Potensi Cendawan Susu Harimau Untuk Kesihatan

Cendawan susu harimau atau Tiger Milk Mushroom merupakan salah satu herba berbentuk kulat yang cukup popular khususnya bagi masyarakat di benua Asia termasuk Malaysia.

Selain di Malaysia, ia juga boleh dijumpai di kawasan hutan hujan tropika negara lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Papua New Guinea.

Pada awalnya, kulat ini dianggap sebagai herba eksotik kerana ia hanya tumbuh di dalam hutan.

Walau bagaimanapun, kulat ini sekarang boleh dibiak menggunakan teknologi menerusi kaedah kultur tisu.

Dengan penggunaan medium penanaman yang dirumus khas, sclerotia cendawan ini dapat tumbuh dalam kualiti yang memuaskan setaraf dengan yang dijumpai di kawasan hutan.

Kulat dengan nama saintifik Lignosus rhinocerus in boleh dikenalpasti dengan saiz topinya yang besar, leper dan berwarna perang.

Cendawan ini juga mempunyai volva atau struktur dasar yang dipanggil sclerotium.

cendawan susu harimau
Sumber : Harian Metro

Sclerotium inilah yang dikatakan mengandungi nilai perubatan yang tinggi dan sering menjadi tumpuan para penyelidik.

Sebelum dikomersialkan secara meluas sebagai supplemen, kulat ini sering digunakan dalam perubatan tradisional bagi merawat beberapa penyakit seperti batuk, resdung dan demam.

Apakah khasiat yang terkandung di dalam cendawan susu harimau? Ayuh kita semaknya bersama-sama.

Potensi Cendawan Susu Harimau Untuk Kesihatan

Sumber Antioksida Yang Baik

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya, kandungan antioksida pada sclerotium cendawan ini adalah lebih tinggi berbanding jenis cendawan lain.

Di samping berpotensi dalam mencegah stres oksidatif, antioksida juga memainkan peranan penting dalam melindungi tubuh daripada penyakit dan jangkitan.

Berpotensi Sebagai Antikanser

Cendawan susu harimau turut digunakan secara tradisional oleh orang Asli sebagai penawar kanser payudara.

Satu kajian menunjukkan bahawa ekstrak sclerotium cendawan ini mampu merencatkan pertumbuhan sel kanser payudara dan kanser paru-paru.

Pada masa yang sama, ia tidak menunjukkan kesan toksik kepada sel payudara dan sel paru-paru yang normal.

Baik Untuk Kesihatan Paru-Paru

Dari sudut perubatan tradisional, cendawan susu harimau ini sering digunakan bagi yang menghadapi masalah kesihatan sistem pernafasan seperti selsema, asma dan batuk kronik.

Dalam satu penyelidikan, peserta kajian telah diberikan supplemen serbuk cendawan ini. Selepas 3 bulan, sistem imuniti dan kesihatan paru-paru para peserta meningkat secara positif.

Di samping itu, kulat ini juga didapati mempunyai antikeradangan dan imuno-modulasi yang tinggi bagi membantu tubuh melawan jangkitan pada sistem pernafasan.

Sumber : St Louis College of Health

Dengan pelbagai potensi kesihatan yang dimiliki, cendawan ini sangat wajar untuk diberikan tumpuan bagi mengenalpasti manfaatnya pada manusia.

Tambahan pula, ia lebih mudah untuk dibiak pada waktu ini dengan bantuan teknologi kultur tisu.

Sumber : Potential Functional Ingredients from Tiger Milk Mushroom (Universiti Malaya), nature.com, Harian Metro

Baca Juga : Cendawan Enoki : Kandungan Nutrisi dan Khasiat

Bantu kami share artikel ini: