Bgai murid lepasan Tahun 6, sudah pastinya mereka memikirkan hala tuju murid Tahun 6 selepas mereka mengakhiri persekolahan mereka di peringkat rendah.
Oleh itu, terdapat beberapa pilihan yang boleh diambil oleh murid lepasan Tahun 6 bagi meneruskan persekolahan mereka.
Mengenai Tahun 6
Tahun 6 merupakan peringkat terakhir di dalam persekolahan peringkat rendah sebelum murid melanjutkan pendidikan mereka di peringkat menengah.
Selepas murid Tahun 6 mengabiskan sesi persekolahannya, mereka akan melanjutkan pendidikan di peringkat menengah bermula dengan Tingkatan 1.
Oleh kerana itu, terdapat beberapa pilihan sekolah yang boleh dipilih oleh murid bagi meneruskan persekolahan mereka.
Hala Tuju Murid Tahun 6
Terdapat 10 hala tuju murid bagi lepasan Tahun 6 di Malaysia yang boleh menjadi pilihan iaitu:
- Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
- Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)
- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
- Sekolah Sukan
- Sekolah Seni
- Sekolah Feeder
- Kelas Seliaan Negeri
- Kelas Seliaan Daerah
- Kelas Rancangan Khas Daerah (KRK)
- Kelas Aliran Agama (KAA)
1- Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
Sekolah Berasrama Penuh (SBP) ialah sekolah menengah perdana dikhususkan untuk pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam UPSR dan PMR.
Tujuan asal penubuhan sekolah ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera di luar bandar.
Mengikut sejarah, sesetengah sekolah berasrama ini merupakan sekolah berasrama Inggeris / ala Inggeris seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar yang terhad kepada anak-anak Raja dan orang kenamaan sahaja.
Namun kini, semua ini adalah sama dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia.
Syarat kemasukan ke sekolah ini adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia
- Murid Tahun 6 yang telah didaftarkan dalam Modul Pengurusan Murid.
- Menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus KPM (PKSK)
- Pelajar yang sihat tubuh badan
- Pelajar yang aktif dalam penglibatan kokurikulum
2- Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)
MRSM ditubuhkan dengan matlamat dan keperluan negara untuk memberi kemudahan pelajaran pada peringkat menengah dalam bidang sains dan teknologi kepada pelajar-pelajar bumiputera.
MRSM yang pertama ditubuhkan ialah MRSM Seremban yang telah dibuka pada tahun 1972 yang telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1975.
Syarat kemasukan ke sekolah ini adalah seperti berikut:
- Calon sihat tubuh badan dan boleh berdikari.
- Ibu bapa atau penjaga dan penjamin yang bukan disenarai hitam oleh MARA.
- Keutamaan diberikan kepada pemohon daripada keluarga berpendapatan rendah yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
3- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
SMKA ialah sekolah kawalan asrama harian yang melaksanakan dwikurikulum, iaitu kurikulum akademik dan kurikulum agama secara bersepadu.
SMKA bermula dengan pengambilalihan 11 buah Sekolah Agama Negeri dan Rakyat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1977 dan telah berkembang kepada 60 buah SMKA.
Penubuhan sekolah ini diilhamkan oleh Pengarah Bahagian Agama Kementerian Pelajaran ketika itu, Allahyarham Tuan Haji Nik Mohammed Mohyideen bin Haji Wan Musa.
Syarat kemasukan ke sekolah ini adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia
- Mendaftar dalam Modul Pengurusan Murid Murid Tahun Enam (6)
- Berumur 12 tahun
- Menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK)
4- Sekolah Sukan
Sekolah Sukan ialah sekolah untuk mengumpul atlet murid yang berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik mereka dapat dipupuk serta dipertingkatkan di bawah bimbingan jurulatih yang berdedikasi serta guru-guru akademik yang terpilih.
Murid di sekolah ini melalui pengawasan yang lebih tersusun dan cekap, peningkatan prestasi akademik dan sukan dapat diseimbang dan disepadukan.
Dari aspek pengurusan dan pentadbiran, sekolah ini keseluruhannya mengikut konsep SBP yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sukan dan akademik.
Untuk memasuki sekolah ini, berikut merupakan syarat kelayakan iaitu:
- Warganegara Malaysia.
- Telah melalui Program Mengenalpasti Bakat (Talent Identification /Talent Search / Talent Scouting).
- Bersetuju menerima Sekolah Sukan Malaysia yang ditawarkan dan jenis sukan yang ditetapkan.
