Cukai SST – Semakan Kadar & Skop Cukai Mulai 1 Julai 2025

cukai SST
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Cukai SST akan melalui semakan semula kadar cukai jualan serta peluasan skop cukai perkhidmatan bermula 1 Julai 2025 sebagai langkah strategik Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekonomi negara.

Penambahbaikan ini dilaksanakan secara bersasar bagi memastikan hanya barangan pilihan dan perkhidmatan bukan asas dikenakan cukai, manakala barangan keperluan asas kekal dikecualikan.

Pelaksanaan ini dijangka memberi manfaat jangka panjang melalui hasil cukai yang digunakan untuk meningkatkan bantuan rakyat dan penyampaian perkhidmatan awam.

Ketahui info penuh tentang semakan cukai SST dalam artikel ini.

Baca juga: Maksud GST, Kelebihan dan Perbandingan Dengan SST

Siaran Media Kementerian Kewangan

Semakan Semula Kadar Cukai Jualan dan Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan Secara Bersasar Berkuat Kuasa 1 Julai 2025

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober 2024, Kerajaan MADANI akan melaksanakan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (CP) bermula 1 Julai 2025. Langkah ini bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan peluasan asas percukaian, bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ini telah melibatkan proses libat urus bersama pihak berkepentingan, terutamanya persatuan industri dan ejen percukaian. Penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri untuk memastikan rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan.

Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. Untuk memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, kerajaan mengambil pendekatan secara bersasar dengan memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai. Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.

Tambah beliau, usaha ini melengkapkan usaha Kerajaan MADANI dalam merancakkan ekonomi dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial. Hasil tambahan daripada langkah ini akan membolehkan penambahan bantuan perkhidmatan awam, termasuk peningkatan bantuan tunai kepada rakyat dan penambahbaikan prasarana serta penyampaian perkhidmatan awam. Tambahan hasil ini akan dimanfaatkan tanpa menambah beban kepada rakyat.

Secara amnya, semakan kadar CJ dan peluasan skop CP merangkumi perkara berikut:
i. Kadar CJ kekal dan tidak dinaikkan bagi barangan keperluan asas rakyat.
ii. Kadar CJ sebanyak 5% atau 10% dikenakan hanya ke atas barangan pilihan dan bukan keperluan asas.
iii. Skop kenaan CP diperluas kepada perkhidmatan baharu seperti sewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan, dan kecantikan. Peluasan ini disertakan dengan pengecualian terpilih bagi mengelakkan cukai berganda serta memastikan perkhidmatan keperluan tertentu untuk warganegara Malaysia tidak dikenakan cukai.

Kerajaan MADANI turut mengambil kira keperluan pematuhan perundangan bagi syarikat yang tertakluk kepada SST. Oleh itu, syarikat yang mengambil tindakan untuk mematuhi perundangan SST tidak akan dikenakan tindakan pendakwaan atau penalti sehingga 31 Disember 2025.

Sila rujuk lampiran untuk maklumat terperinci. Hebahan umum, perundangan subsidiari, ketetapan umum, garis panduan dan soalan lazim (FAQ) akan dibuat melalui siaran media rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Kementerian Kewangan
Putrajaya
9 Jun 2025

Cukai SST

Cukai SST

Cukai SST

Apa itu Cukai SST?

Cukai SST merujuk kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Service Tax) yang diperkenalkan semula di Malaysia pada 1 September 2018 bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sistem percukaian ini terbahagi kepada dua komponen utama iaitu Cukai Jualan (CJ / Sales Tax) dan Cukai Perkhidmatan (CP / Service Tax).

1. Cukai Jualan (CJ / Sales Tax)

Cukai ini dikenakan ke atas barang bercukai yang dihasilkan dalam negara oleh pengilang berdaftar atau barang yang diimport ke Malaysia. Kadar cukai biasanya adalah 5% atau 10%, bergantung pada jenis barangan.

Contoh barangan dikenakan Cukai Jualan:

  • Elektronik (contoh: peti sejuk, televisyen)
  • Pakaian
  • Minuman berkarbonat

Namun, barangan keperluan asas seperti makanan asas, ubat-ubatan dan buku biasanya dikecualikan daripada cukai ini.

2. Cukai Perkhidmatan (CP / Service Tax)

Cukai ini dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan berdaftar di dalam Malaysia. Kadar cukai standard adalah 6%.

Contoh perkhidmatan dikenakan Cukai Perkhidmatan:

  • Perkhidmatan profesional (contoh: perakaunan, guaman)
  • Hotel dan penginapan
  • Restoran dan makanan
  • Telekomunikasi
Cukai SST

Objektif Cukai SST

1. Meluaskan Ruang Fiskal
Kedudukan ruang fiskal negara yang lebih kukuh akan membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak inisiatif dan bantuan kepada rakyat, sekaligus membantu mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup.
Contoh bantuan: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA.

2. Barangan Asas Dikecualikan
Kerajaan memberi jaminan bahawa golongan rentan tidak akan terjejas kerana tiada kenaikan kadar cukai jualan bagi barangan keperluan asas.

3. Manfaat SST Untuk Kesejahteraan Rakyat
Hasil daripada cukai akan digunakan untuk menambah baik perkhidmatan awam kepada rakyat, termasuk bantuan semasa bencana, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.

4. Percukaian Bersasar
Pelaksanaan sistem percukaian SST adalah lebih mudah difahami dan bersifat bersasar.
Sebagai contoh, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas pendidikan tinggi dan penjagaan kesihatan swasta hanya kepada bukan warganegara Malaysia.

5. Ke Arah Menjadikan SST Sebagai Cukai Yang Progresif
Semakan semula kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan dilakukan secara bersasar. Cukai hanya dikenakan ke atas perkhidmatan bukan keperluan dan barangan pilihan, bukan ke atas keperluan asas rakyat.

Cukai SST

Baca juga: Road Tax Calculator 2025: Cara Kira Cukai Jalan Kenderaan

Tarikh Berkuat kuasa

Semakan cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan boleh dilakukan bermula 1 Julai 2025 (Selasa).

Cukai SST

Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan

Peluasan skop cukai perkhidmatan akan merangkumi beberapa aspek iaitu:-

  • Perkhidmatan Sewaan atau Pajakan
  • Perkhidmatan Kerja Pembinaan
  • Perkhidmatan Kewangan
  • Perkhidmatan Jagaan Kesihatan
  • Perkhidmatan Pendidikan
  • Perkhidmatan Kecantikkan

Kadar Cukai Jualan

1. Barangan Berkadar 0%

Cukai jualan pada kadar 0% dikenakan ke atas barangan keperluan asas untuk memastikan tidak membebankan rakyat.

Contoh barangan kekal pada kadar 0%:

  • Barang belum diproses: ayam, lembu, kambing, tilapia, udang, sotong, sayur dan buah-buahan tempatan, beras, barli, gandum.
  • Barang telah diproses: tepung, sardin dalam tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi segera, susu (Milo, Vico, Nestum), minyak masak.
  • Lain-lain: ubat dan peranti perubatan, buku/surat khabar, makanan ternakan, bahan binaan asas (semen, batu, pasir), baja dan racun, jentera pertanian & penternakan.

2. Barangan Berkadar 5%

Kadar 5% dikenakan ke atas barangan pilihan atau mewah yang terpilih.

Contoh barangan kekal pada kadar 5%:

  • Abalone dan lobster
  • Quinoa
  • Keju
  • Jem buah-buahan
  • Telefon pintar

Contoh barangan yang dinaikkan ke kadar 5%:

  • Jentera industri
  • King crab
  • Salmon & kod
  • Cendawan truffle
  • Strawberry import
  • Essential oil
  • Sutera

3. Barangan Berkadar 10%

Kadar tertinggi 10% dikenakan ke atas barangan mewah dan tidak asas.

Contoh barangan kekal pada kadar 10%:

  • Kaviar
  • Sirip ikan yu
  • Minuman beralkohol
  • Rokok dan cerut
  • Barangan kulit

Contoh barangan dinaikkan ke kadar 10%:

  • Lukisan tangan antik
  • Sisa skrap tungsten
  • Basikal lumba

Maklumat Lanjut

Untuk mendapatkan informasi terkini berkenaan dengan pelaksanaan SST tahun ini, anda boleh rujuk dari semasa ke semasa laman rasmi Kementerian Kewangan:

Baca juga: Nombor Pengenalan Cukai (TIN) : Semakan dan Pendaftaran

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut