Maal Hijrah 2024 / Awal Muharam 1446H : Tarikh Cuti Di Malaysia

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 2024 & TARIKH CUTI AWAL MUHARAM 1446 H DI MALAYSIA

Bulan Muharam adalah permulaan bagi kalendar Umat Islam mengikut kalendar hijrah.

Awal Muharram atau Maal Hijrah dan amat penting kerana berlakunya peristiwa sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharram tahun baru bagi takwim hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

Awal muharam maal hijrah 2022 tema

KISAH HIJRAH RASULULLAH SAW

Sambutan Maal Hijrah setiap tahun mengingatkan Umat Islam kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari kota Mekah ke Madinah.

Berikut dikongsikan infografik kisah hijrah Rasulullah SAW untuk renungan kita semua.

maal hijrah 2024
Sumber: JAKIM

Sempena sambutan Maal Hijrah 1446H, hayati peristiwa hijrah baginda SAW bukan sekadar perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain, tetapi merupakan suatu iktibar sebagai perubahan dari satu keadaan ke satu keadaan yang lebih baik.

Tarikh Cuti Umum Awal Muharam / Maal Hijrah Malaysia 2024

Menurut kalendar / takwim JAKIM, tarikh Awal Muharram 2024 atau Maal Hijrah 1446H di Malaysia adalah pada 7 Julai 2024 (Ahad).

Tarikh ini merupakan Hari Kelepasan Am Persekutuan di mana semua negeri akan bercuti pada hari ini.

maal hijrah 2024 cuti awal muharam

Oleh kerana Awal Muharam jatuh pada hari Ahad, cuti ganti akan diberikan pada negeri-negeri yang terlibat seperti berikut:

  • Kumpulan A : 5 – 7 Julai 2024 (Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu)
  • Kumpulan B : 6 – 8 Julai 2024 (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan)

Di sini kami lampirkan kalendar bagi bulan Julai 2024.

Dengan senarai ini, mudahlah untuk anda membuat perancangan berkaitan cuti Awal Muharam 2024 nanti.

Sila rujuk lampiran di bawah:

cuti awal muharam 2024
Kredit: Calendar Malaysia

Sumber: https://www.kabinet.gov.my/bkpp/index.php/perkhidmatan/hari-kelepasan-am

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2024 / 1446H

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA ( JAKIM )
BERKENAAN MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446H / 2024M

1. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M pada 7 Julai 2024 (Ahad) bersamaan 1 Muharram 1446H bermula pada jam 10.00 pagi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ).

2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.

TEMA SAMBUTAN MA’AL HIJRAH

3. Sempena Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, Kerajaan telah memilih tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”. Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep al-Falah ( kejayaan ) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.

PENGANUGERAHAN TOKOH MA’AL HIJRAH

4. Seperti kelaziman, penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan diumumkan pada majlis tahun ini.

5. Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara. Tokoh juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.

sambutan maal hijrah kebangsaan

PENGISIAN AKTIVITI SEMPENA SAMBUTAN MA’AL HIJRAH

6. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M ini akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Putra, Putrajaya pada 6 Julai 2024 jam 7.00 malam. Majlis ini akan dihadiri oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama ).

7. Pembacaan doa akhir dan awal tahun ini akan dipimpin oleh Sahibul Fadhilah Dr. Muhamad Zakuwa bin Rodzali, Imam Besar Masjid Putra. Justeru, umat Islam turut dijemput ke Masjid Putra dan disarankan untuk bersama-sama berdoa memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini.

8. Kemuncak Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H / 2024M ini adalah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

9. Seramai 6000 orang tetamu dijangka akan hadir terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet, Duta-duta, Ketua-ketua Jabatan / Agensi Kerajaan, pegawai-pegawai kanan Kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan juga orang awam.

10. Sambutan Ma’al Hijrah yang disambut saban tahun di negara kita ini tentunya mempunyai pengertian tersendiri bagi mendidik masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat kita contohi dan aplikasikan dalam hidup pada masa ini. Saya yakin setiap dari kita mempunyai perspektif dan pengertian masing-masing berkaitan peristiwa hijrah ini.

11. Harapan saya, semoga sambutan Ma’al Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat selaras dengan tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani” ke arah menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang diperkenal oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

12. Majlis ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan Youtube JAKIM. Radio Nasional FM, Radio IKIM, Bernama Radio, dan Web TV JAKIM turut membuat liputan secara langsung. Selain itu, beberapa radio RTM juga membuat lintas langsung iaitu Salam FM, KL FM, Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

Sekian.

DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
5 Julai 2024M / 28 Zulhijjah 1445H

Logo Maal Hijrah

Berikut adalah pengertian di sebalik logo Maal Hijrah yang sering kita lihat:

  1. Kuning – Keagungan
  2. Biru – Persaudaraan
  3. Huruh ‘ha’ – Hijrah
  4. Putih – Fitrah manusia yang suci dan bersih
  5. Merah – Semangat perpaduan
  6. Bulatan – Melambangkan glob dunia. Ia dilingkari sarang labah-labah yang mengingatkan peristiwa dramatik dan mendebarkan jantung iaitu ketika Rasulullah SAW bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar bersembunyi di dalam gua ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah
maal hijrah 2024

Doa Akhir Tahun & Awal Tahun

Bersempena dengan ketibaan Awal Muharam 1446H, marilah kita mengakhiri penghujung tahun dan memulakan permulaan tahun baru ini dengan membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Mudah-mudahan kehidupan kita sepanjang tahun ini dipelihara Allah dan sentiasa dalam naunganNya.

Berikut adalah Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun Hijrah (rujuk lampiran gambar)

Doa Akhir Tahun Hijrah (1446H) dibaca sebelum masuk waktu Maghrib (akhir waktu Asar atau selepas solat Asar) pada 29 Zulhijjah 1445H bersamaan 6 Julai 2024 (Sabtu).

Doa Awal Tahun Hijrah (1446H) pula dibaca selepas masuk waktu Maghrib pada 6 Julai 2024 (Sabtu).