Farm in the City – Harga Tiket Masuk & Cara Beli
Sekiranya anda sedang mencari destinasi menarik di sekitar Selangor untuk bersantai bersama keluarga pada hujung minggu atau cuti sekolah, Farm in the City di Seri Kembangan adalah salah satu pilihan yang ideal.
Ia sesuai dikunjungi oleh semua peringkat umur tidak kira sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa. Memang seronok tempat ni!
Jom terokai lebih lanjut tentang Farm in the City dan apa yang ia tawarkan kepada para pengunjungnya.
BACA JUGA: Staycation Selangor: Senarai Penginapan Keluarga, Kids Friendly!
Pengenalan – Farm in the City
Farm In The City bukan sekadar taman haiwan biasa, tetapi merupakan gabungan antara ladang mini dan zoo yang memfokuskan kepada interaksi mesra haiwan.
Dengan konsep unik tanpa sangkar, taman haiwan ini direka untuk memberikan pengunjung pengalaman memberi makan, menyentuh, dan bermain dengan haiwan-haiwan seperti arnab, kura-kura, dan burung-burung eksotik dalam suasana terbuka.
Semua haiwan dibenarkan berkeliaran bebas dalam kawasan khas yang direka menyerupai habitat semula jadi mereka.
Ini membolehkan pengunjung berinteraksi dengan lebih daripada 100 spesies haiwan dalam persekitaran yang mesra pengunjung.
Taman ini juga menyokong pendidikan tentang kepelbagaian biologi dan usaha konservasi, yang menjadikannya sesuai untuk lawatan keluarga, kanak-kanak, dan sesiapa sahaja yang ingin berinteraksi serta belajar tentang haiwan.
Farm In The City menawarkan suasana yang menyeronokkan dan mendidik, menjadikannya sebagai salah satu tarikan utama di Seri Kembangan yang wajib dikunjungi.
Lokasi dan Waktu Beroperasi
Farm in the City terletak strategik di Seri Kembangan, kira-kira 20 minit memandu dari Kuala Lumpur. Kawasan ini mudah diakses dari Kuala Lumpur serta bandar-bandar sekitarnya. Untuk yang pertama kali datang, lokasi ini berada berhampiran dengan pusat beli-belah besar seperti AEON Mall Taman Equine.
Naik Kereta:
- Anda boleh klik pautan ini untuk arah:
– Peta Google
– Waze - Tempat letak kereta PERCUMA terhad. First come first serve.
Naik Kereta Api:
- Turun di stesen MRT Putra Permai (PY37) menggunakan laluan MRT Laluan Putrajaya.
- Kemudian, berjalan kaki selama 5 minit ke Farm In The City.
Naik Bas:
- Naiki Bas Pengantara MRT menggunakan laluan (T544) atau (T542) dan turun di stesen MRT Putra Permai (SJ884) atau Pusat Bandar Putra Permai Selatan (SJ835).
- Kemudian, berjalan kaki selama 5 minit ke Farm In The City.
Farm in the city ini dibuka setiap hari kecuali hari Selasa, dari pukul 10:00 pagi hingga 6:00 petang. Pada hari cuti umum dan cuti sekolah, Farm In The City akan beroperasi seperti biasa bermula pukul 9:30 pagi hingga 6:00 petang. Hari Selasa tutup, kecuali cuti umum & cuti sekolah.
Tarikan Utama Farm in the City
Farm in the City menawarkan pelbagai tarikan yang menarik untuk pengunjung daripada semua peringkat umur. Berikut adalah lima tarikan utama yang tidak boleh dilepaskan semasa lawatan anda:
1. ‘Petting’ Haiwan-haiwan
Salah satu ciri unik FITC adalah peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelbagai jenis haiwan. Di sini, pengunjung boleh berinteraksi secara langsung dengan haiwan-haiwan yang kebanyakannya sangat jinak. Contohnya seperti arnab, kambing, kuda, kura-kura, burung, anak-anak itik, ayam dan sebagainya.
Berbeza dengan zoo konvensional, Farm In The City membolehkan pengunjung menyentuh dan memberi makan haiwan-haiwan ini. Pengalaman ini sangat menyeronokkan terutamanya bagi kanak-kanak, membolehkan mereka belajar tentang haiwan secara santai dalam suasana yang selamat.
2. Zon Kura-kura dan Penyu (Turtle & Tortoise Farm)
Salah satu lagi bahagian yang menarik di FITC adalah zon yang menempatkan kura-kura dan penyu. Ada pelbagai spesies kura-kura dan penyu dengan bermacam-macam saiz, bentuk, serta corak tempurung mereka yang anda boleh lihat di zon ini.
