Bunga orkid merupakan antara bunga yang cukup popular di Malaysia.
Ia mempunyai pelbagai spesis, warna, dan bentuk yang unik. Bunga yang indah ini juga sering menjadi pilihan ramai penggemar tanaman bagi menghiasi ruang kediaman dan perkarangan rumah.
Di samping itu, bunga orkid juga menjadi salah satu penyumbang kepada industri tanaman hiasan di Malaysia.
Kebanyakan spesis orkid liar dan hibrid juga menjadi produk hortikultur yang bernilai tinggi.
Sesetengah spesis orkid juga dikategorikan sebagai tumbuhan eksotik sehinggakan harganya boleh mencapai RM 1 juta sepokok!
Antara orkid bernilai tinggi dari Malaysia adalah spesis Orkid Gold of Kinabalu atau nama saintifiknya Paphiopedilum Rothchildianum.
Spesis orkid berharga ini menduduki tempat kelima dalam senarai orkid termahal dunia, iaitu RM 27,270 sepokok.
Nama Saintifik Bunga Orkid
Bergantung kepada jenis spesis, bunga orkid mempunyai nama saintifik yang tersendiri.
Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali dengan nama Orchid yang diambil daripada nama keluarga tumbuhan ini sendiri.
Dalam keluarga orkid iaitu Orchidaceae, terdapat kira-kira 25,000 hingga 35,000 spesis orkid dengan sebanyak 1,000 genera di seluruh dunia.
Menurut penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dianggarkan terdapat 1,026 spesis dan 155 genera orkid di Semenanjung dan 215 spesis adalah endemik.
Di kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, terdapat kira-kira 3,000 spesis orkid. Ini bersamaan dengan 10 hingga 15 peratus orkid di seluruh dunia.
Antara genus orkid komersil yang popular di Malaysia adalah Dendrobium, Phalaneopsis, Cattleya, Mokara dan Oncidium.
Habitat Orkid
Secara umumnya, bunga orkid boleh ditemui di habitat yang lembap seperti kawasan tropika.
Ia juga boleh tumbuh di kawasan hutan dari paras laut sehingga ke hutan pergunungan.
Bunga ini juga boleh dikategorikan kepada cara mereka mendapatkan nutriennya iaitu :
- Epifit (tumbuh atau melekat di pokok)
- Terrestrial (tumbuh di tanah)
- Mycoheterotroph (orkid tanah yang tumbuh simbiotik dengan fungi dan tidak berdaun)
- Litofitik (tumbuh atas batu)
- Reofitik (tumbuhan akuatik hidup dalam sungai yang arus air bergerak pantas)
Kegunaan Bunga Orkid dalam Perubatan Tradisional
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa orkid adalah salah satu ramuan utama dalam perubatan tradisional di Malaysia, China dan Nepal.
Di negara kita, spesis orkid Hancing Ali atau nama saintifiknya Corymborkis veratrifolia digunakan bagi merawat penyakit pundi kencing.
Sementara itu, bahagian pseudobulb dan daun daripada spesis Acriopsis javanica dan Phalaenopsis amabilis biasanya dilumatkan untuk dijadikan tuam dahi bagi melegakan sakit kepala.
Sesetengah wanita yang baru bersalin sering merebus daun Nervilia aragoana untuk mencegah sakit setelah melahirkan anak.
Pada masa yang sama, dikatakan orang Melaka pada zaman dahulu turut menggunakan tumbuhan Oberonia anceps untuk merawat bisul.
Spesis Pseudobulb Calanthe Triplicata juga boleh dihancurkan dan diperahkan jusnya untuk dijadikan penawar bagi demam.
Pseudobulb dari orkid merpati atau nama saintifiknya Dendrobium crumenatum turut digunakan bagi rawatan sakit kepala.
Vanila Berasal dari Orkid
Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa pokok vanila sebenarnya tergolong dalam keluarga Orchidaceae.
Kebanyakan vanila dihasilkan daripada tiga spesis orkid iaitu Vanilla planifolia, Vanilla pompona dan Vanilla tahitensis.
Ia biasanya ditanam di beberapa negara seperti Madagascar, Mexico, Indonesia dan Puerto Rico.
Tak sangka di sebalik keindahan bunga orkid, terdapat pelbagai fakta menarik yang boleh dipelajari.
Ia bukan sahaja mempunyai nilai tinggi dalam industri hortikultur, malah ia juga mempunyai potensi tinggi untuk meningkatkan kesihatan tubuh secara semulajadi.
Sumber : Berita Harian, epengembangan.doa.gov.my, upm.edu.my, Britannica
Baca Juga : Gambar Bunga Menarik dan Maksud Bunga Mengikut Warna