Daun pudina adalah antara herba yang cukup popular. Ia bukan sahaja sering dijadikan penyeri masakan, malah ia juga sesuai untuk diletakkan di dalam minuman bagi menambahkan kesegaran.
Daun ini juga telah digunakan secara tradisi untuk meningkatkan kesegaran mulut serta mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan.
Ayuh kita semak kelebihannya.
Khasiat Penting
Antara nutrisi utama yang terkandung dalam daun berbau harum ini adalah vitamin A, vitamin B kompleks dan vitamin C.
Selain itu, ia juga merupakan sumber bagi pelbagai mineral penting seperti fosforus, kalsium, manganese, potassium dan zat besi.
8 Kelebihan Daun Pudina Untuk Kesihatan Dalaman dan Luaran
1. Untuk Merawat Ketidakhadaman
Daun pudina mampu merangsang enzim penghadaman bagi melancarkan lagi sistem pencernaan.
Selain itu, minyak pati pudina juga mempunyai komponen antiseptik dan antibakteria untuk melegakan ketidakhadaman dan ketidakselesaan perut.
Bagi yang ingin mengurangkan berat badan, anda boleh cuba amalkan minuman air panas yang diletakkan daun pudina.
Selain untuk melancarkan sistem pencernaan, minuman ini dipercayai dapat memacu lagi metabolisma tubuh.
2. Melegakan Sindrom Iritasi Usus
Sindrom iritasi usus atau Irritable Bowel Symptom (IBS) merupakan salah satu masalah penghadaman yang sering berlaku.
Ia boleh mengakibatkan pelbagai isu kesihatan seperti sembelit, sakit perut, cirit-birit dan perut kembung.
Walaupun rawatan utama bagi masalah IBS boleh adalah perubahan diet, namun sesetengah kajian menunjukkan bahawa minyak pudina dapat membantu.
Minyak pudina ini mengandungi kompaun yang dipanggil menthol bagi memberikan kelegaan pada usus.
3. Meredakan Asma dan Batuk
Bagi pesakit asma, anda sangat disyorkan untuk mencuba daun pudina sebagai salah satu kaedah rawatan kerana ia dapat meredakan kesesakan pada dada.
Tambahan pula, menthol yang terkandung dalam pudina terkenal sebagai salah satu bahan yang berkesan bagi melancarkan pernafasan dan keradangan akibat batuk yang kronik.
Lebih penting lagi, pengambilan daun ini secara harian dapat memberikan kelegaan kepada pesakit asma.
4. Baik Untuk Kesihatan Mulut
Pernah tak anda makan gula-gula getah sebaik sahaja bagi menghilangkan bau bawang putih?
Apa kata selepas ini anda cuba kunyah daun pudina untuk menghilangkan bau mulut?
Dengan adanya bahan antibakteria, daun ini mampu memberikan kesegaran nafas yang segera.
Bukan itu sahaja, malah ekstrak pudina juga dapat mengawal pembentukan plak di dalam mulut.
Oleh sebab itulah menthol daripada pudina sering digunakan dalam produk penjagaan mulut seperti ubat gigi dan mouthwash kerana ia boleh menghalang pembiakan bakteria dan membantu anda mengekalkan kesihatan mulut.
5. Menguatkan Sistem Pertahanan Tubuh
Pudina padat dengan vitamin serta antioksida untuk meningkatkan sistem pertahanan badan serta melindungi tubuh daripada pelbagai jangkitan.
6. Baik Untuk Kesihatan Kulit
Selain untuk menyegarkan nafas, daun pudina turut digunakan secara turun temurun bagi mengatasi masalah kulit seperti jerawat.
Beberapa kandungan penting seperti agen antibakteria, antifungus dan antiradang menjadikan pudina sesuai bagi mengatasi masalah kemerahan dan keradangan pada kulit akibat jerawat.
Selain itu, daun ini juga mengandungi bahan penting seperti salicylic acid dan vitamin A bagi mengawal penghasilan sebum yang boleh mengakibatkan jerawat.
Kebaikan menthol serta antioksida dalam daun ini juga menjadikan ia sesuai untuk dijadikan sebagai salah satu bahan utama dalam produk kecantikan.
7. Meredakan Stres
Daun pudina juga merupakan salah satu komponen yang popular dalam rawatan aromaterapi.
Baunya yang kuat dan menyegarkan didapati mampu meredakan stres dan menenangkan minda.
Anda juga boleh tambahkan pudina ke dalam teh panas, mandi atau gunakan pelembap udara yang dititis dengan minyak pudina.
Bagi para ibu yang sedang alami morning sickness, cubalah daun pudina untuk menghilangkan rasa loya.
8. Mengurangkan Rasa Sakit Ketika Menyusu
Masalah putting payudara sakit adalah perkara yang normal bagi ibu menyusukan anak. Beberapa kajian membuktikan bahawa dengan menyapu daun pudina, ia boleh meredakan sakit yang dialami para ibu.
Kesan Sampingan
Secara umumnya, daun pudina selamat untuk diamalkan oleh semua. Namun, individu dengan masalah reflux (FERD) perlulah kurangkan pengambilan daun ini kerana ia boleh menyebabkan sakit perut.
Minyak menthol pula mungkin tidak sesuai bagi kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan kesukaran bernafas.
Ternyata, daun pudina mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan. Jadi, anda bolehlah tambahkan daun pudina dalam diet untuk mendapatkan khasiat tambahan seperti antioksida, vitamin dan sebagainya.
Sumber : pharmeasy.in
Baca Juga : Manfaat Daun Kucai Untuk Kesihatan Yang Ramai Tak Tahu