Malaysia bakal mengalami Gerhana Matahari Separa pada 20 April 2023 ini, bersamaan dengan hari Khamis.
Sementara itu, beberapa kawasan lain pula akan mengalami Gerhana Matahari Hidbrid pada tarikh tersebut.
Berikut dikongsikan maklumat rasmi dari MYSA tentang kedua-dua fenomena itu.
Apakah Gerhana Matahari Hidbrid?
Gerhana Matahari Hibrid ialah gerhana yang sangat jarang berlaku, iaitu dianggarkan sekali setiap dekad di mana kedua-dua jarak Bulan dan Matahari ke Bumi perlu berada pada kedudukan tertentu untuk fenomena ini berlaku.
Gerhana Matahari Hibrid hanya berlaku 7 kali pada abad ke-21, iaitu pada tahun 2013, 2023, 2031, 2049, 2050 dan 2067. Ia dipanggil ‘hibrid’ kerana melibatkan ketiga-tiga kawasan bayang-bayang Bulan iaitu umbra, penumbra dan antumbra yang menggabungkan ketiga-tiga jenis gerhana matahari iaitu, Gerhana Matahari Penuh, Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Separa sepanjang laluan tengah gerhana.
Jenis gerhana yang kita dapat lihat adalah bergantung kepada lokasi pemerhati di sepanjang laluan gerhana tersebut (bahagian bayang Bulan yang kita berada).
Fasa Lintasan
Fenomena Gerhana Matahari Hibrid pada 20 April 2023 akan berlaku di Hemisfera Selatan mulai jam 09:35:34.3 dan berakhir pada 15:00:31.9 waktu tempatan.
Fenomena tersebut (Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Penuh) boleh dilihat di sebahagian Australia, Timor-Leste, Indonesia (Papua Barat dan Papua) manakala Gerhana Matahari Separa boleh dilihat di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Hindia Timur, Australia, Filipina dan New Zealand.
Fenomena Gerhana Matahari Hibrid ini berlaku pada 4.1 hari selepas Bulan berada pada kedudukan perigee, iaitu titik orbit Bulan yang berada pada kedudukan terdekat dari Bumi dengan jarak 367,968km. Magnitud Gerhana Matahari Hibrid kali ini adalah 1.0132.
Laluan gerhana selebar 49km ini bermula di Lautan Hindi ketika Matahari terbit dan berakhir ketika Matahari terbenam di Lautan Pasifik dan hanya melintasi kawasan darat di sebahagian Australia Barat, Timor-Leste dan Papua Barat.
Ketika fenomena ini berlaku, gerhana anulus akan kelihatan dalam beberapa saat di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dengan gerhana maksimum di Exmouth, Australia Barat (~ 1 minit), Timor-Leste (1 minit 14 saat) dan Papua Barat (1 minit 9 saat). Gerhana Matahari Separa akan kelihatan dalam lingkungan bayangan penumbra Bulan yang lebih luas meliputi Asia Tenggara termasuk Malaysia, Hindia Timur, Australia, Filipina dan New Zealand.
Tarikh & Waktu Gerhana Matahari Separa Di Malaysia (20 April 2023)
Di Malaysia, kita tidak dapat menyaksikan Gerhana Matahari Penuh / Gerhana Matahari Anulus kerana laluan bayang-bayang umbra dan antumbra Bulan tidak melalui mana-mana kawasan di Malaysia pada waktu tersebut.
Sebaliknya, kita hanya berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Separa mulai jam 11:00 am hingga 1:30 pm dengan litupan 2% di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan litupan semakin bertambah sehingga 43% di Sabah kerana bayang-bayang penumbra Bulan melalui di Malaysia pada waktu tersebut.
Pemerhati boleh menggunakan aplikasi astronomi seperti TheSky, SkySafari, Stellarium dan lain-lain untuk melakukan simulasi sendiri di lokasi masing-masing dan mendapatkan anggaran waktu fenomena tersebut berlaku.
Sila rujuk jadual di bawah yang disediakan oleh MYSA :
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗞𝗮𝗸𝗶:
- Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap (bayang Bumi atau Bulan).
- Penumbra adalah bahagian bayang luaran separa gelap (bayang Bumi atau Bulan).
- Antumbra adalah bahagian bayang yang muncul di luar umbra pada jarak tertentu dari objek yang menghasilkan bayang. Ia hanya wujud jika sumber cahaya mempunyai diameter yang lebih besar daripada objek.
- Magnitud gerhana (Eclipse magnitude) adalah pecahan diameter sudut (angular diameter) Matahari yang diliputi oleh Bulan. Dinyatakan dalam peratus atau pecahan perpuluhan (contoh: 50% atau 0.50).
- Eclipse obscuration adalah pecahan kawasan Matahari yang diliputi oleh Bulan. Dinyatakan dalam peratus atau pecahan perpuluhan (contoh: 50% atau 0.50).
- Litupan adalah peratusan cakera Matahari dilitupi semasa gerhana maksimum
Anda boleh juga menyemak waktu dan laluan Gerhana Matahari tersebut dengan merujuk kepada peta gerhana interaktif oleh Xavier Jubier, http://xjubier.free.fr/…/HSE_2023_GoogleMapFull.html….
PERINGATAN
Orang awam adalah dinasihatkan untuk menggunakan penuras khas bagi menyaksikan fenomena Gerhana Matahari.
Berikut adalah panduan melihat gerhana matahari separa yang dikongsikan oleh Kementerian Sains Dan Inovasi (MOSTI ) dengan kerjasama Planetarium Negara.
Melihat terus ke arah Matahari tanpa mengunakan sebarang penuras yang sesuai adalah dilarang kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kerosakan mata atau mengakibatkan buta kekal.
Baca juga: Niat & Panduan Solat Sunat Gerhana Matahari – JAKIM