ECRL: Latarbelakang Projek, Jajaran, Jangkaan Siap

Ketika projek ECRL diumumkan beberapa tahun lalu, projek ini menarik perhatian ramai kerana kosnya selain dipercayai memberi impak ekonomi yang besa terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur semenanjung Malaysia.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ini jugak tidak terlepas daripada tempias pengaruh politik sehinggakan jajaran asal laluan kereta apinya pernah berubah beberapa kali.

Apa itu projek ECRL?

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665km bakal menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Sebagai sebuah infrasturuktur nasional, ECRL akan menghubungkan bandaraya dan bandar-bandar serta menaiktaraf sistem pengangkutan awam dengan rangkaian relnya.

Dengan kelajuan 160km, keretapi penumpang ini dianggarkan akan menjadikan masa perjalanan lebih kurang empat jam dari Kota Bharu ke ITT Gombak.

ECRL juga dijangka akan memacu aktiviti komersial, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan merangsang aktiviti pelancongan di sepanjang rangkaian relnya.

Tarikh permulaan projek dan beroperasi

Projek perasmian dan pecah tanah projek ini telah dilakukan pada Ogos 2017 dan dijangka siap pada penghujung 2026.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek ECRL, berkata laluan itu dijadual beroperasi secara komersial pada Januari 2027 dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor.

Jajaran laluan ECRL

jajaran ECRL

Berikut merupakan imej jajaran laluan projek ECRL yang dipaparkan di laman rasmi MRL.

Sumber: MRL

Projek Laluan Rel Pantai Timur ini ditambah baik dengan melanjutkan jajaran asal daripada 640 kilometer (km) kepada 665 km bagi membentuk sistem jaringan rel yang lebih cekap.

Penambahan jajaran tersebut turut merangkumi pelanjutan 30 km jajaran asal, iaitu 24 km dari Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) ke Pelabuhan Barat dan 6 km dari Jalan Kastam ke Pelabuhan Utara.

Objektif utama pembinaan ECRL ialah sebagai laluan kargo, iaitu 70 peratus untuk membawa barangan manakala 30 peratus untuk penumpang jadi penambahan ini dianggap perlu untuk memastikan ada pulangan daripada segi ekonomi.

Kajian secara menyeluruh turut dilaksanakan bagi meningkatkan kelebihan logistik ECRL terutama melibatkan isu kesesakan dan keselamatan kereta api yang kini terpaksa melalui KL Sentral.

Artikel berkaitan: Peta Laluan Kereta Api (MRT, LRT, Monorel, KTM Komuter)

Bukan kereta api berkelajuan tinggi

laluan projek ecrl

Salah satu isu salahfaham orang ramai mengenai projek ini adalah dakwaan projek kereta api ini adalah projek kereta api berkelajuan tinggi.

Apabila siap kelak, kereta api ECRL hanya akan dapat mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.

Buat pengetahuan umum, pihak MRL merancang, mengurus dan melaksanakan projek infrastruktur rel berdasarkan kereta api laju untuk membawa penumpang dan bukan kereta api berkelajuan tinggi, iaitu piawaian industri menetapkan kelajuan sekurang-kurang 250 km/j.

Reka bentuk jajaran rel Projek ECRL juga merangkumi lengkung mendatar dan ketinggian lengkung serta kecerunan yang tidak setanding dengan landasan kereta api berkelajuan tinggi, memandangkan sebahagian besar jajarannya di negeri Pantai Timur dibina di kawasan tanah yang bermasalah, menembusi kawasan berbukit dan lintasan sungai yang lebar.

ECRL kekal sebagai kereta api laju bagi tujuan penumpang dan tidak boleh dinaik taraf atau bertukar menjadi sebuah kereta api berkelajuan tinggi di bawah spesifikasi kejuruteraan dan sistem pengendalian semasa.

Maklumat lanjut

Untuk pengumuman dan perkembangan terkini mengenai projek Projek Laluan Rel Pantai Timur ini, sila layari laman web MRL di pautan https://www.mrl.com.my/en/ecrl/.

Selain itu, ikuti juga halaman Facebook Rasmi ECRl di https://www.facebook.com/ecrlOfficial/.

Bantu kami share artikel ini: