Bunga sakura sememangnya sangat indah dan menjadi kegilaan ramai apabila tiba musimnya.
Tidak hanya tertumpu di negara popular seperti Jepun dan Korea Selatan, malah bunga ini juga boleh dijumpai di beberapa negara lain seperti Taiwan, China, Perancis, Amerika Syarikat, Kanada dan Sweden.
Nama Sakura diambil daripada perkataan bahasa Jepun iaitu ‘Saku’ yang bermaksud berbunga atau senyuman.
Ia juga dikenali sebagai cherry blossom dalam bahasa Inggeris. Ini adalah disebabkan bunga ini berasal daripada genus Prunus yang terkenal dengan pokok buah ceri.
Walau bagaimanapun, sakura tidak mengeluarkan buah seperti pokok ceri lain. Sebaliknya, ia mengeluarkan bunga yang sangat cantik.
Antara spesis sakura yang popular adalah Yoshino cherry (Prunus x yedonis), weeping cherry (Prunus subhirtella var pendula), autumn-flowering cherry (Prunus shubhirtella var autumnalus), Kwanzan cherry (Prunus serrulata ‘Kwanzan’) dan Takesimensis cherry (Prunus takesimensis).
Kebanyakan pokok sakura dengan bunga cantik ini juga menghasilkan bunga dengan banyak kelopak. Ini berbeza dengan genus Prunus lain yang biasanya mempunyai bunga dengan 5 kelopak sahaja.
Terdapat ratusan jenis bunga Sakura yang telah dikenalpasti. Bergantung kepada spesis, ia juga mempunyai waktu berbunga yang berbeza.
Setiap kali tibanya musim sakura di Jepun, ramai yang tidak akan melepaskan peluang untuk berkelah dan menikmati keindahannya ini bersama keluarga, rakan dan orang tersayang.
Jutaan pelancong dari luar negara juga cukup gemar untuk berkunjung ke negara matahari terbit ini ketika sakura berbunga.
Kegunaan Sakura
Keindahan sakura sering kali ditonjolkan dalam budaya Jepun.
Selain dalam seni tradisional dan moden, motif bunga sakura juga boleh ditemui pada pelbagai produk seperti hiasan rumah, perkakas dapur dan kraftangan.
Bunga dan daun sakura juga sering dijadikan ramuan bagi manisan termasuk kuih tradisional Jepun, biskut serta pastri khususnya pada musim bunga.
Dalam industri penghasilan kosmetik, bunga ini dikatakan mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan wajah seperti mencegah penuaan, mampu mencerahkan serta memulihkan kulit dan menghalang hiperpigmentasi.
Ia juga kaya dengan antioksidan dan mempunyai komponen antiradang membuatkan ia sesuai untuk digunakan oleh individu berkulit sensitif.
Maksud Bunga Sakura dan Simboliknya
DI sebalik keindahannya, sakura juga dipercayai membawa maksud yang cukup bermakna.
Oleh sebab bunga ini berkembang mekar dalam satu rimbunan, ia dilihat mirip seperti awan.
Pada tiba musimnya, sakura akan berbunga dengan sangat banyak. Namun apabila musimnya berakhir, ia akan menghilang bagai dibawa angin.
Disebabkan itu, bunga ini sinonim dengan simbolik kehidupan yang bersifat sementara.
Pada masa yang sama, bunga ini sering dikaitkan pada akhir Mac serta awal April.
Waktu ini juga sinonim dengan tamatnya sesi persekolahan serta permulaan bagi pelajar yang baru bergraduasi dan ingin memasuki alam pekerjaan.
Oleh itu, bunga ini turut melambangkan nostalgia dan permulaan baru dalam kalangan masyarakat Jepun.
Tidak hanya memiliki bunga yang cantik, malah sakura juga mempunyai pelbagai kegunaan dan membawa simbolik yang cukup bermakna khususnya bagi rakyat Jepun.
Jadi, tidak hairanlah mengapa bunga ini cukup sinonim dengan negara tersebut.
Sumber : gotokyo.org, Britannica, garnier.in
Baca Juga : Bunga Kekwa : Nama Saintifik dan Khasiat Teh Bunga