Untuk soalan melibatkan faedah bersukan kepada masyarakat, berikut disertakan isi penting dan contoh karangan melibatkan tajuk ini.
Murid boleh menjadikan isi penting dan contoh karangan ini sebagai rujukan untuk menjawab soalan peperiksaan.
Isi Penting Karangan
1. Membantu Mengekalkan Kesihatan Fizikal dan Mental
- Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran.
- Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental.
- Amalan sukan ini dapat mengawal penyakit yang dihadapi oleh seseorang seperti obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung.
2. Mengisi Masa Lapang
- Mengisi masa lapang dengan berfaedah dan dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral.
- Aktiviti bersukan ini dapat menarik masyarakat untuk memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik.
- Jika amalan bersukan menjadi amalan masyarakat secara meluas, ini dapat mengembalikan tenaga dan melegakan tekanan atau stres.
3. Memupuk Perpaduan Masyarakat
- Kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.
- Hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat.
- Nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan.
4. Menambahkan Pendapatan Secara Individu atau Kumpulan
- Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan.
- Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar.
- Industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi.
- Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka.
Contoh Karangan Faedah Bersukan Kepada Masyarakat
i) PENDAHULUAN
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil sahaja. Bersukan adalah aktiviti yang penting sebagai proses merembes keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh badan berlaku melalui perpeluhan.
Di luar negara, amalan bersukan menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat seiring dengan perkembangan pesat industri sukan di seluruh dunia. Amalan bersukan bukan hanya membawa manfaat kepada diri, keluarga, dan negara sahaja tetapi juga kepada masyarakat.
ii) ISI 1: MEMBANTU MENGEKALKAN KESIHATAN FIZIKAL DAN MENTAL
Salah satu daripada faedah bersukan kepada masyarakat ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan separa profesional pada alaf baru ini sering berlumba-lumba untuk meningkatkan sumber ekonomi diri dan keluarga sehingga sering mengabaikan kegiatan fizikal akibat kekurangan waktu untuk tujuan tersebut.
Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Amalan sukan ini dapat mengawal penyakit yang dihadapi oleh seseorang seperti obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Ini merupakan langkah awal bagi mengelakkan penyakit seperti pepatah Melayu “sediakan payung sebelum hujan.”
iii) ISI 2: MENGISI MASA LAPANG
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah dan dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral. Malah aktiviti bersukan ini dapat menarik masyarakat untuk memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Jika amalan bersukan menjadi amalan masyarakat secara meluas, ini dapat mengembalikan tenaga dan melegakan tekanan atau stres.
iv) ISI 3: MEMUPUK PERPADUAN MASYARAKAT
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat.
Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru, kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
v) ISI 4: MENAMBAHKAN PENDAPATAN SECARA INDIVIDU DAN KUMPULAN
Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan.
Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi.
Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan bowling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.
v) PENUTUP
Kesimpulannya, amalan bersukan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat. Oleh itu, semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis sukan. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Sesungguhnya, sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara.
Dapatkan pelbagai peralatan sukan dengan harga Rahmah di SINI.