- Bersetuju mematuhi sepenuhnya semua peraturan dan arahan Sekolah Sukan Malaysia yang berkaitan.
- Lulus pemeriksaan kesihatan oleh doktor yang berdaftar, sihat tubuh badan dan bebas daripada sebarang penyakit kronik, penyakit lelah (asthma) atau penyakit berjangkit.
- Keutamaan akan diberi kepada atlet murid yang mewakili negeri di peringkat kebangsaan dalam sukan yang diceburi. (Contoh : Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan kejohanan lain yang diiktiraf).
5- Sekolah Seni
Sekolah Seni ditubuhkan untuk memberikan peluang dan ruang kepada anak-anak muda Malaysia untuk berkarya dalam bidang seni dan tidak hanya bergantung kepada kerjaya tertentu sahaja sebaliknya mereka boleh membentuk kerjaya dalam bidang seni.
Penubuhan sekolah ini juga bagi memperluas akses dan meningkatkan kualiti pendidikan selari dengan usaha untuk mengukuhkan sistem pendidikan negara yang lebih menyeluruh dan bukan berkisar kepada akademik semata-mata sejajar dengan usaha KPM sebagaimana yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.
Murid yang ingin memasuki sekolah ini perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
- Warganegara Malaysia Calon mesti daripada sekolah kerajaan.
- Berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian (Seni Visual/Tari/Teater/Muzik).
- Sihat tubuh badan.
- Hanya permohonan secara ‘online’ akan diproses.
6- Sekolah Feeder
Sekolah Feeder ialah sekolah rendah yang secara tradisinya membekalkan murid kepada sesebuah sekolah menengah tertentu.
Ini bermaksud, pelajar dari sekolah rendah tertentu akan secara automatik diterima masuk ke sekolah menengah yang berkenaan.
Sebagai contoh, SJKC Cheong Hua adalah sekolah feeder kepada SMK Munshi Abdullah.
Syarat kemasukan ke sekolah ini adalah seperti berikut:
- Sekolah telah ditetapkan oleh PPD.
- Pemilihan sekolah feeder melalui guru kelas yang akan didaftarkan ke APDM.
- Kedudukan sekolah berdekatan dengan lokasi rumah.
- Murid akan masuk secara terus tanpa mengira kelayakan akademik.
7- Kelas Seliaan Negeri
Kelas Seliaan Negeri merupakan kelas yang dikawal kemasukan oleh negeri berdasarkan permohonan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Seliaan kelas ini di peringkat negeri bergantung kepada dasar yang ditentukan oleh negeri sama ada JPN, JAIN, PPD, atau sekolah.
Kemasukan ke kelas ini adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Telah memohon melalui sekolah masing-masing di dalam APDM
- Mendapat keputusan yang cemerlang di dalam PBD, UASA, PPSI dan PAJSK
- Akan mengikuti pembelajaran dalam Dual Languange Programme
8- Kelas Seliaan Daerah
Kelas Seliaan Daerah ialah kelas yang dikawal kemasukan oleh daerah berdasarkan permohonan mengikut syarat tertentu.
Syarat kemasukan adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Telah memohon melalui sekolah masing-masing di dalam APDM.
- Mendapat keputusan yang cemerlang di dalam PBD, UASA, PPSI dan PAJSK.
9- Kelas Rancangan Khas Daerah (KRK)
KRK Daerah ialah satu program yang dikhas oleh murid yang cemerlang akademik, pentaksiran aktiviti jasmani dan kokurikulum (PAJSK) serta mempunyai rekod disiplin yang baik dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah.
Bagi murid yang terpilih, mereka akan mengikuti pembelajaran dalam Dual Languange Programme (DLP)
10- Kelas Aliran Agama (KAA)
KAA adalah kelas khas yang diwujudkan di Sekolah Menengah Harian untuk memberi peluang kepada pelajar Islam mempelajari subjek-subjek seperti yang ditawarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).
Pelaksanaan KAA di sekolah menengah harian sebagai projek rintis sudah dimulakan pada 1987.
Ini kerana SMKA yang sedia ada tidak dapat menampung permintaan ibu bapa berikutan pencapaian prestasi murid-murid dalam UPSR yang meningkat.
Syarat kemasukan adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia.
- Murid tersebut mestilah lepasan Tahun 6.
- Mempunyai pelaporan PBD Tahun 6.
- Mempunyai penilaian j-QAF atau UPKK.
- Mempunyai pentaksiran Psikometrik, PAJSK.
Baca juga: Koleksi Latihan Matematik Tahun 6