Adakah anda bakal melahirkan anak tidak lama lagi dan sedang mempertimbangkan sama ada untuk bersalin czer atau secara normal?
Prosedur ini merupakan alternatif yang cukup popular bagi para ibu yang tidak dapat bersalin secara normal.
Sebelum anda membuat keputusan, anda perlulah fahami prosedur, faktor serta risiko bagi pembedahan ini.
Maksud Bersalin Czer
Kelahiran secara pembedahan Caesar atau C-section ini merupakan satu prosedur yang memerlukan doktor untuk membuat incision (potongan) bermula bahagian abdomen sehingga ke rahim ibu untuk mengeluarkan kandungan.
Doktor biasanya akan memilih prosedur ini sekiranya ia dilihat lebih selamat untuk bayi dan ibu.
Dalam kebanyakan masa, pembedahan Caesar akan dilakukan secara potongan melintang (horizontal), namun terdapat juga prosedur yang melibatkan pemotongan secara menegak (vertical).
Kenapa Doktor Memilih C-Section Pada Ibu?
Ada kalanya, terdapat para ibu yang berharap mereka boleh bersalin normal. Namun, sesetengah keadaan atau komplikasi ketika bersalin mungkin memerlukan doktor untuk menjalankan C-Section.
Antara kondisi yang memerlukan para ibu untuk jalani pembedahan Caesar adalah :
- Degupan jantung bayi tidak normal
- Kedudukan kandungan songsang
- Saiz bayi yang besar membuatkan sukar untuk bersalin normal
- Masalah plasenta seperti placenta previa
- Bayi kembar
- Ibu mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes, darah tinggi, jangkitan HIV keradangan herpes.
- Pembedahan Caesar daripada kelahiran sebelum ini.
Prosedur C-Section
Prosedur mungkin berbeza bergantung kepada keadaan pesakit serta keputusan doktor.
Dalam kebanyakan kes, ibu akan sedar ketika menjalani pembedahan. Hanya sesetengah kes yang memerlukan ibu untuk dibius penuh (general anesthesia).
Kebanyakan prosedur juga dijalankan menerusi bius setempat seperti bius epidural atau tunjang.
Dalam keadaan ini, para ibu tidak akan merasakan apa-apa bermula dari pinggang ke bawah.
Namun, ibu akan berada dalam keadaan sedar dan boleh mendengar tangisan bayi sebaik sahaja ia dilahirkan.
Secara ringkasnya, prosedur C-section adalah seperti berikut :
- Pakar bius akan memberikan bius sambil memantau tekanan darah, pernafasan dan paras oksigen dalam darah.
- Setelah kesan bius bermula, doktor akan memotong pada bahagian atas tulang pelvis secara menegak atau melintang.
- Potongan yang lebih dalam akan dilakukan sehinggalah ke dinding uterus.
- Doktor seterusnya akan memecahkan kantung ketuban dan akan mengeluarkan bayi menerusi potongan yang telah dilakukan. Ketika ini, anda mungkin akan merasakan sedikit tekanan atau sensasi tarikan.
- Tali pusat akan dipotong.
- Kemudian, doktor akan memasukkan ubat ke dalam IV untuk membantu rahim anda mengecut dan mengeluarkan uri.
- Setelah uri dikeluarkan, doktor akan memeriksa rahim sekiranya terdapat uri yang masih tinggal atau sebarang koyakan pada kawasan rahim.
- Seterusnya, doktor akan menjahit dinding rahim, otot, lapisan tisu dan kulit yang terbuka tadi.
- Akhir sekali, doktor akan meletakkan pembalut luka pada kawasan C-section.
Risiko Bersalin Czer
Bagi para ibu yang bakal hadapi pembedahan Caesar, mereka juga perlu ambil maklum akan risiko yang boleh dihadapi antaranya :
- Tindakbalas terhadap ubat yang digunakan ketika pembedahan
- Pendarahan
- Pemisahan plasenta yang tidak normal, khususnya bagi wanita yang sudah menjalani pembedahan Caesar sebelum ini.
- Kecederaan pada pundi kencing
- Jangkitan pada rahim atau bahagian yang luka
- Masalah untuk membuang air kencing atau jangkitan salur kencing
- Gangguan sistem pencernaan
- Darah beku
Bolehkah Ibu Bersalin Czer Bersalin Secara Normal Untuk Kandungan Seterusnya?
Perkara ini pasti sering bermain di fikiran para ibu ketika menanti hari kelahiran bayi.
Setelah 1 pembedahan Caesar, 3 daripada 4 wanita didapati boleh bersalin secara normal.
Namun, untuk menentukan perkara ini, ibu perlulah berbincang dengan doktor bagi mengenalpasti cara yang terbaik.
Ini adalah disebabkan kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan bergantung kepada keadaan ibu.
Bagi menentukan pilihan yang paling selamat, doktor memerlukan semua maklumat di bawah :
- Kenapa pembedahan Caesar dilakukan sebelum ini?
- Pernahkah ibu bersalin secara normal selepas melakukan pembedahan Caesar?
- Adakah ibu alami sebarang komplikasi ketika pembedahan Caesar sebelum ini?
- Adakah ibu alami sebarang masalah ketika berpantang sebelum ini?
- Apakah jenis potongan yang dilakukan pada rahim?
- Adakah kandungan sekarang mengalami sebarang masalah?
- Apakah pendapat ibu mengenai kelahiran sebelum ini?
- Berapa banyakkah anak yang ibu mahukan? (Risiko meningkat dengan setiap kali pembedahan. Bagi ibu yang mahukan banyak anak, mereka perlu elakkan pembedahan Caesar sekiranya boleh)
Antara faktor yang meninggikan kejayaan bersalin normal untuk para ibu yang pernah melakukan pembedahan Caesar adalah :
- Pernah melahirkan secara normal sebelum atau selepas pembedahan (9 daripada 10 orang)
- Sakit bersalin hadir secara semulajadi
- BMI ibu adalah kurang daripada 30
Ibu yang bersalin secara normal selepas 1 pembedahan Caesar juga boleh dapatkan kelebihan seperti berikut :
- Kemungkinan untuk berlaku komplikasi atau risiko pembedahan lebih rendah
- Peratusan kejayaan untuk bersalin normal untuk kehamilan seterusnya adalah tinggi
- Pemulihan luka pembedahan lebih cepat, para ibu boleh kembali ke aktiviti harian lebih mudah
- Mudah untuk mulakan penyusuan bayi
Sementara itu, keburukan bagi ibu bersalin normal selepas melakukan 1 pembedahan Caesar adalah :
- Masih terdapat kebarangkalian untuk lakukan emergency Czer ketika cuba bersalin normal (25 dalam 100 wanita). Ini bagi mengurangkan risiko berbanding bersalin normal.
- Rahim pecah (1 dalam 200 wanita). Risiko meningkat 2 hingga 3 kali ganda sekiranya ibu kena induce. Sekiranya terdapat tanda rahim akan pecah, pembedahan Caesar akan dilakukan segera.
- Kemungkinan koyakan bersalin yang teruk boleh terjadi.
Para ibu tidak dinasihatkan untuk bersalin normal selepas melakukan pembedahan Caesar jika :
- Pernah melakukan 2 atau lebih pembedahan Caesaran
- Rahim pernah pecah untuk kehamilan sebelumnya
- pembedahan Caesar sebelum ini melibatkan pemotongan di bahagian atas rahim.
- Kehamilan sekarang mempunyai masalah dan tidak sesuai untuk bersalin secara normal.
Risiko untuk bersalin secara Caesar sekali lagi pula adalah :
- Sukar untuk dilakukan, mungkin mengambil masa lebih masa berbanding pembedahan Caesar sebelum ini.
- Jangkitan kuman
- Mudah kena darah beku di kaki dan pulmonary embolism
- Mengambil masa yang lebih lama untuk pulih, para ibu mungkin perlukan bantuan tambahan di rumah.
Setelah melakukan 2 kali pembedahan Caesar, doktor biasanya akan menasihatkan untuk pembedahan Caesar bagi kehamilan seterusnya.
Namun, lebih banyak pembedahan Caesar dilakukan, lebih tinggi risiko uri melekat masuk dalam rahim (placenta accreta).
Ini boleh mengakibatkan pendarahan yang serius dan terdapat risiko untuk buang rahim.
Pembedahan Czer mungkin kedengaran agak menggerunkan, namun ia adalah kemestian terutamanya bagi kes kecemasan.
Para ibu biasanya akan diberikan kaunseling mengenai pembedahan Caesar ketika kandungan berusia 34 hingga 36 minggu.
Ketika itu, ibu boleh berbincang dan buat keputusan terbaik dengan doktor mengikut keadaan bayi serta tahap kesihatan ibu.
Sumber : Facebook Medical Mythbusters Malaysia, Johns Hopkins Medicine
Baca Juga : Bukaan Bersalin : Fasa 3cm, 8cm, 10cm dan Petua Yang Bakal Ibu Wajib Tahu