Fi Amanillah ( في أمان الله): Maksud, Bila Diucapkan & Cara Membalasnya

Fi Amanillah ( في أمان الله): Maksud, Bila Diucapkan & Cara Membalasnya
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Fi Amanillah ( في أمان الله): Maksud, Bila Diucapkan & Cara Membalasnya

“Bye”

“Selamat Tinggal!”

“Jaga Diri”

“Stay Safe!”

 “Fi Amanillah” 

Eh, Fi Amanillah tu apa? 

Fi Amanillah adalah merupakan ungkapan Bahasa Arab yang sering digunakan semasa perpisahan, sama seperti “Bye”, “Selamat Tinggal”, “Jaga diri” dan seumpamanya. 

Namun, ia bukanlah sekadar ungkapan perpisahan biasa. Ia adalah satu doa yang dipanjatkan untuk seseorang yang akan berjauhan, memberikan mereka keyakinan bahawa mereka akan dilindungi dan dipelihara dalam perjalanan mereka. 

Ungkapan ini juga mengingatkan kita tentang kebesaran Allah dan kuasa-Nya untuk melindungi hamba-hamba-Nya di mana sahaja mereka berada.

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya. 

BACA JUGA: Solat Musafir: Niat, Panduan & Syarat Pelaksanaan

Maksud Fi Amanillah

Fi Amanillah ( في أمان الله): Maksud, Bila Diucapkan & Cara Membalasnya

Apabila diterjemahkan secara terus, Fi Amanillah bermaksud “(berada) dengan keselamatan Allah”, atau “Semoga Allah Melindungi Anda”. 

Tujuan frasa ini diucapkan adalah untuk mengharapkan keselamatan Allah (Allah) terhadap orang lain. Selain itu, ungkapan ini juga menunjukkan keprihstinan dan kasih sayang antara satu sama lain dengan menginginkan keselamatan bagi individu yang kita sayangi.

Ketika kita mengucapkan “Fii Amanillah” kepada seseorang, kita secara tidak langsung menyampaikan pesanan yang menggambarkan rasa hormat dan kasih sayang kita terhadap mereka

Cara Membalas

Bagaimana cara membalas sekiranya orang lain mengucapkan Fi Amanillah kepada kita?

Jawapan biasa kepada ungkapan tersebut adalah “Fi Hifzillah” yang bermaksud “Dengan perlindungan Allah”.

Atau anda boleh menjawab dengan frasa yang sama “Fi Amanillah”.

Atau anda boleh mengucapkan terima kasih atas doa yang tulus ini dengan mengatakan “Jazakallah Khayran”.

Bila Perlu Ucapkan Fii Amanillah?

Penggunaan yang paling biasa bagi frasa ini adalah sama seperti ucapan, bye, selamat tinggal. Ia biasanya diucapkan pada akhir perbualan atau apabila berpisah dengan satu sama lain. 

Ia juga sesuai diucapkan apabila dua orang akan berpisah dan tidak tahu bila mereka akan bertemu lagi. Ucapan ini mengharapkan perjalanan yang selamat dalam perjalanan mereka dengan doa semoga berjumpa lagi. 

Fi Amanillah ( في أمان الله): Maksud, Bila Diucapkan & Cara Membalasnya

Contoh Penggunaannya

  1. Fi Amanillah. Semoga selamat sampai
  2. Selamat malam. Fi Amanillah.
  3. Jaga diri, Fi Amanillah. Jumpa nanti, insyaAllah!
  4. Semoga Allah melindungi dan memberkati perjalanan kita. Amin. Fi Amanillah!
  5. Jumpa lagi lain kali, insyaAllah. Fi amanillah. 

Doa Kepada Orang Bermusafir

Dalam sebuah hadis sahih, diceritakan bahawa apabila ada seseorang yang hendak berjalan jauh, Ibnu Umar R.Anhuma berkata kepada orang tersebut:

ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ : أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Maksudnya: Dekatlah kepadaku, akan aku doakan engkau, sebagaimana Rasulullah SAW mendoakan kami jika kami akan pergi. Lalu Ibn Umar berkata:

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Maksudnya: “Aku doakan agar Allah memelihara agamamu, amanahmu dan penutup-penutup amalmu kepada-Nya.”

Riwayat al-Nasa’ie (8806) dan al-Tirmizi (3443)

Abu Hurairah R.A menyebut:

أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ ، إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي ، قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ ، وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ ، فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ ، قَالَ : اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ ، وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ.

Maksudnya: Bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak berjalan jauh. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda, Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya:

اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ ، وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.”

Riwayat al-Tirmizi (3445)

Penutup

Kesimpulannya, marilah kita amalkan ucapan yang berupa doa ini dalam kehidupan seharian. Semoga Allah sentiasa menjaga dan melindungi kita semua. Amin.

RUJUKAN: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3161-al-kafi-1133 

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut