Doa Ketika Cuaca Panas – JAKIM
Cuaca panas kadang-kadang menjadi ujian yang mencabar bagi kita semua. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Sungguh menguji keimanan!
Tahukah anda, terdapat satu doa yang boleh diamalkan semasa cuaca panas?
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Doa Ketika Hujan dan Banjir – JAKIM
Doa Ketika Cuaca Panas – JAKIM
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، مَا أَشَدَّ حَرَّ هَذَا الْيَوْمِ ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ
(La Ilaha illa Allah, Mā asyadda Harra Hazal Yaum, Allahumma Ājirni min Harri Jahannam)
Maksudnya: Tiada tuhan melainkan Allah, Alangkah panasnya cuaca pada hari ini, Ya Allah Ya Tuhanku Jauhkanlah aku daripada panasnya neraka jahannamMu.
Sunnah Rasulullah & Apa Yang Perlu Dilakukan Semasa Cuaca Kemarau
1. Berdoa untuk Hujan
Rasulullah SAW mengajarkan umatnya untuk berdoa memohon hujan ketika cuaca kemarau melanda. Beliau sendiri sering kali melakukan doa istisqa’ atau doa meminta hujan kepada Allah SWT untuk mengakhiri kemarau.
> Doa Istisqa’
اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سُقِيَا رَحْمَةٍ وَلاَ سُقْيَا عَذَاب ٍوَلاَ مَحْقٍ وَلاَ بَلاَءٍ وَلاَ هَدَمٍ وَلاَ غَرْقٍ اللَّهُمَّ عَلَى الظِّرَابِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثاً مُغِيْثا،ً هَنِيْئاً مَرِيْئاً مَرِيْعاً، غَدَقاً مُجَلَّلاً عَاماً، دَائِماً إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ اللَّهُمَّ اسْقِنَا الغَيْثَ وَلاَ تَجْعَلْنَا مِنَ القَانِطِيْنَ اللَّهُمَّ إِنَّ بِالعِبَادِ وَالبِلاَدِ وَالْبَهَائِمِ وَالخَلْقِ مِنَ الجُهْدِ وَالجُوْعِ وَالضَّنْكِ مَا لاَ نَشْكُوْ إِلاَّ إِلَيْكَ اللَّهُمَّ أَنْبِتْ لِنَا الزَّرْعَ وَأَدِرَّ لَنَا الضَّرْعَ وَاسْقِنَا مِنْ بَرْكَاتِ السَّمَاءِ وَأَنْبِتْ لَنَا مِنْ بَرْكَاتِ الأَرْضِ اللَّهُمَّ وَاكْشِفْ عَنَّا مِنَ البَلاَءِ مَا لاَ يَكْشِفُهُ غَيْرُكَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَغْفِرُكَ إِنَّكَ كُنْتَ غَفَّاراً فَأَرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْنَا مِدْرَاراً
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah hujan itu rahmat, bukan azab, bukan kemusnahan, bukan bala, bukan kehancuran dan bukan kebanjiran. Ya Allah! Turunkanlah hujan ke atas bukit, kawasan berpasir, kawasan tumbuh-tumbuhan dan kawasan lembah. Ya Allah! Turunkanlah hujan di sekeliling kami bukan di atas kami. Ya Allah! Turunkanlah hujan yang menyelamatkan kami daripada kegetiran. Hujan yang menyegarkan dan menyuburkan, hujan yang turun lebat di merata bumi, hujan yang sentiasa mendatangkan manfaat sehingga hari kiamat. Ya Allah! Siramilah kami dengan hujan dan janganlah Engkau jadikan kami golongan yang berputus asa. Ya Allah! Sesungguhnya hamba-hamba-Mu dan negara ini telah didatangi kesukaran, kesempitan hidup dan kelaparan. Kami tidak mengadu melainkan kepada-Mu. Ya Allah! Tumbuhkanlah tanam-tanaman kami, banyakkanlah susu ternakan kami, turunkanlah kepada kami keberkatan daripada langit, dan tumbuhkanlah bagi kami dari bumi tanaman yang berkat. Hindarkanlah bala bencana daripada kami yang tiada sesiapa yang boleh menghindarkannya selain-Mu. Ya Allah! Kami memohon ampun kepada-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, maka turunkanlah hujan yang lebat ke atas kami.”
Riwayat al-Bukhari (967) dan Muslim (897)
2. Memperbanyak Sedekah dan Amal Kebaikan
Di dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menekankan pentingnya bersedekah dan melakukan amal kebaikan. Baginda menyatakan bahawa sedekah dapat mengundang rahmat Allah dan menghilangkan bala.
3. Bersyukur atas Nikmat yang Ada
Rasulullah SAW mengajarkan umatnya untuk sentiasa bersyukur atas nikmat yang Allah berikan, termasuk apabila cuaca kemarau berlaku. Dengan bersyukur Allah pasti akan menambah nikmatNya.
4. Tidak Boros Menggunakan Air
Rasulullah sangat berhemah dalam menggunakan air walaupun berwudhu apatah lagi semasa cuaca kemarau.
Diriwayatkan daripada Ibn Jabr bahawa beliau mendengar daripada Anas R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْسِلُ، أَوْ كَانَ يَغْتَسِلُ، بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ، وَيَتَوَضَّأُ بِالمُدِّ
Maksudnya: “Nabi SAW mandi menggunakan satu gantang air (bersamaan empat hingga lima cupak air), dan Baginda berwuduk dengan menggunakan satu cupak air.”
5. Menjaga Kesihatan
Pastikan juga anda menjaga kesihatan semasa cuaca kemarau dengan minum air yang mencukupi, menjaga diri daripada sinar matahari berlebihan dan menjaga kebersihan diri.
6. Beristighfar & Bertaubat
Dengan taubat dan istighfar, Allah boleh mengubah dari keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik dan berkeuntungan.
Firman Allah SWT:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ﴿١٠﴾يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا ﴿١١﴾ وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
(Surah Nuh: 10-12)
Sumber:
- Bahagian Dakwah, Jakim
- AL-KAFI #1170: FENOMENA PANAS MELAMPAU: DOSA ATAU UJIAN ALLAH SWT – Mufti Wilayah Persekutuan.