Cendawan Shitake : Kandungan Nutrisi dan Khasiat Untuk Tubuh

Cendawan shitake merupakan antara jenis cendawan yang cukup popular.

Berasal dari Asia Timur, cendawan ini berwarna keperangan sehingga coklat gerap dan boleh membesar antara 2 hingga 4 inci.

83% daripada pengeluaran cendawan ini adalah daripada Jepun dan selebihnya ditanam di negara seperti Kanada, China dan Amerika Syarikat.

Cendawan yang boleh ditemui dalam bentuk segar, kering atau sebagai bahan supplemen ini bukan sahaja unik dan mampu menyerikan hidangan, malah ia juga mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan.

Ayuh kita kenali cendawan ini dengan lebih lanjut.

cendawan shitake
Sumber : SakuraCo

Kandungan Nutrisi

100 gram cendawan shiitake mampu membekalkan nutrisi seperti berikut :

NutrisiJumlah
Kalori34 kcal
Natrium9 mg
Karbohidrat7 g
Serat2.5 g
Protein2.2 g
Vitamin D0.4 ug
Vitamin B60.293 mg
Magnesium20 mg
Selenium5.7 ug

Khasiat Cendawan Shitake

Baik Untuk Kesihatan Jantung

Cendawan ini didapati mampu meningkatkan kesihatan jantung kerana terdapat beberapa kompaun iaitu eritadenine, sterol dan beta glucan yang berupaya mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Sebuah kajian terhadap tikus makmal mendapati serbuk cendawan shitake berpotensi dalam mencegah darah tinggi.

Berpotensi Menguatkan Imuniti

Sebuah kajian menunjukkan pengambilan shiitake kering setiap hari selama sebulan dapat mengurangkan tahap keradangan dalam tubuh.

Kesan imuniti ini dipercayai disebabkan oleh kandungan polisakarida dalam cendawan ini. Satu kajian terhadap tikus makmal juga mendapati bahawa supplemen berasaskan cendawan shiitake dapat memperlahankan gangguan sistem imuniti akibat penuaan.

Mempunyai Potensi Antikanser

Kandungan polisakarida dalam cendawan ini iaitu lentinan juga dikatakan mempunyai potensi untuk mencegah pertumbuhan tumor serta sel leukemia.

Di beberapa negara seperti China dan Jepun, lentinan turut dihasilkan dalam bentuk suntikan sebagai salah satu rawatan untuk membaiki sistem imuniti tubuh dan sering dijadikan rawatan alternatif bagi pesakit kanser gastrik.

Walau bagaimanapun, kajian yang lebih mendalam masih diperlukan bagi mengesahkan dakwaan mengenai potensi antikanser pada cendawan shitake.

Baik Untuk Kesihatan Tulang

Salah satu keistimewaan cendawan adalah ia merupakan satu-satu sumber tumbuhan yang mengandungi vitamin D.

Seperti yang kita tahu, vitamin D adalah penting untuk membina tulang yang sihat dan kuat. Diet yang tinggi vitamin D juga didapati berpotensi dalam mencegah masalah tulang rapuh atau osteoporosis.

Membantu Mencegah Masalah Gingivitis

Gingivitis merupakan masalah gusi yang berlaku akibat pembentukan plak dan bakteria di dalam mulut.

Kajian mendapati ekstrak cendawan ini dapat mengurangkan pembiakan bakteria di samping melindungi bakteria baik dalam mulut.

Kesan Sampingan

Pada kebanyakan masa, cendawan ini selamat untuk dimakan buat semua.

Walau bagaimanapun, segelintir individu boleh mengalami alahan pada kulit ketika makan atau mengendalikan shiitake yang mentah.

Kondisi ini dikenali sebagai shiitake dermatitis dan dipercayai disebabkan oleh lentinan.

Di samping itu, penggunaan ekstrak serbuk cendawan shitake dalam tempoh yang lama mungkin boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti sakit perut dan sensitiviti terhadap cahaya.

cendawan shitake
Sumber : Local Roots NYC

Dengan pelbagai manfaat yang dimiliki, cendawan shitake sangat sesuai untuk dijadikan sebahagian daripada diet harian seisi keluarga.

Rasanya bukan sahaja enak, malah ia juga mempunyai pelbagai potensi baik pada kesihatan terutamanya bagi kesihatan jantung, tulang serta sistem pertahanan badan.

Sumber : WebMD, Healthline

Baca Juga : Cendawan Butang : Khasiat, Nutrisi dan Contoh Resepi Ringkas

Bantu kami share artikel ini: