Pahang atau turut dikenali sebagai Pahang Darul Makmur merupakan negeri ketiga terbesar di Malaysia, dan seperti negeri-negeri lain, Pahang juga mempunyai bendera negerinya yang tersendiri.
Seperti negeri Terengganu, bendera di negeri ini hanya mempunyai dua warna sahaja iaitu warna hitam dan juga putih. Namun begitu makna dan sejarah disebaliknya adalah berbeza dengan makna dan sejarah di sebalik bendera Terengganu.
Bendera Pahang
Warna Hitam pada bendera ini adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintah di Negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.
Warna Putih pula melambangkan kedaulatan dan pemerintahan negeri meliputi perkara-perkara berkenaan adat resam, adat istiadat, undang-undang, tatasusila dan kuasa-kuasa seorang Sultan yang memerintah negeri ini
Sejarah Bendera Pahang
Untuk pengetahuan anda, kemunculan bendera negeri Pahang ini bermula dengan seorang Bendara iaitu Bendahara Wan Ahmad. Bendara Wan Ahmad ini merupakan seorang bendahara yang juga lahir dalam keluarga diraja Melaka.
Pada tahun 1863, Bendahara Wan Ahmad telah diangkat menjadi Bendahara dan Pemerintah negeri Pahang. Wan Ahmad yang masih seorang Bendahara telah mengekalkan bendera serba hitam sebagai Bendera Pahang.
Hal ini demikian kerana menurut sejarahwan, bendera serba hitam merupakan simbol Bendahara sejak turun-temurun. Oleh itu, beliau telah memilih warna ini sebagai lambang kebesaran jawatan Bendahara tersebut.
Namun begitu, setelah diangkat menjadi Sultan Pahang pertama dari dinasti Kesultanan Pahang Moden pada tahun 1882. Baginda telah menambah satu jalur putih menegak di sebelah pangkal bendera. Warna ini dipilih bagi melambangkan seorang Sultan.
Warna dan corak semasa bendera Pahang mula diguna pakai pada tahun 1903, ketika Pahang masih diperintah Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Nama Bendahara Wan Ahmad selepas menjadi Sultan).
Warna putih di atas warna hitam membawa makna bahawa Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan beraja. Ia juga merujuk kepada keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, serta kuasa tertentu yang ada pada raja sebagai sebuah negeri yang berdaulat.
Sumber: House Of Pahang
Lagu Negeri Pahang
Lagu rasmi negeri Pahang bertajuk “Allah Selamatkan Sultan Kami” telah diguna pakai secara rasmi pada 1925. Lagu ini merupakan susunan semula lagu “Perang Pahang”. Ia telah disusun semula oleh Miss Dorothy Lilian Sworder pada Disember 1924.
“ALLAH SELAMATKAN SULTAN KAMI“
Ya Allah Yang Maha Kuasa
Lanjutkan Usia
Duli Yang Maha Mulia
Dirgahayu Darul Makmur
Aman Dan Bahagia Sentiasa
Ya Allah Selamatkan
Duli Tuanku Raja Kami.