Bahagian ini bukan sahaja menarik dari segi visual, tetapi juga sangat mendidik. Anda boleh belajar tentang perbezaan antara kura-kura dan penyu, habitat semula jadi mereka, dan usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan untuk melindungi spesies-spesies ini.
Kanak-kanak pasti akan teruja untuk melihat kura-kura yang besar dan penyu yang comel berenang dan berjalan di sekitar kawasan mereka!
3. Gua Reptilia (Reptile Cavern)
Bagi peminat reptilia, zon ini menempatkan beberapa jenis reptilia seperti ular, iguana, buaya, kadal, dan banyak lagi spesies reptilia yang menarik.
Zon ini direka menyerupai habitat semulajadi reptilia, memberikan pengunjung gambaran yang realistik tentang bagaimana reptilia ini hidup di alam liar. Ini bukan sahaja menarik untuk dilihat, tetapi juga sangat mendidik.
Pengunjung boleh belajar tentang tingkah laku reptilia, cara mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran, dan kepentingan mereka dalam ekosistem.
4. Aviari Burung
Hah, ini adalah salah satu tarikan yang digemari ramai di Farm in the city. Bukan kanak-kanak je suka, orang dewasa pun enjoy sekali.
Bahagian ini dipenuhi dengan pelbagai spesies burung berwarna-warni dan menarik. Anda boleh melihat burung kakak tua, merpati, burung nuri, dan banyak lagi spesies burung eksotik yang jarang dilihat. Pengunjung boleh memberi makan burung-burung ini dan menyaksikannya terbang bebas di sekeliling.
Jangan lupa ambil gambar bersama burung-burung yang hinggap di tangan atau kepala anda!
5. Tunggang Kuda Pony
Salah satu aktiviti yang juga popular di sini ialah tunggangan kuda pony. Aktiviti ini biasanya tersedia pada waktu tertentu dalam sehari, dan ia merupakan peluang yang baik untuk kanak-kanak merasai pengalaman menunggang kuda dalam suasana yang selamat.
Kuda-kuda pony ini dilatih khusus untuk kanak-kanak dan akan dipandu oleh staf yang berpengalaman. Ada bayaran yang dikenakan untuk setiap tunggangan.
6. Memancing Ikan di Longkang
Berhampiran kafe, terdapat kawasan longkang yang dipenuhi dengan ikan-ikan. Pengunjung boleh mencuba kemahiran menangkap ikan dengan menggunakan jaring kecil.
Aktiviti ini sangat seronok dan mengimbau kembali kenangan sewaktu kecil dahulu bagi yang tinggal di kawasan kampung.
7. Tasik
Di Farm in the city ini juga terdapat tasik yang dipenuhi dengan ikan-ikan koi, angsa dan itik yang bebas berkeliaran. Pengunjung boleh membeli makanan ikan di mesin yang berhampiran dan memberi makan ikan-ikan di tasik.
Selain daripada lima tarikan utama ini, FITC juga mempunyai banyak lagi kawasan menarik seperti Laluan Hutan, Dewan Pameran, Jeti Pelikan dan sebagainya. Anda boleh rujuk laman sesawang Farm In the City untuk mengetahui lebih banyak tarikan yang ada di sini.
Harga Tiket Masuk
Harga tiket masuk ke Farm In The City berbeza mengikut umur dan status penduduk. Berikut adalah kadar harga untuk tahun 2024:
- Dewasa (MyKad): RM39
- Kanak-kanak (MyKad): RM32 (umur 3 hingga 11 tahun)
- Warga Emas (MyKad): RM32
- Pelancong Antarabangsa: Dewasa RM58 | Kanak-kanak & Warga Emas RM48
Kesahan Tiket:
- Tiket dalam talian sah selama 90 hari berdasarkan tarikh pembelian dalam talian.
- Tiket dalam talian mesti dibeli sekurang-kurangnya 24 Jam lebih awal.
- Tiket dalam talian sah untuk kemasukan tunggal sahaja.
- Kanak-kanak di bawah 90cm akan dikecualikan daripada bayaran masuk.
- Makanan luar tidak dibenarkan sama sekali.
- Pemilik Ladang di Bandar tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kecederaan, kematian dan/atau kehilangan dan kerosakan harta benda dalam apa jua keadaan.
- Tiada bayaran balik akan dilayan kerana cuaca buruk, bencana alam dan/atau sebarang force majeure.
- Tiada bayaran balik akan dilayan kerana tiket dalam talian yang tidak digunakan.
- Tidak sah dengan promosi berterusan/pakej kumpulan/fungsi/pelancongan.
- Kanak-kanak mesti ditemani oleh orang dewasa.
- Anda dikehendaki mengemukakan MyKad / Pasport anda untuk pengesahan di kaunter kutipan. Jika gagal, surcaj RM19 untuk dewasa & RM16 untuk kanak-kanak akan dikenakan semasa penebusan tiket
- Tiket masuk ini termasuk akses ke semua stesen di Farm In The City. Walau bagaimanapun, ia tidak terpakai untuk aktiviti bayar-per-naik.
Pihak Farm In The City juga menawarkan promosi tertentu sempena musim cuti atau acara khas. Adalah disyorkan untuk menyemak laman web rasmi atau platform pembelian tiket seperti Klook untuk mendapatkan maklumat terkini tentang harga tiket.
BACA JUGA: Sky Mirror Kuala Selangor – Waktu Operasi, Harga Tiket & Tips Sebelum Pergi!
Beli Tiket di Klook
Untuk mendapatkan harga yang lebih rendah sekaligus memudahkan proses pembelian tiket dan mengelakkan beratur panjang di kaunter tiket, anda boleh membeli tiket masuk Farm in the City melalui platform dalam talian seperti Klook.
Mudah saja caranya, taip “Farm in the City” dalam kotak carian di bawah dan klik SEARCH.
Tips Berkunjung ke Farm in the City
Untuk memastikan lawatan anda ke Farm in the City menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan, berikut adalah beberapa tips yang berguna:
1. Pilih Masa Lawatan yang Sesuai
Pemilihan masa lawatan yang tepat boleh memberi kesan besar kepada lawatan anda. Hari biasa (Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat) biasanya kurang sesak berbanding hujung minggu atau cuti umum.
Walau bagaimanapun, jika anda hanya boleh melawat pada hujung minggu atau cuti umum, cuba tiba awal, sebaik sahaja taman dibuka.
Ini akan membolehkan anda menikmati aktiviti dengan lebih selesa sebelum taman menjadi terlalu sesak. Selain itu, haiwan biasanya lebih aktif pada waktu pagi, memberikan anda peluang yang lebih baik untuk berinteraksi dengan mereka.
2. Pakai Pakaian dan Kasut yang Sesuai
Memandangkan anda akan menghabiskan masa berjalan dan berinteraksi dengan haiwan dengan cuaca yang agak panas, adalah penting untuk berpakaian dengan selesa dan kasut yang sesuai.
Pakaian berwarna gelap adalah pilihan yang baik kerana ia tidak akan menunjukkan kotoran dengan mudah jika anda bersentuhan dengan haiwan atau tanah. Jangan lupa untuk membawa topi dan cermin mata hitam untuk perlindungan daripada matahari.
3. Bawa Kipas Tangan
Cuaca di Malaysia boleh menjadi sangat panas dan lembap, terutamanya pada waktu tengah hari. Oleh itu, anda disarankan untuk membawa kipas yang kecil dan mudah dibawa.
4. Beli Makanan Haiwan
Salah satu pengalaman terbaik di Farm in the City adalah memberi makan haiwan. Walaupun ia mungkin memerlukan bayaran tambahan (biasanya sekitar RM10 untuk makanan haiwan), ia sangat berbaloi untuk pengalaman yang anda dapat.
5. Rancang Aktiviti
Jika anda datang bersama anak-anak, pastikan untuk merancang aktiviti dan kawasan yang ingin dikunjungi terlebih dahulu.
Kawasan seperti zon petting dan memancing di longkang pasti menarik bagi mereka, jadi rancang perjalanan anda agar mereka dapat menikmati pengalaman penuh di setiap zon.
NOTA: Tempat ni mesra stroller, jadi jangan risau nak bawa stroller untuk memudahkan lawatan anda.
BACA JUGA: Taman Tasik Titiwangsa – Tarikan Utama & Kemudahan Disediakan
Penutup
Farm In The City di Seri Kembangan adalah destinasi menarik di Selangor yang sangat disyorkan bagi sesiapa sahaja yang ingin pengalaman berinteraksi dengan haiwan. Dengan pelbagai tarikan interaktif yang mendidik, ia menawarkan pengalaman yang menyeronokkan dan lawatan berilmiah untuk semua peringkat usia.
Jadi, jika anda mencari tempat untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan, Farm In The City adalah pilihan yang boleh dipertimbangkan.