Bius Epidural – Prosedur, Risiko & Kebaikan Kepada Kesihatan

jarum epidural
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bius epidural semakin popular dalam kalangan ibu yang sedang menanti kelahiran, terutamanya bagi mereka yang menginginkan proses bersalin yang lebih selesa dan kurang menyakitkan.

Ia merupakan sejenis kaedah bius separuh badan yang diberikan melalui sebatang jarum khas ke dalam ruang epidural di bahagian tulang belakang.

Namun, di sebalik keberkesananya dalam memberi kelegaan kesakitan yang luar biasa, masih ramai yang tertanya-tanya tentang bagaimana prosedur ini dijalankan, jenis jarum yang digunakan, serta risiko dan kebaikan kesihatannya secara menyeluruh.

Artikel ini akan menerangkan dengan lebih mendalam tentang aspek-aspek penting berkaitan jarum epidural dari pemilihan jenis, langkah-langkah prosedur, kemungkinan kesan sampingan, hinggalah kepada manfaatnya terhadap fizikal dan emosi ibu semasa bersalin.

Baca juga: Bersalin Czer : Maksud, Prosedur dan Risiko Yang Ibu Perlu Tahu

Apa itu Epidural?

jarum epidural

Epidural ialah sejenis bius separuh badan yang menyekat rasa sakit di bahagian tertentu tubuh. Tujuan utama epidural adalah untuk melegakan kesakitan (bukan menghilangkan semua rasa sepenuhnya seperti bius penuh).

Ia berfungsi dengan menyekat isyarat saraf dari bahagian bawah tulang belakang, menyebabkan kurangnya rasa pada separuh bawah badan.

Ubat epidural tergolong dalam kumpulan bius setempat bupivacaine, chloroprocaine, atau lidocaine. Ubat ini biasanya digabungkan dengan ubat tahan sakit yang kuat seperti fentanyl atau sufentanil untuk mengurangkan dos bius yang diperlukan, tetapi tetap memberikan kesan tahan sakit yang berkesan.

Gabungan ini memberikan kelegaan kesakitan dengan kesan sampingan yang minimum. Kadang-kadang, ubat ini juga dicampur dengan epinephrine, fentanyl, morfin, atau clonidine untuk memanjangkan kesan epidural atau menstabilkan tekanan darah ibu semasa proses bersalin.

Kenapa Perlu Ambil Bius Epidural?

Pengambilan bius epidural semasa bersalin atau pembedahan bukanlah perkara wajib, tetapi ia sering menjadi pilihan kerana beberapa sebab penting yang memberi manfaat kepada ibu atau pesakit dari segi fizikal dan emosi.

Berikut adalah antara sebab utama kenapa ramai memilih untuk mengambil bius epidural:

1. Mengurangkan Kesakitan yang Teramat Sangat

Bersalin sememangnya sinonim dengan kesakitan yang luar biasa, terutamanya semasa kontraksi dan proses meneran. Bius epidural membantu menyekat isyarat sakit dari pinggang ke bawah, menjadikan ibu lebih tenang dan mampu fokus semasa bersalin.

Ini memberikan kelegaan yang sangat besar, terutamanya bagi ibu yang bersalin buat kali pertama.

2. Membantu Ibu Berehat Semasa Proses Bersalin

Proses bersalin boleh mengambil masa berjam-jam. Dengan kelegaan yang diberikan oleh epidural, ibu dapat berehat dan menyimpan tenaga, terutama jika perlu meneran lama atau menghadapi komplikasi bersalin.

3. Menurunkan Tekanan Darah yang Tinggi Akibat Sakit

Rasa sakit yang kuat boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, yang boleh membahayakan ibu dan bayi. Bius epidural membantu menstabilkan tekanan darah, terutama bagi ibu yang mengalami hipertensi atau pre-eklampsia.

4. Meningkatkan Ketenangan dan Keyakinan Diri

Ramai wanit merasa kurang cemas dan lebih yakin apabila tahu kesakitan boleh dikawal dengan epidural. Ini penting untuk kesihatan mental semasa bersalin, kerana emosi yang stabil boleh menyokong proses kelahiran yang lebih lancar.

5. Boleh Digunakan Untuk Pembedahan Caesarean

Jika kelahiran normal tidak dapat dilakukan dan doktor memutuskan untuk menjalanka pembedahan Caesarean, biius epidural yang sudah sedia ada boleh digunakan terus untuk prosedur pembedahan, tanpa perlu bius penuh (general anesthesia).

6. Membolehkan Ibu Sedar Sepenuhnya Semasa Kelahiran

Berbanding dengan bisu penuh, epidural hanya menyekat kesakitan fizikal, tetapi ibu tetap sedar dan dapat menyaksikan proses kelahiran anak mereka.

jarum epidural

Siapa Perlu Ambil Epidural?

  • Ibu yang menjalani pembedahan Caesarean (C-section)
  • Ibu yang bersalin secara normal
  • Pesakit yang menjalani pembedahan lain seperti pembedahan toraks (dada), abdomen (perut) dan pelvis

Namun begitu, bius epidural mungkin tidak sesuai atau tidak dibenarkan kepada individu yang mempunyai keadaan berikut:

  • Alergi terhadap ubat bius yang digunakan.
  • Masalah pembekuan darah (darah sukar beku atau risiko pendarahan).
  • Mempunyai jangkitan (sama ada di kawasan belakang atau jangkitan serius dalam badan).
  • Penyakit saraf tertentu atau masalah pada saraf tunjang yang boleh menyebabkan risiko komplikasi apabila disuntik epidural.

Beza Bius Epidural dan Bius Tulang Belakang

PerbandinganBius EpiduralBius Tulang Belakang (Spinal)
KegunaanDigunakan untuk bersalin (normal & Caesarean), pembedahan pelvis dan bahagian bawah badan, serta pembedahan toraks dan abdomen (bersama bius am)Digunakan untuk pembedahan bahagian bawah badan seperti abdomen bawah, pelvis, dan perineum
Lokasi SuntikanDisuntik ke dalam ruang epidural, iaitu ruang luar kantung cecair saraf tunjangDisuntik terus ke dalam cecair serebrospinal (CSF) di dalam kantung saraf tunjang
KesanKesan biasanya ambil masa 20–30 minit untuk berfungsi sepenuhnyaKesan berlaku dengan lebih cepat, biasanya dalam 5 minit atau kurang
Kawalan DosKateter boleh dibiarkan untuk penambahan dos berulang atau berterusanSekali suntikan sahaja, tanpa penambahan dos
Tempoh Tahan SakitSesuai untuk pengurusan kesakitan jangka panjang, contohnya semasa proses bersalinSesuai untuk pembedahan yang singkat hingga sederhana dalam tempoh beberapa jam
Tahap Kawalan Kawasan KebasLebih fleksibel, boleh dikawal ikut keperluanKebas sepenuhnya dari bahagian suntikan ke bawah
Kekerapan DigunakanSering digunakan semasa bersalin dan pembedahan besarBiasa digunakan untuk pembedahan caesarean atau pembedahan urologi/ginekologi

Prosedur Bius Epidural

Langkah-langkah dalam prosedur epidural adalah seperti berikut:

  1. Cecair akan dimasukkan ke dalam tubuh melalui drip (titisan) yang dipasang pada lengan anda. Ini membolehkan anda menerima cecair semasa proses epidural dijalankan.
  2. Anda akan diminta untuk berbaring mengiring dengan lutut dibawah ke dada atau duduk sambil membongkok ke depan. Kedudukan ini penting untuk memudahkan prosedur.
  3. Doktor akan suntik bius setempat (local anaesthetic) pada kulit belakamg anda untuk kebaskan kawasan di mana jarum epidural akan dimasukkan. Ini bertujuan untuk mengurangkan rasa sakit semasa jarum epidural dimasukkan, kerana jarum epidural lebih besar berbanding jarum biasa.
  4. Seterusnya, doktor akan gunakan jarum khas untuk memasukkan tiub plastik halus yang dipanggil kateter epidural ke dalam bahagian belakang anda, berhampiran dengan saraf yang menghantar isyarat sakit ke otak.
  5. Setelah kateter dimasukkan, jarum akan dikeluarkan dan hanya kateter akan ditinggalkan dalam tulang belakang anda untuk penyampaian ubat tahan sakit.
  6. Anda mungkin akan rasa sedikit kurang selesa semasa jarum dan kateter dimasukkan, tetapi ia biasanya tidak menyakitkan.
  7. Anda mungkin akan rasa sedikit kurang selesa semasa jarum dan kateter dimasukkan, tetapi ia biasanya tidak menyakitkan.
  8. Semasa ubat epidural mula berkesan, anda mungkin rasa kebas pada bahagian dada, perut dan kaki.
  9. Apabila anda tidak lagi memerlukan epidural, doktor akan menanggalkan kateter, membersihkan kawasan tersebut dengan antiseptik, dan menutupnya dengan pembalut luka.

Baca juga: Bukaan Bersalin : Fasa 3cm, 8cm, 10cm dan Petua Yang Bakal Ibu Wajib Tahu

Kebaikan Mengambil Bius Epidural

Epidural ialah kaedah yang sangat berkesan untuk mengurangkan kesakitan semasa proses bersalin, dan boleh digunakan sepanjang tempoh bersalin anda.

Pakar bius (doktor anestesiologi) boleh mengawal kesan epidural dengan melaraskan jenis, jumlah, dan kekuatan ubat yang diberikan.

Ini penting kerana apabila proses bersalin semakin maju dan bayi bergerak ke saluran kelahiran, dos ubat yang mula-mula diberi mungkin tidak lagi mencukupi, atau anda mungkin mula rasa sakit di kawasan lain pula.

Ubat ini hanya memberi kesan pada bahagian tubuh tertentu sahaja, jadi anda akan masih sedar dan peka semasa bersalin dan ketika bayi dilahirkan.

Disebabkan anda tidak rasa sakit, anda boleh berehat atau tidur sementara menunggu bukaan serviks cukup besar, dan menyimpan tenaga untuk waktu meneran nanti.

Risiko & Komplikasi

Terdapat risiko dan komplikasi yang mungkin berlaku apabila menggunakan epidural. Antara yang paling biasa adalah seperti berikut:

  • Loya, muntah, kegatalan atau menggigil
  • Tekanan darah rendah – anda mungkin rasa mahu pitam, pening atau loya. Keadaan ini perlu dirawat dengan segera.
  • Epidural tidak berfungsi sepenuhnya – anda mungkin masih rasa tidak selesa atau sakit. Kadangkala keadaan ini boleh dibaiki.
  • Demam – anda atau bayi mungkin perlu diberi antibiotik.
  • Sukar untuk membuang air kecil – anda akan dipasang tiub (kateter) ke dalam pundi kencing untuk membantu.
  • Sakit, lebam atau pendarahan di tempat suntikan.

FAQ Tentang Suntikan Epidural Bersalin

1. Adakah prosedur memasukkan epidural menyakitkan?

Jawapannya bergantung pada individu. Sesetengah wanita menggambarkan prosedur ini sebagai hanya sedikit tidak selesa apabila kawasan belakang dibius. Anda mungkin rasa sedikit tekanan apabila tiub kecil (kateter) dimasukkan.

2. Bilakah epidural akan diberikan?

Kebiasaannya epidural diberikan apabila bukaan serviks mencapai 4 hingga 5 sentimeter dan anda sudah berada dalam fasa bersalin aktif yang sebenar.

3. Bolehkah epidural melambatkan proses bersalin atau menyebabkan kelahiran secara pembedahan (C-section)?

Tiada bukti kukuh yang menunjukkan ia melambatkan proses bersalin atau menyebabkan C-section. Biasanya, faktor lain yang menjadi punca seperti saiz atau kedudukan bayi, atau kemajuan bersalin yang perlahan. Dengan epidural, anda masih boleh rasa kontraksi, tetapi ia tidak menyakitkan, dan anda biasanya masih mampu meneran dengan berkesan. Malah, ada kajian yang menunjukkan epidural boleh mempercepatkan fasa awal bersalin kerana ibu lebih tenang dan kurang stres.

4. Adakah epidural memberi kesan kepada bayi?

Setakat ini, kajian tentang kesan epidural kepada bayi masih belum jelas, kerana banyak faktor lain turut mempengaruhi kesihatan bayi. Kesan epidural boleh bergantung pada dos ubat, tempoh bersalin, dan keadaan bayi itu sendiri.

Antara kesan sampingan yang mungkin berlaku ialah bayi mengalami kesukaran menyusu badan (tidak melekap dengan baik) atau menjadi kurang aktif dalam rahim dan susah untuk berada dalam posisi bersalin.

Ubat epidural juga boleh menyebabkan masalah pernafasan atau degupan jantung bayi menurun, tetapi kebiasaannya ia tidak membahayakan, cuma kesannya mungkin halus dan sementara.

5. Bagaimana rasa selepas epidural dimasukkan?

Saraf pada rahim akan mula kebas dalam beberapa minit selepas dos pertama diberi. Kesan penuh biasanya dirasai selepas 10 hingga 20 minit. Dos tambahan akan diberikan setiap 1 hingga 2 jam, bergantung pada keperluan.

Bergantung pada jenis epidural dan dos, anda mungkin perlu baring di katil dan tidak dibenarkan berjalan. Jika proses bersalin mengambil masa yang lama, kateter urin akan dipasang kerana anda sukar kencing disebabkan bahagian abdomen yang kebas. Selepas bayi dilahirkan, kateter dan epidural akan dikeluarkan, dan kesan kebas biasanya hilang dalam masa 1 hingga 2 jam.

Ada wanita yang melaporkan rasa panas atau pedih di kawasan faraj apabila ubat epidural semakin hilang kesannya.

6. Bolehkah saya meneran dengan baik?

Disebabkan bius epidural, anda mungkin tidak rasa kontraksi berlaku, jadi agak sukar untuk tahu bila masa yang sesuai untuk meneran. Dalam keadaan ini, doktor mungkin perlu bantu menarik bayi keluar menggunakan forsep.

7. Adakah epidural sentiasa berkesan?

Secara umumnya, epidural sangat berkesan untuk melegakan kesakitan semasa bersalin. Namun, ada juga wanita yang rasa ubat kurang berkesan di satu bahagian badan atau masih terasa sakit di sesetengah kawasan.

8. Bila epidural TIDAK boleh digunakan?

Epidural tidak sesuai digunakan jika anda:

– Mengambil ubat pencair darah
– Mempunyai kiraan platelet yang rendah
– Mengalami pendarahan atau kejutan (shock)
– Mempunyai jangkitan pada atau dalam kawasan belakang
– Mempunyai jangkitan darah (sepsis)
– Belum mencapai bukaan serviks 4cm
– Doktor tidak dapat mengesan ruang epidural
– Proses bersalin terlalu cepat dan tiada masa cukup untuk beri epidural

Rujukan:

  1. Epidural – Everything You Should Know About It. American Pregnancy Association
  2. Epidurals. American Society of Anesthesiologists
  3. Effect of Epidural Anesthesia in Labor; Pregnancy with Cardiovascular Disease. Taiwanese Journal of Obstetrics and Gynecology
  4. Medications for Pain Relief During Labor and Delivery. The American College of Obstetricians and Gynecologists
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut