Biodata Abuya Ashaari: Latarbelakang dan Kesesatan Dibawanya

Beberapa minggu kebelakangan ini negara Malaysia digemparkan dengan Op Global oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terhadap kumpulan GISBH yang dipercayai masih mengamalkan pegangan kumpulan Al-Arqam dan ramai yang mula mencari biodata Abuya Ashaari yang mengasaskan kumpulan tersebut.

Bagi yang tidak tahu, kumpulan Al-Arqam sudah difatwakan sesat oleh negeri-negeri di Malaysia sejak dahulu lagi.

Mengikut banyak bukti yang ditemui, kumpulan GISBH yang digempur oleh pihak polis dipercayai masih mengamalkan ajaran sesat yang diamalkan oleh Al-Arqam, antaranya amalan Aurad Muhammadiah yang sudah difatwakan sesat.

Biodata Abuya Ashaari

Ashaari Muhammad lahir pada 1937 di kampung Pilin, Negeri Sembilan (12 tahun selepas kematian Sheikh Suhaimi).

Ashaari Muhammad kali pertama Ashaari menerima (ijazah) Aurad Muhammadiah adalah daripada Lebai Ibrahim bin Alias (bapa saudaranya).

Manakala Lebai Ibrahim mempelajari Aurad Muhammadiah daripada Sheikh Suhaimi sekitar tahun 1915 di Kampung Sungai Udang, Teluk Pulai, Kelang iaitu sepuluh tahun sebelum Sheikh Suhaimi meninggal dunia (1925).

Lebai Ibrahim berkawan rapat dengan Muhammad Khairullah bin Muhammad al-Suhaimi (anak Sheikh Suhaimi). Muhammad Khairullah juga merupakan guru yang mengijazahkan Aurad Muhammad kepada Lebai Ibrahim.

Ketika Ashaari menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, Lebai Ibrahim berpesan kepadanya supaya mengamalkan aurad ini setiap kali selepas menunaikan solat fardu.

Baca lagi: Al-Arqam : Sejarah, Bukti Kesesatan & Fatwa Pengharaman

Kesesatan Abuya Ashaari dan Aurad Muhammadiah

ajaran sesat al-arqam

Pada tahun 1956, Ashaari berkenalan dengan Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah, cucu Sheikh Suhaimi di Kampung Sungai Udang, Kelang, perhubungan rapat Ashaari dengan Muhammad Abdullah lebih kurang selama dua tahun.

Dalam tempoh ini, Muhammad Abdullah menceritakan kepada Ashaari tentang sejarah Aurad Muhammadiah, perkara karomah yang ada pada Sheikh Suhaimi dan kepercayaan dia bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi.

Pada pertengahan tahun 1958, Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah mengijazahkan Aurad Muhammadiah kepada Ashaari atas permintaan Ashaari sendiri.

Walaupun Ashaari telah menerima Aurad Muhammadiah daripada Lebai Ibrahim, tetapi dia menerima Aurad Muhammadiah daripada Muhammad Abdullah untuk kali kedua atas dua sebab, iaitu

Pertama, terdapat perbezaan dalam isi kandungan Aurad Muhammadiah.

Aurad Muhammadiah yang diterima daripada Lebai Ibrahim tidak terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi” sebelum perkataan “Khalifah Rasulillah” sedangkan dalam pengijazahan kedua yang diterima daripada Muhammad Abdullah terdapat penambahan perkataan “Muhammadan Al Mahdi”.

Kedua, Ashaari beriman bahawa Sheikh Suhaimi ialah Imam Mahdi berdasarkan cerita-cerita karomah yang telah disampaikan oleh cucu Sheikh Suhaimi.

Pada tahun 1968, Ashaari mula menyebar ajaran Aurad Muhammadiah melalui organisasi pertamanya iaitu Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Setelah itu berubah menjadi jemaah Darul Arqam atau Al-Arqam.

Ashaari juga telah melakukan tokok tambah ke atas ajaran Aurad Muhammadiah dengan beberapa lafaz bacaan dan kepercayaan. Antaranya kepercayaan mereka Sheikh Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup.

Menurut Ashaari, Sheikh Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Tindakan Ashaari yang mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir. Mereka menggelarkan Sheikh Suhaimi dengan panggilan “Sayidi”.

Dalam Aurad Muhammad Al-Arqam, Ashaari juga telah menambah lafaz selepas “Ila hadhratin naby”:

“Kepada Abuya Sheikh Imam Ashaari bin Muhammad At-Tamimi, dan kepada Lebai Ibrahim dan khasnya kepada Sayidi Syeikh Muhammad As-Suhaimim Imamul Mahdi”

Yang mana lafaz ini tidak ada pada amalan Aurad Muhammadiah versi selain Al-Arqam.

Atas beberapa kepercayaan sesat yang penuh dengan pembohongan ini akhirnya Aurad ini telah diharamkan pada tahun 1986. Setelah itu kerajaan Malaysia telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam pada tahun 1994.

Kredit: Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat

Fatwa kesesatan Al-Arqam

Biodata Abuya Ashaari

Pertubuhan Al-Arqam telah difatwakan sebagai SESAT sebagaimana direkodkan dalam buku Warta Kerajaan Fatwa Ajaran Sesat terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Ia secara rasminya diharamkan pada tahun 1994 dan segala aktiviti berkaitan dengan penyebarannya dalam apa jua bentuk yang boleh menghidupkan kumpulan Al-Arqam adalah DILARANG serta diminta BERTAUBAT.

Berikut merupakan pautan fatwa-fatwa negeri mengenai pengharaman ajaran yang dibawa oleh Abuya Ashaari ini:

  1. JAKIM
  2. Majlis Ugama Islam Singapura
  3. Jabatan Mufti Negeri Perlis
Bantu kami share artikel ini: