Media sosial kini menjadi salah satu perkara yang penting dalam kehidupan manusia pada ketika ini disebabkan fungsi media sosial itu sendiri yang pelbagai.
Sebahagian orang ramai melihat media sosial sebagai alat komunikasi sahaja, namun medium ini mempunyai pelbagai fungsi dan peranan di dalam kehidupan seharian manusia.
Umumnya, media sosial yang wujud pada hari ini telah mewujudkan ruang untuk berinteraksi, berkongsi dan alat penyebaran maklumat dalam komuniti maya.
Maksud Media Sosial
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, media bermaksud alat atau pengantara dalam komunikasi ataupun perhubungan manakala sosial memberi makna segala hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan.
B.K. Lewis mentakrifkan media sosial sebagai teknologi digital yang berpotensi untuk membolehkan semua orang berhubung antara satu sama lain dan berinteraksi, menghasilkan dan berkongsi mesej.
Dave Kerpen pula menyatakan media sosial ditakrifkan sebagai koleksi imej, video, tulisan dan hubungan interaksi dalam rangkaian, baik antara individu mahupun antara kumpulan seperti organisasi.
Namun, secara mudahnya media sosial membawa maksud instrumen sosial dalam berkomunikasi yang meluas antara penggunanya.
Ciri-Ciri Media Sosial
Antara ciri-ciri media sosial adalah seperti berikut:
- Boleh diakses melalui internet atau rangkaian digital.
- Menyediakan ciri untuk berinteraksi dan berkomunikasi antara pengguna.
- Mempunyai keupayaan untuk berkongsi dan menggunakan kandungan.
- Membenarkan penciptaan profil pengguna dan penggunaan identiti digital.
- Boleh digunakan untuk tujuan peribadi, sosial, perniagaan atau politik.
- Menawarkan ciri untuk menghubungkan pengguna dengan orang atau organisasi lain di seluruh dunia.
Contoh Media Sosial
Contoh-contoh media sosial yang popular digunakan adalah seperti berikut:
- Google+
- X
- Medium
- Snapchat
- YouTube
- TikTok
- Telegram
- Skype
Fungsi Media Sosial
Terdapat beberapa fungsi medium ini kepada manusia iaitu:
- Alat komunikasi – Media sosial menjadi menjadi alat komunikasi dan berinteraksi tanpa batasan masa dan sempadan.
- Penjenamaan diri – Penjenamaan dilakukan dengan membina imej di mata ramai orang ramai menerusi media sosial.
- Menjalankan perniagaan – Media sosial kini menjadi tempat untuk menjalankan perniagaan dan telah terbukti sangat memudahkan pengguna membeli pelbagai barangan hanya di hujung jari mereka.
- Hiburan- Media sosial menjadi salah satu alat hiburan yang mana pengguna boleh mencari kandungan hiburan seperti video lucu, meme dan permainan dalam talian.
- Sumber informasi – Pengguna kini boleh mengakses berita, maklumat tentang acara terkini dan trend terkini di media sosial.
Peranan Media Sosial
Media sosial mempunyai peranan yang pelbagai iaitu:
i) Menyebarkan polisi dan dasar kerajaan dengan lebih berkesan
Media sosial dapat memberikan maklumat terkini kepada rakyat dengan lebih pantas dan mudah untuk dicapai oleh pengguna internet.
Ini membolehkan agensi-agensi kerajaan bagi menyebarkan segala bentuk maklumat kepada masyarakat supaya mereka dapat mengetahui tentang isu-isu semasa yang sedang berlaku.
ii) Menyampaikan dakwah dan maklumat kepada masyarakat
Media sosial menjadikan dakwah pada era ini tanpa batasan dan mampu disebarkan tanpa sempadan lokasi, masa dan lapisan masyarakat.
Media sosial memberi ruang dakwah kepada golongan remaja kerana kebanyakan pengguna media sosial terdiri daripada golongan remaja.
iii) Medium pembelajaran
Media sosial telah menjadi medium bagi mendapatkan maklumat dan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan pelajar sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.
Contohnya, jika seseorang individu ingin mencari ilmu berkaitan masakan, mereka tidak lagi perlu membeli buku tentang masakan namun hanya perlu mencarinya di dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtube sebagai sumber untuk mendapatkan ilmu masakan tersebut.
iv) Medium menyemai perpaduan dalam kalangan masyarakat
Media sosial boleh digunakan dalam menyebarkan kandungan-kandungan berkaitan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Sebagai contoh, gambar atau video yang menunjukkan kemesraan antara kaum boleh mempengaruhi rakyat bagi menghargai erti perpaduan di Malaysia.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai fungsi media sosial boleh dirujuk menerusi sumber berikut: