Bawang Putih : Kandungan Nutrisi, Khasiat & Kegunaan

khasiat bawang putih
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

KHASIAT BAWANG PUTIH, NUTRISI DAN KEGUNAANNYA UNTUK KESIHATAN

Terdapat pelbagai jenis bawang yang ada di pasaran antaranya bawang merah, bawang besar, bawang putih, bawang kuning dan sebagainya.

Jom kita ketahui khasiat dan nutrisinya untuk makluman bersama.

Pengenalan

Bawang merupakan dari genus Allium dengan pelbagai spesis berbeza iaitu allium cepa, allium sativa dan sebagainya. Ia sering digunakan di dalam penyediaan makanan samada sebagai sayur atau perencah/ penambah rasa semulajadi dalam masakan.

Bawang putih (garlic) mempunyai nama saintifik Allium Sativum yang berasal dari tumbuhan famili Amaryllidaceae.

Selain itu, bawang juga mempunyai sebatian organik seperti flavonoid dan organosulfur yang merupakan antioksidan. Sulfur yang terdapat pada bawang pula memberi kesan rasa dan bau kepada bawang tersebut terutama apabila dihiris.

Nilai nutrisi untuk 100g BAWANG PUTIH (Alliun sativum) adalah 159 kalori . Bawang putih juga merupakan sumber vitamin C (13.3mg), potassium (329mg) dan serat (0.8 g). 

Selain memberikan RASA enak kepada hidangan dan masakan, pengambilan bawang dalam pemakanan harian juga membantu menyumbang kepada keperluan nutrisi badan kita setiap hari.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang khasiat bawang putih untuk makluman bersama.

Khasiat Bawang Putih Untuk Kesihatan

Bawang putih mampu memberikan manfaat kesihatan jika diambil dengan cara yang betul.

Secara umum, khasiatnya termasuk :

  • Melegakan hidung tersumbat.
  • Mengurangkan selesema.
  • Merawat sakit tekak.
  • Meningkatkan sistem imuniti badan.
  • Membantu meredakan kesakitan gigi. Ia mempunyai sifat antibakteria yang baik dan membantu mengelakkan pembentukan plak gigi. Caranya adalah dengan menumbuk dan mencampurkan dengan garam dan sapukan pada kawasan yang sakit.
  • Menggalakkan kesihatan pencernaan.
  • Boleh memecahkan kolesterol yang menyekat perjalanan darah pada salur darah yang dikenal pasti sebagai punca kepada penyakit darah tinggi.
  • Memberikan manfaat dalam membantu menurunkan kadar homosistein, asid amino  yang dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung.
  • Mampu menghindarkan seseorang daripada diserang kanser kerana kandungan mineralnya membantutkan ketumbuhan tumor dalam tubuh badan.
  • Membantu menangani masalah jerawat.

BAHAN KIMIA AKTIF DALAM BAWANG PUTIH

Di sini pentingnya pemahaman sifat kimia bahan aktif dalam bawang putih supaya bukan hanya kesan placebo yang diperolehi.

Berikut dikongsikan penjelasan oleh ahli kimia, Dr Fatimah Salim berkenaan bahan kimia dan nutrisi bawang putih.

Bahan kimia aktif utama dalam bawang putih ialah allicin. Ianya sejenis bahan kimia organik bersulfur (organosulfur) yang mempunyai bau tengit dan berasa pedas menyengat. Bahan kimia aktif ini terbentuk hasil tindakbalas bahan kimia pencetus allicin dan enzim alliinase.

Seperti di dalam tumbuhan bebawang lain, kedua bahan kimia pencetus (alliin dan enzim alliinase) terpisah di ruang masing-masing dalam sel. Semasa proses mencincang/melenyek bawang putih, sel-sel akan terpecah menyebabkan dua bahan kimia ini terbebas dari ruang masing-masing dan bertindakbalas membentuk bahan kimia aktif allicin.

Disebabkan ketidakstabilan, alliin kemudiannya akan melalui beberapa fasa perubahan struktur molekul membentuk pelbagai bahan kimia organosulfur berkaitan yang mana memberikan kepelbagaian kepada bau dan rasanya.

Bolehkah bahan kimia aktif allicin terhasil tanpa memusnahkan sel bawang putih?

Tidak. Proses biosintesis penghasilan allicin hanya akan berlaku apabila sel pada bawang ini dimusnahkan dengan aktiviti memotong, melenyek, mencincang atau menumbuk.

Semakin banyak sel yang dimusnahkan (semakin lumat), semakin tinggi potensi untuk bahan kimia pencetus alliin dan enzim alliinase bertemu. Maka, semakin banyak allicin akan terhasil.

Jelas di sini cara pengendalian bawang putih sangat penting untuk penghasilan bahan aktif yang optimum. Tambahan pula, cara mengunakan bawang putih dalam masakan juga penting.

Jadi, apakah akan berlaku apabila bawang putih diMASAK (rebus, panggang, goreng)?

Tanpa daya memusnahkan sel bawang:

Apabila sel tidak dimusnahkan, bahan kimia pencetus alliin tidak akan bertemu dengan enzim alliinase, dan bahan kimia aktif allicin TIDAK akan terbentuk.

Apabila diikuti dengan aktiviti memasak, enzim alliinase akan termusnah (denatured). Enzim ini akan ternyahaktif pada suhu 40 degree Celsius, iaitu sedikit tinggi daripada suhu badan normal manusia.

Haba berterusan pula akan memusnahkan sel-sel bawang putih dan bahan kimia pencetus alliin juga ternyahasli.

Dengan daya memusnahkan sel bawang:

Semestinya bahan kimia aktif akan terbentuk. Namun, haba yang berterusan akan menyebabkan bahan kimia aktif allicin meruap.

Jadi, adakah bawang putih yang sudah masak ini tidak elok?

Tidak juga. Selain dari bahan kimia aktif allicin, ia juga mengandungi nutrisi stabil lain seperti karbohidrat, protein, mineral, vitamin dan pelbagai fitokimia yang memberikan keunikan bau dan rasanya.

Dan ini juga boleh dimanfaatkan oleh badan kita.

Bagaimana pula jika ia dinikmati bersama bahan berasid (aka masam)?

Aktiviti enzim alliinase berlansung pada keadaan neutral (pH 6.5-7).

Dengan menambahkan bahan berasid seperti cuka, limau, lemon, asam keping dan yang seangkatan dengan mereka, akan menyebabkan enzim ini kurang aktif.

Maka peratusan pembentukan bahan kimia aktif allicin dari alliin juga akan menjadi kurang.

Bagaimana pula dengan membakar seketika?

Membakar seketika dengan api perlahan, dan diikuti dengan memusnahkan sel bawang akan mengaktifkan lagi aktiviti enzim alliinase dan seterusnya menghasilkan lagi banyak bahan kimia aktif allicin.

Senarai gambar di bawah ini ialah kepelbagaian cara penyediaannya yang telah dilakukan sendiri oleh Dr Fatimah Salim untuk menguji jumlah kehadiran bahan kimia aktif allicin secara perbandingan.

Sumber: Fatimah Salim

Rasa pedas menyengat terbanyak adalah dalam bawang putih yang dibakar seketika (berkulit menambah sedikit keunikan dalam rasa), diikuti dengan mentah. Goreng dan rebus tidak mempunyai rasa ini. Memasukkan bawang putih cincang dalam air dan madu juga memberikan rasa yang berlainan.

Senang untuk dimakan, mudah dan menjimatkan masa. Ambil je sesudu dan taburan bawang_putih goreng crispy, pasti selera anda terbuka – Dapatkan Garlic Goreng Crispy Halal di SINI.

Baca juga:

Kesan Sampingan / Pengambilan Bawang Putih Berlebihan

Adakah pengambilan bawang putih mentah memberikan kesan sampingan?

YA.

Berikut adalah antara kesan sampingan pengambilan berlebihan:

  • Disebabkan Kehadiran bahan kimia semulajadi bersulfur, ia mempunyai bau masam menyengat yang kuat yang mana boleh menyebabkan nafas berbau.
  • Bahan kimia aktif allicin bersifat asid yang mampu merengsakan kulit. Maka, cairkan dengan air, minyak atau madu.
  • Perlu diingat bawang ini mempunyai sifat pencairan darah. Maka, elakkan mengambilnya secara berlebihan apabila terluka kerana proses pembekuan darah pada kawasan luka akan menjadi lambat. Ini akan menyebabkan pendarahan berterusan.
  • Terdapat kajian yang menunjukkan ia mampu berinteraksi dengan aktiviti ubat rawatan. Maka, mereka yang ‘on medication’, berbincanglah dengan doktor perubatan anda sebelum mengambil bawang putih mentah bersama dengan ubat.

INGAT, apa-apa yang berlebihan berpotensi membawa mudarat. Ambil tahu tahap kesihatan diri dan jaga badan yang Allah amanahkan kepada kita sebaiknya.

Nota: Bahan kimia aktif allicin bersifat larut minyak.

Sumber : Bahagian Pemakanan – KKM, Fatimah Salim via Makmal Makanan (Ahli Akademi Sains Malaysia / Institut Kimia Malaysia)

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut