Bengkung bersalin telah menjadi antara keperluan utama para ibu setelah melahirkan anak.
Penggunaan bengkung juga telah diamalkan sejak dahulu kerana dikatakan dapat membantu para ibu mendapat tubuh badan ramping seperti sebelum bersalin.
Namun, sejauh manakah keberkesanan bengkung terhadap tubuh ibu berpantang? Ayuh kita sama-sama semak kelebihannya.
Fungsi Bengkung Bersalin Ketika Berpantang
Semasa wanita hamil, badan akan mengalami beberapa perubahan bagi menampung dan memberi ruang untuk bayi dalam rahim. Organ si ibu dan otot abdomennya juga akan beralih.
Namun setelah melahirkan anak, organ serta otot ini akan kembali kepada posisi asal.
Dengan penggunaan bengkung yang tepat, ia dapat membantu memberikan tekanan lembut dan menyokong otot ketika tubuh dalam proses sembuh.
Selain itu, ia juga boleh memberi sokongan kepada lantai pelvik.
Antara kelebihan penggunaan bengkung selepas bersalin adalah :
- Membantu mengurangkan rasa sakit
- Menyokong abdomen
- Berpotensi dalam membantu mengecutkan rahim
- Membantu pergerakan
- Melancarkan peredaran darah
- Membantu penyembuhan otot dan luka bersalin
- Mengurangkan bengkak akibat pembedahan
- Membantu membetulkan postur tubuh dan mengelakkan sakit belakang
Risiko Pemakaian Bengkung Bersalin
Walaupun penggunaan bengkung ada banyak kelebihannya, namun ia boleh memberikan beberapa risiko kepada para ibu seperti :
- Tekanan atau sakit di bahagian abdomen
- Lantai pelvik prolaps
- Ruam atau kegatalan
Kebanyakan masalah ini berlaku akibat penggunaan jenis bengkung yanng salah atau pemakaian yang terlalu ketat.
Bengkung Tidak Boleh Bantu Turunkan Berat Badan
Pada masa yang sama, sesetengah orang mendakwa bengkung boleh membantu si ibu kembalikan berat badan ideal selepas bersalin.
Hakikatnya, tiada bukti saintifik yang boleh mengesahkan dakwaan ini. Tambahan pula, penggunaan bengkung yang terlalu ketat boleh memberikan tekanan pada pinggang serta risiko kesihatan lain seperti :
- Kesukaran untuk bernafas
- Kerosakan organ
- Asid refluks
- Pedih ulu hati
- Loya
- Pengsan
- Masalah penghadaman
- Vena varikos (varicose vein)
Tips Penggunaan Bengkung Bersalin
Pilih Bengkung Dengan Rekaan dan Material Sesuai
Bengkung bersalin terbaik adalah yang diperbuat daripada fabrik yang lembut, elastik dan mempunyai pengudaraan baik.
Ia juga perlulah fleksibel dan membolehkan anda bergerak dan bernafas dengan mudah.
Panjangnya pula perlulah sesuai untuk menutupi semua abdomen.
Zaman moden ini, masih banyak bengkung bertali yang dijual bagi para ibu yang ingin berpantang secara tradisional.
Namun, terdapat pelbagai jenis dan jenama bengkung yang lebih praktikal dan mudah untuk digunakan seperti yang dilengkapi dengan velcro atau zip di bahagian sisi.
Jangan Pakai Terlalu Lama
Walaupun ramai yang mengesyorkan penggunaan bengkung sepanjang tempoh pantang, namun anda juga perlu berikan ruang kepada kulit untuk bernafas.
Tambahan pula, penggunaan bengkung pada tempoh yang terlalu lama boleh melemahkan otot abdomen serta masalah lain.
Sementara itu, healthline.com turut menyebut bahawa pakar mencadangkan untuk menggunakan bengkuk selama 2 hingga 12 minggu sahaja.
Tempoh lebih lama daripada ini dikhuatiri boleh memberikan kesan negatif pada tubuh ibu.
Jangan Gunakan Korset, Waist Trainer atau Cincher
Jenis-jenis bengkung ini tidak selamat untuk ibu bersalin kerana ia diperbua daripada material yang keras dan terlalu ketat.
Jadi, adalah penting untuk para ibu memilih bengkung yang sesuai serta memakainya dengan cara yang selesa dan betul demi kesihatan dan keselamatan.
Sekiranya para ibu masih keliru untuk membeli bengkung bersalin yang sesuai, jangan ragu untuk dapatkan nasihat daripada doktor atau jururawat bersalin.
Para ibu juga disarankan untuk berjumpa dengan doktor sekiranya timbul masalah apabila memakai bengkung.
Sumber : WebMD, Healthline