Doa Sebelum Tidur – Bacaan Rumi, Maksud & Sunnah Rasulullah

doa sebelum tidur
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Doa Sebelum Tidur – Bacaan Rumi Beserta Maksudnya & Sunnah Rasulullah

Islam telah menggariskan pelbagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian, termasuk apabila hendak tidur.

Membaca doa sebelum tidur adalah sangat dianjurkan bagi menghindari gangguan mahkluk halus dan agar berada dalam lindungan ALLAH SWT.  

Berikut dikongsikan bacaan doa tidur beserta maksudnya dan sunnah-sunnah Rasulullah sebelum tidur. 

BACA JUGA: Solat Taubat – Niat, Cara Menunaikannya & Doa Taubat – JAKIM

Pengenalan

Doa tidur hendaklah dibaca sebelum kita melelapkan mata pada malam hari. Ia merupakan doa kebergantungan kepada Allah yang menghidupkan dan mematikan manusia. 

Tidur boleh diumpamakan seperti “mati sekejap” kerana roh keluar daripada badan semasa kita tidur (sama seperti apabila berlakunya kematian) dan akan kembali apabila kita bangun. 

Berikut ialah bacaan doa sebelum tidur:

بِسْمِكَ اللّهُمَّ اَحْيَا وَ بِسْمِكَ اَمُوْتُ 

Bacaan rumi: “Bismika allahumma ahyaa wa bismika amuut.” 

Maksudnya: “Dengan namaMu ya Allah, aku hidup dan aku mati.” 

(Sahih Bukhari, At-Tauhid: 6845)

Amalan Sunnah Rasulullah Sebelum Tidur

Sebelum tidur, Rasulullah SAW melakukan beberapa perkara agar dilindungi sepanjang tidur, mendapat kualiti tidur yang baik serta mendapat pahala. 

Sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad sebelum tidur ialah:

1. Berwudhu 

Rasulullah SAW mengajarkan untuk berwudhu sebelum tidur seperti yang diriwayatkan dalam hadis berikut:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ ، ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya: “Jika engkau hendak mendatangi tempat tidurmu, hendaklah engkau berwudhu seperti wudhu untuk shalat, lalu berbaringlah pada sisi kanan badanmu….” – (HR. Al-Bukhari no. 247 dan Muslim no. 2710). 

2. Mengibas Kawasan Tempat Tidur

Sebelum baring untuk tidur, Rasulullah SAW menganjurkan untuk mengibas katil atau kawasan tempat tidur sebanyak tiga kali. 

Dalam hadis Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda: 

“Jika salah seorang di antara kamu hendak mendatangi tempat tidurnya, hendaknya ia mengibas kawasan tempat tidurnya (katil) dengan kain sarungnya kerana ia tidak mengetahui apa yang ada padanya, kemudian mengucapkan: 

بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Dengan nama-Mu Wahai Tuhanku, aku baringkan badanku dan atas nama-Mu aku mengangkatnya, dan jika Engkau menahan diriku (matikan aku), maka rahmatilah daku, dan jika Engkau melepaskannya, maka jagalah sebagaimana Engkau menjaga hamba-Mu yang soleh.” – (HR. Bukhari no. 247 dan Muslim no. 2710). 

3. Membaca Doa Sebelum Tidur

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Bila kamu tidur, berwudhulah seperti kamu lakukan untuk solat, berbaring di atas kananmu dan katakan: 

‘Ya Allah! Aku menyerah kepada-Mu dan aku serahkan segala urusanku kepada-Mu dan aku bergantung pada-Mu untuk keberkatan-Mu kedua-duanya dengan harapan dan ketakutan kepada-Mu. Tiada dapat melarikan diri daripada-Mu ya Allah! Aku percaya kepada Kitab-Mu yang telah Engkau wahyukan kepada Nabi-Mu yang telah Engkau hantar’. 

Dan jika kamu meninggal dunia pada malam itu, kamu akan meninggal dalam keimanan. Jadikan kata-kata di atas kata-kata terakhirmu (sebelum tidur).”

(HR Bukhari Muslim). 

4. Membaca Ayat Kursi

Rasulullah SAW bersabda:

فَذَكَرَ الْحَدِيثَ فَقَالَ إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِىِّ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ ، وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ 

Maksudnya: “Jika kamu hendak berbaring di atas tempat tidurmu, bacalah ayat Al-Kursi kerana dengannya kamu selalu dijaga oleh Allah Ta’ala dan syaitan tidak akan dapat mendekatimu sampai pagi.” – (HR. Bukhari). 

5. Membaca 3 Qul (Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas)

Setelah membaca doa tidur, ayat kursi, bacalah surah 3 Qul. 

Dari Aisyah RA berkata: 

كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا ( قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ) وَ ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ) وَ ( قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ) ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ 

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila hendak beranjak ke tempat tidurnya setiap malam, baginda akan menyatukan kedua telapak tangannya lalu meniupkan keduanya dan membacakan keduanya surat al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas. Kemudian, mengusap dengan keduanya bagian mana saja semampunya. Baginda memulainya dari atas kepala dan wajahnya serta bagian belakang dari badannya. Baginda melakukan perkara itu tiga kali.” –  (HR. Muslim). 

Penutup

Tidur boleh menjadi ibadah dan mendapat pahala sekiranya dilakukan dengan niat dan cara yang dianjurkan. 

Tidak rugi untuk kita mengamalkan bacaan doa sebelum tidur serta sunnah-sunnah Rasulullah setiap malam agar sentiasa dilindungi daripada gangguan dan mendapat pahala dengan mudah. Betul tak?

Jadi, jom amalkan! 

Rujukan: https://muftiperlis.gov.my/index.php/

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut