‘Energy Stick’ – Bahaya / Kesannya Pada Psikologi & Kesihatan

‘Energy Stick’ – Bahaya / Kesannya Pada Psikologi & Kesihatan

Sejak akhir-akhir ini, penggunaan sejenis alat yang dikenali sebagai ‘energy stick’ dalam kalangan pelajar semakin menular. Produk yang digunakan dengan menjolok hidung dan sedut ni dijual secara terbuka dan berleluasa dengan harga serendah RM 2.50 hingga RM 10.00 sahaja.

Ia bukan sahaja boleh menggalakkan para pelajar untuk terdedah kepada penggunaan vape pada usia muda, malah produk berleluasa ini boleh mendatangkan pelbagai risiko negatif dari sudut psikologi dan kesihatan.

Apa Itu Energy Stick

Berdasarkan perkongsian daripada Public Health Malaysia, Energy Stick adalah produk penyedut hidung atau nasal inhaler yang dipromosikan sebagai produk untuk memberikan tenaga dan kesegaran kepada pengguna.

Saiznya kecil, kira-kira sebesar pemetik api dan beraneka warna. Pelanggan juga boleh dapatinya dalam pelbagai perisa menarik.

Energy stick ini juga boleh dikenalpasti dengan rekaan dua corong yang muat ke lubang hidung. Ia boleh disedut dari hidung dan sampai terus ke paru-paru.

energy stick

Mudah didapati di atas talian termasuk di media sosial, ada juga penjual yang menggunakan tag line “Sedut dulu, baru pergi ke sekolah” atau “Sedut dulu, baru mulakan kerja” demi menarik pelanggan dalam kalangan pelajar sekolah dan orang dewasa.

Sesetengah iklan di Marketplace atau media sosial juga sering menyebut bahawa kononnya produk ini dapat membuatkan seseorang hilang rasa mengantuk ketika bekerja atau memandu kereta serta bagus untuk kesihatan.

Lebih merisaukan, ia dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 – RM10.00 sahaja.

Kesan & Bahaya Penggunaan ‘Energy Stick’

Ramai pihak terutamanya ibu bapa dan pihak sekolah bimbang akan bahaya produk penyedut hidung ini kerana ia menyerupai tindakan pengambilan dadah melalui hidung atau ‘snorting’.

Secara psikologinya, tabiat ini sangat negatif kerana ia dapat menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan terlarang lain termasuk dadah.

Menurut Public Health Malaysia, pengambilan produk ini sama seperti pengambilan dadah melalui hidung “snorting” dan secara psikologinya adalah sangat negatif kerana mengalakkan pengguna untuk mencuba bahan bahan lain termasuk dadah.

Lebih merisaukan lagi, pengambilan bahan kimia melalui hidung ini juga boleh menyebabkan pelbagai risiko kesihatan antaranya :

  • Luka atau pendarahan dalam rongga hidung dan saluran pernafasan.
  • Merosakkan mukus dalam rongga hidung
  • Alahan dan keracunan akibat gagal mengenalpasti bahan yang digunakan.
  • Mudah tercemar dan boleh menyebabkan jangkitan.
energy stick
Sumber: Public Health Malaysia

Tindakan KKM

Memetik laporan daripada Buletin TV3, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan segera bagi membendung kewujudan Energy Stick ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau sudah pun menerima aduan serta amaran mengenai produk tersebut.

“Saya sudah awal menerima ‘alert’ ini. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.

“Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 di Bandar Tun Razak di sini, baru-baru ini.

Setakat ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum lagi mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini.

Diharap KKM dan KPM dapat bekerjasama pada masa terdekat bagi membanteras masalah penggunaan Energy Stick ini daripada terus berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya pelajar sekolah.

Sumber : Bernama

Sumber : Buletin TV3, Public Health Malaysia

Bantu kami share artikel ini: