Cara pilih cili kering perlu diketahui oleh semua kerana ia merupakan antara ramuan penting dalam masakan Malaysia.
Walaupun mempunyai rupa yang hampir sama, sebenarnya cili kering mempunyai beberapa jenis dan memiliki tahap kepedasan yang berbeza.
Jika tersilap beli, hidangan yang anda hasilkan mungkin menjadi terlampau pedas sehinggakan menambah gula pun tidak boleh mengurangkan rasa pedasnya.
Bagi membantu anda memilih cili kering yang betul, berikut kami kongsikan beberapa kaedah untuk kenalpasti dan cara pilih cili kering yang sesuai dengan citarasa anda.
Cara Pilih Cili Kering Tak Pedas, Bezakan Jenis dan Teksturnya
Cili Kering Merah Berkilat
Gambar pertama dari kiri merupakan jenis cili kering yang paling pedas. Ia boleh dikenalpasti dengan warna yang merah, berkilat dan tiada tangkai.
Jika digunakan sedikit pun, ia boleh membuatkan hidangan sambal jadi teramat pedas.
Cili Kering Kerinting
Cili kering pada gambar kedua pula mempunyai rasa pedas yang pertengahan. Bentuk cili ini kerinting, tidak begitu merah warnanya dan tidak berkilat. Disebabkan tidak terlalu pedas, cili kering ini juga digunakan dalam kebanyakan hidangan.
Cili Kering Berkilat, Gemuk, Bertangkai
Cili kering pada gambar paling kanan mempunyai saiz yang lebih besar dan lebar. Untuk membezakannya dengan cili kering yang pedas, ia mempunyai tangkai yang agak panjang.
Warnanya juga merah terang dan dikatakan sesuai untuk dimakan oleh anak-anak kerana rasanya yang tidak pedas.
Jenis Cili Kering Lain
Di samping itu, terdapat juga beberapa jenis cili kering lain yang boleh didapati di pasaran. Ayuh kita semaknya bersama-sama.
1. Cili Kering Kelantan / Gemuk (Tak Pedas)
Cili ini mempunyai kulit yang tebal dan liat, biji yang banyak, bersaiz besar dan berkilat.
Sekiranya dikisar, ia menghasilkan cili boh dengan tekstur yang kasar melainkan penggunaan heavy duty blender.
Disebabkan rasanya yang tidak pedas, ia biasanya dicampur dengan cili kering lain yang lebih pedas.
2. Cili Kering 668 (Pedas)
Mempunyai rasa yang pedas, cili kering ini pula mempunyai bentuk yang kerinting, bijinya kurang dan berkulit nipis.
Ia mudah dikisar sehingga halus dan sesuai untuk dimasak pelbagai hidangan seperti popia sira, sambal ikan bilis, sambal telur, shellout dan sebagainya.
3. Cili Kering 273 (Pedas)
Mempunyai saiz yang kecil seperti cili padi, cili kering ini pula berkilat dan mempunyai banyak biji.
Tahap kepedasannya pula dikatakan sama dengan cili kering jenis 668.
Cili kering ini sesuai untuk dimasak pelbagai hidangan seperti asam pedas, sambal tumis, rendang, dijadikan pes ikan bakar dan sebagainya.
4. Cili Kering Teja
Rupa dan bentuk cili ini pula mirip seperti jenis 273, tetapi lebih kerinting sedikit.
Tidak mempinyai batang, cili kering ini mempunyai kulit yang nipis dan mempunyai tahap kepedasan yang tinggi.
Cili kering ini juga dikenali sebagai cili kering Siam dan sesuai untuk yang sukakan hidangan pedas.
Disebabkan rasanya yang agak menyengat, cili kering ini biasanya digunakan sebagai penambah rasa dalam hidangan ayam masak cili kering atau dijadikan chilli flakes.
Sekarang, anda sudah tahu cara untuk bezakan cili kering tak pedas mengikut saiz, tekstur kulitnya dan jumlah biji. Selepas ini, tak akan timbul lagi masalah tersilap beli cili kering.
Hidangan anda juga pasti akan lebih sesuai dengan cita rasa seisi keluarga. Selamat mencuba!
Sumber : Facebook Zurr Izaty Zolkeply, Facebook Khairul Abdullah, sislin76.com
Baca Juga : Manfaat Daun Limau Purut Untuk Kesihatan