Doa Syifa, Selawat Syifa & Ayat-Ayat Syifa Dalam Alquran | Amalan Untuk Sembuhkan Penyakit
Salah satu nikmat terbesar dalam kehidupan adalah kesihatan. Namun, sekiranya kita diuji dengan sakit, kita haruslah meyakini bahawa Allah menguji sesuai mengikut kemampuan kita masing-masing.
Ketahuilah bahawa sakit itu penghapus dosa dan tanda kasih sayang Allah terhadap makhluknya.
Islam mengajarkan doa kesembuhan (doa syifa) serta beberapa ayat syifa di dalam Al-Quran yang kita boleh amalkan untuk memohon kesembuhan kepada Allah.
Nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca perkongsian di bawah.
Doa Syifa
Daripada Aisyah R.anha berkata, Nabi Muhammad ﷺ biasa membacakan doa perlindungan kepada sebahagian mereka (sahabatnya), baginda mengusap orang tersebut dengan tangan kanan baginda lalu baginda membacakan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَاسَ، اشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
Allahumma rabban nasi, adhhibil ba’sa. Washfi, antash shafi, la shifa’a illa shifa’uka. Shifaan la yughadiru saqaman
Maksudnya: “Ya Allah, tuhan segala manusia, hilangkanlah penyakit ini dan berilah kesembuhan, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan kecuali dengan kesembuhan dari-Mu, (berilah) kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit (lain).”
(Sahih Riwayat al-Bukhari, 5743)
NOTA: Baca doa ini sambil usap bahagian yang sakit dengan tangan kanan anda. Semoga dengan izin & kuasa Allah yang Maha Menyembuhkan penyakit anda disembuhkan.
BACA JUGA: Doa Selamat Ringkas – Panduan Bacaan Rumi dan Maknanya
Selawat Syifa
Selain mengamalkan bacaan Doa Syifa, anda juga dianjurkan untuk mengamalkan membaca selawat syifa atau juga dikenali sebagai selawat tib.
Berikut ialah bacaan selawat syifa:
Maksudnya:
“Ya Allah, limpahkanlah selawat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad yang merupakan ubat kepada hati-hati manusia dan penawarnya, kesembuhan bagi badan-badan dan penyembuhnya, cahaya segala penglihatan dan sinarannya, (begitu juga selawat ini dilimpahkan) ke atas ahli keluarga baginda, para sahabatnya, serta limpahkanlah kesejahteraan (ke atas mereka).”
Ayat-ayat Syifa Dalam Al-Quran
1. Ayat 57 Surah Yunus – Doa untuk sakit-sakit dada & berkaitan.
Maksudnya: “Dan penyembuh (penawar) bagi apa yang (penyakit-penyakit yang berada) di dalam dada”
2. Ayat 82 Surah al-Isra’
Maksudnya: “Dan kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”
3. Ayat 80 Surah asy-Syu’ara
Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku”
4. Ayat 19, Surah Waqiah – Mengubati sakit kepala dan migrain
Maksudnya: “Mereka tidak pening disebabkannya dan tidak pula mabuk…”
5. Ayat 22, Surah Qaf – Menyembuhkan rabun
Maksudnya: “Sungguh, kamu dahulu lalai tentang (peristiwa) ini, maka Kami singkapkan tutup (yang menutupi) matamu, sehingga penglihatanmu pada hari ini sangat tajam.”
Hadis Sakit Penghapus Dosa
Berikut adalah hadis-hadis yang menghuraikan bahawa sakit itu adalah penghapus dosa, antaranya ialah:
- “Tidaklah menimpa seorang Muslim suatu keletihan, penyakit, kecemasan kesedihan, kesulitan, kesedihan, kesakitan dan kepedihan, bahkan hingga duri yang menusuknya, melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan segala kesalahannya.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
- “Tidaklah menimpa seorang Muslim suatu penyakit, keletihan, kepedihan, kesedihan, hingga kecemasan yang dirasakannya, melainkan dengan semua itu Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – (Hadis Riwayat Muslim)
- “Tidaklah menimpa seorang Muslim suatu bencana berupa penyakit dan yang lainnya melainkan dengan Allah akan menggugurkan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan daun-daunnya.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
- “Sesungguhnya Allah Ta’ala akan menguji hamba Nya dengan penyakit hingga penyakitnya itu akan menghapus segala dosa darinya.” – (Hadis Riwaya Al Hakim)
Tips Kekal Positif Apabila Diuji Dengan Sakit
Anas RA berkata: Nabi SAW bersabda,
“Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya cubaan. Sesungguhnya apabila Allah Ta’ala itu mencintai suatu kaum maka Dia mengujinya. Barang siapa yang rela menerimanya, dia mendapat keredhaan Allah, dan barang siapa yang murka, maka dia pun mendapat kemurkaan Allah.” – (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Dalam hadis ini, ia menyatakan bahawa Allah memberi cubaan kepada hamba yang dicintaiNya. Jadi bersyukurlah sekiranya anda diuji, itu bermakna Allah sayang.
Semakin besar cubaan yang kita hadapi, semakin besar pahala yang Allah janjikan. Teruskan berbaik sangka dan yakin dengan kasih sayang Allah.
Selain itu, yakinlah bahawa sakit itu penghapus dosa. Bayangkan dosa-dosa yang kita telah lakukan selama kita hidup. Sudah tentu terlalu banyakkan?
Inilah cara dan tanda kasihnya Allah kepada kita. Dia memberikan ujian sakit, agar dosa-dosa tersebut terhapus.
Abu Said dan Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
“Seorang muslim yang ditimpa penderitaan, kegundahan, kesedihan, kesakitan, gangguan, dan kerisauan, bahkan hanya terkena duri sekalipun, semuanya itu merupakan kafarat (penebus) dari dosa-dosanya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jangan lupa banyakkan berdoa. Mengadu dan minta kesembuhan daripada Allah yang Maha Penyembuh. Berdoalah agar Allah permudahkan dan ringankan kesakitan yang dialami serta diberikan kesembuhan sepenuhnya.
“Dan, mintalah pertolongan dari-Ku pasti Aku perkenankan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Akhirnya, sentiasalah berzikir dan mengingati Allah agar diberi ketenangan dalam menghadapi ujianNya.
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dan berzikir (mengingati Allah). Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram.” – (Surah ar-Ra’d, ayat 28)
Rujukan : Taqwa.my