keadaan layanan keras yang diberikan kepada para tahanannya.

Sumber: iStock
Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Bafageh

Hari ini, Penjara Hoa Lo telah diubahsuai menjadi muzium yang memberi pendedahan mendalam tentang sejarah penindasan, perjuangan kemerdekaan Vietnam, dan penderitaan yang dialami oleh tahanan di zaman penjajahan dan perang.

Pengunjung boleh melihat pameran yang menampilkan gambar, dokumen, patung-patung dan barang-barang yang digunakan oleh tahanan. Seronok juga melawat penjara ni. Lagi-lagi kalau minat sejarah Vietnam. 

10. Bergambar di Katedral St Joseph

Katedral St. Joseph (atau Nhà thờ Lớn Hà Nội) adalah sebuah gereja bersejarah dan merupakan salah satu tarikan utama di Hanoi. Ia terletak berdekatan dengan kawasan Old Quarter, menjadikannya mudah diakses. 

Dibina pada tahun 1886 semasa penjajahan Perancis, katedral ini menggabungkan seni bina Gothic Eropah dengan elemen tradisional Vietnam, mencipta satu imej yang unik dan menarik.

Katedral ini terkenal dengan façade yang megah, lengkap dengan menara tinggi yang menjulang ke langit, serta tingkap kaca berwarna yang indah.

Dengan gaya seni bina yang menyerupai Katedral Notre-Dame di Paris, ia menjadi simbol kehadiran agama Kristian di Vietnam. 

Sumber: Google Review

Dinding-dinding batu yang kukuh dan struktur yang anggun menjadikannya tempat yang menarik untuk dikunjungi, tidak hanya oleh umat Kristian, tetapi juga pelancong yang menghargai seni bina dan sejarah.

Setiap Ahad, gereja ini menjadi tempat ibadat bagi komuniti Kristian di Hanoi, dan pelancong juga boleh menyaksikan upacara keagamaan yang diadakan di sini. 

11. Belajar Membuat Kraf di Desa Keramik Bat Trang

Desa Keramik Bat Trang adalah sebuah desa tradisional yang terkenal dengan pengeluaran barang-barang keramik dan berjaya menarik pelancong yang ingin melihat proses pembuatan tembikar yang masih dilakukan dengan cara tradisional.

Sumber: Izitour

Di Bat Trang, pelancong dapat menyaksikan bagaimana cara membuat pelbagai produk keramik seperti pinggan mangkuk, cawan, pasu, dan pelbagai barang hiasan menggunakan tangan (cara tradisional). 

Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk mencuba membuat keramik dengan bantuan pekerja di sana. Pastinya ia merupakan satu pengalaman yang amat menarik sekaligus memberi peluang kepada pengunjung untuk belajar tentang teknik pembuatan tembikar Vietnam yang sudah berabad lamanya.

Sumber: Vietjet Air

Selain melihat proses pembuatan, Desa Keramik Bat Trang juga terkenal sebagai lokasi menjual pelbagai barangan keramik berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan. Terdapat banyak kedai yang menawarkan pilihan barang-barang cantik yang boleh dijadikan cenderamata atau hiasan rumah. 

12. Mengunjungi Imperial Citadel of Thăng Long

Mengunjungi Imperial Citadel of Thăng Long akan memberikan anda pengalaman yang menarik dalam memahami sejarah dan warisan kebudayaan Vietnam. 

Tapak warisan dunia UNESCO ini adalah simbol pemerintahan dan kebudayaan yang berlangsung selama lebih dari 1,000 tahun, sejak zaman Dinasti Ly hingga Dinasti Nguyen.

Sumber: Google Review

Kubu ini menampilkan sisa-sisa kompleks kerajaan lama yang meliputi pintu gerbang, menara, dan istana. Salah satu tarikan utamanya adalah Flag Tower of Hanoi, yang berdiri megah sebagai simbol nasionalisme Vietnam. 

Kawasan ini juga menampilkan pelbagai artifak arkeologi seperti seramik, barang perunggu dan struktur asas bangunan lama yang memberikan gambaran tentang kehidupan istana pada masa lampau.

Di sini, pengunjung boleh berjalan di taman-tamannya yang memiliki landskap yang indah, lorong-lorong batu dan bangunan yang masih kekal. Jangan lupa untuk mengambil gambar sebagai kenang-kenangan. 

13. Melihat Seni Bina Pagoda Satu Pilar (One Pillar Pagoda)

Pagoda Satu Pilar atau One Pillar Pagoda (Chùa Một Cột) adalah salah satu mercu tanda ikonik di Hanoi, Vietnam, yang terkenal dengan seni bina unik dan nilai sejarahnya. 

Pagoda ini memiliki reka bentuk yang luar biasa, berdiri di atas satu tiang tunggal yang melambangkan bunga teratai – simbol kesucian dalam agama Buddha. 

Sumber: TripAdvisor

Struktur kayunya yang kecil, berbentuk persegi, diletakkan di atas tiang batu, mencipta ilusi seolah-olah pagoda ini terapung di atas air kolam teratai.

Seni bina ini bukan sahaja mencerminkan keahlian tradisional Vietnam tetapi juga pengaruh falsafah Buddha dalam seni dan kehidupan masyarakat.

Semasa melawat, pengunjung boleh menikmati suasana tenang di sekeliling pagoda, yang dikelilingi taman-taman kecil dan kolam yang dipenuhi bunga teratai.

Bahagian dalam pagoda mengandungi patung Buddha Quan Am yang dihormati oleh penduduk tempatan untuk berdoa meminta keberkatan dan kesejahteraan.

14. Melihat Koleksi Artifak di Muzium Sejarah Nasional Vietnam

Muzium Sejarah Nasional Vietnam atau Museo Nacional de Historia Vietnamita adalah salah satu tempat menarik di Hanoi. Ia sesuai dikunjungi untuk mereka yang ingin meneroka sejarah dan warisan budaya Vietnam dari zaman prasejarah hingga era moden. 

Muzium ini menampilkan koleksi artifak yang mengagumkan, termasuk barang antik, seni, dan dokumen penting yang mencerminkan perjalanan panjang Vietnam sebagai sebuah negara.

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Google Review

Bangunan pertama muzium ini, yang berdekatan dengan Tasik Hoan Kiem, mempamerkan sejarah awal Vietnam, termasuk zaman prasejarah, kebudayaan Dong Son, dan peninggalan dinasti-dinasti lama seperti Ly, Tran, dan Nguyen.

Di sini, pengunjung dapat melihat artifak seperti tembikar kuno, patung Buddha, dan senjata bersejarah.

Sumber: Google Review

Bangunan kedua, yang terletak tidak jauh, memfokuskan kepada sejarah moden Vietnam, termasuk penjajahan Perancis, perjuangan kemerdekaan, dan tempoh Perang Vietnam.

Pameran ini termasuk dokumen bersejarah, pakaian tradisional, serta foto dan barang-barang yang digunakan semasa perjuangan untuk kebebasan.

Kedua-dua bangunan ini memiliki seni bina kolonial Perancis yang menakjubkan, menambah daya tarikan lawatan ke muzium. Anda boleh mengambil gambar berlatarkan bangunan muzium ini. 

15. Melihat Karya Seni – Hanoi Ceramic Mosaic Mural

Hanoi Ceramic Mosaic Mural ialah mural seramik terpanjang di dunia dan merupakan salah satu projek seni awam terbesar di Vietnam. Mural ini dilukis di dinding sepanjang Jalan Thanh Niên, dengan panjang 4 kilometer. 

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Google Review

Mural ini terdiri daripada berjuta-juta jubin seramik kecil yang dipasang dengan tangan oleh para artis, pelajar seni, dan sukarelawan. Ia memaparkan sejarah dan budaya Vietnam melalui karya seni seramik yang berwarna-warni dan kreatif.

Sumber: Google Review

Rekaan pada mural ini meliputi pelbagai tema, termasuk sejarah Vietnam, budaya tradisional, landskap ikonik, dan unsur-unsur kehidupan moden. Setiap segmen mural menceritakan cerita unik, menjadikannya galeri seni terbuka yang dapat dinikmati oleh semua orang.

Tempat Menarik di Hanoi: Aktiviti Menarik dan Destinasi Wajib Kunjungi
Sumber: Google Review

Pengunjung boleh berjalan kaki atau menaiki kenderaan di sepanjang jalan ini untuk menikmati keindahan karya seni yang penuh warna dan makna. Jangan lupa untuk rakam dan ambil gambar!

Penutup

Hanoi bukan sahaja menawarkan pengalaman pelancongan, tetapi juga peluang untuk anda mendalami budaya, sejarah, dan cara hidup masyarakat tempatan. 

Dengan pelbagai aktiviti menarik, lokasi ikonik, dan makanan yang menyelerakan, bandar ini pasti memenuhi keinginan setiap pengunjung, tidak kira sama ada anda pencinta alam, sejarah, atau penggemar makanan.

Rancang percutian anda ke Hanoi hari ini dan alami sendiri keunikan bandar yang kaya dengan tradisi dan pesona moden ini!

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut