Pada 12 Disember 2024 yang lepas, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan kenaikan kadar subsidi bagi bantuan Flysiswa untuk tahun 2025 nanti.
Ini bermakna, pelajar IPT Semenanjung yang melanjutkan pengajian di IPT Sabah/Sarawak dan pelajar IPT di Sabah/Sarawak boleh mendapatkan tiket penerbangan mereka pada harga yang lebih murah setelah ditolak dengan pemberian subsidi oleh kerajaan ini.
Pengenalan Bantuan Tiket Kapal Terbang Pelajar IPT (Subsidi Udara MOT @ Flysiswa)
FLYsiswa merupakan satu inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti di bawah KPT, Kolej Matrikulasi dan Institusi Pendidikan Guru KPM bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pemberian bantuan ini dilakukan bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan ke atas kesusahan yang dihadapi para siswa yang perlu bekerja separuh masa hanya kerana ingin membeli tiket kapal terbang untuk pulang ke rumah mereka sewaktu musim perayaan atau cuti semester.
Kita sedia maklum bahawa tiket antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak ada kalanya terlalu mahal umpama pergi melancong ke luar negara. Oleh itu, dengan pemberian bantuan subsidi tiket kapal terbang ini walaupun hanya bernilai RM400 secara one-off, boleh membantu meringankan sedikit beban para pelajar khususnya mereka yang berasal daripada keluarga B40.
Artikel berkaitan: Semakan Pinjaman PTPTN & Tarikh Bayaran Online
Kadar Bantuan FLYSiswa 2025
Seperti yang dinyatakan di perenggan sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, telah mengumumkan kenaikan kadar bantuan subsidi bagi bantuan tiket penerbangan pelajar universiti awam untuk laluan domestik Semenanjung, Sabah, Sarawak.
Kadar bantuan FLYsiswa 2025 terbaru telah dinaikkan daripada RM300 ke RM400.
Pemberian bantuan subsidi ini bakal memanfaatkan lebih 74,500 pelajar dari universiti awam, politeknik, IPG, dan matrikulasi, serta dianggarkan 60,000 pelajar yang menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.
https://subsidiudara.mot.gov.my
Terma & Syarat Permohonan Flysiswa 2025
Antara terma dan syarat bagi bantuan subsidi tiket penerbangan ini adalah seperti berikut:
- Pelajar yang layak untuk menerima subsidi ini adalah semua pelajar warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada tahun 2025 dalam kategori berikut;
- berasal dari Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Semenanjung Malaysia;
- berasal dari Semenanjung Malaysia (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan;
- berasal dari Sabah (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan;
- berasal dari Sarawak (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan; atau
- berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Sarawak.
- Hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal (Semenanjung Malaysia/ Sabah/ Sarawak/ Labuan) dan tempat pelajar sedang menuntut (Semenanjung Malaysia/ Sabah/ Sarawak/ Labuan);
- Hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Aviation Group (Malaysia Airlines/ MASwings/ FireFly), AirAsia, Batik Air dan MYAirline;
- Permohonan baucar hanya dibenarkan sekali sahaja daripada mana-mana satu (1) syarikat penerbangan; dan
- Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Disember 2025. Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.
Fasa Permohonan Bantuan FLYsiswa 2025
Bagi pelajar sedia ada atau pelajar yang baru sahaja ingin menyambung pelajaran di universiti awam atau di pusat pengajian tinggi yang ada dinyatakan di bahagian sebelum ini. Berikut merupakan fasa atau tarikh permohonan yang perlu anda tahu, jika anda ingin memohon bantuan subsidi penerbangan kapal terbang ini:
- Fasa 1 – Mulai 1 Januari 2025
- Pelajar sedia ada dan baharu yang berdaftar dengan institusi pendidikan tinggi masing-masing sehingga 30 September 2024
- Fasa 2 – Mulai 1 April 2025
- Pelajar baharu yang berdaftar dengan institusi pendidikan tinggi masing-masing antara 1 Oktober sehingga 31 Disember 2024
- Fasa 3 – Mulai 1 Julai 2025
- Pelajar baharu yang berdaftar dengan institusi pendidikan tinggi masing-masing antara 1 Januari sehingga 31 Mac 2025
Tarikh Penebusan / Pembelian Tiket Kapal Terbang
Bagi anda yang telah layak untuk memohon subsidi penerbangan IPT ini, anda boleh melakukan penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan sehingga 31 Disember 2025 sahaja.
Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.
Cara Semakan Kelayakan Bantuan Tiket Kapal Terbang Pelajar IPT
Bagi pelajar IPT yang ingin melakukan permohonan bantuan subsidi kapal terbang ini, anda boleh melakukan semakan kelayakan di laman rasmi https://subsidiudara.mot.gov.my
Sila masukkan nombor MyKad dan pilih Nama Institusi untuk semakan.
Bagi yang layak anda boleh terus melakukan permohonan bantuan daripada mana-mana syarikat penerbangan yang dinyatakan dan jika anda tidak layak anda boleh mencuba sekali lagi dengan membuat rayuan semula.
Cara Pembelian Tiket
Setelah membuat semakan, pelajar yang layak boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan dariapda mana-mana satu syarikat penerbangan berikut:
- Malaysia Airlines
- AirAsia
- BatikAir
- Firefly
- MASwings
Pemberian bantuan subsdidi tiket kapal terbang ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell iaitu syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik.
Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM400, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya.
Rayuan Flysiswa
Untuk membuat permohonan rayuan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan ini, para pelajar universiti awam perlu mengambil langkah-langkah seperti berikut:
- Membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan. Sekiranya pelajar didapati tidak layak, pelajar boleh klik rayuan bagi memulakan permohonan rayuan;
- Mengisi maklumat-maklumat pelajar yang dipohon bagi semakan pentadbir di institusi pendidikan masing-masing;
- setelah diperakukan dan disahkan pentadbir di institusi pendidikan masing-masing dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi universiti awam, kolej komuniti dan politeknik atau Kementerian Pendidikan bagi kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru, pelajar akan mendapat e-mel pemakluman kelulusan rayuan; dan
- pelajar boleh meneruskan permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di syarikat penerbangan yang dipilih oleh pelajar.
*NOTA : tempoh untuk pelajar membuat rayuan adalah mulai 15 April 2025 hingga 30 September 2025.
Aduan & Maklumat Lanjut
Bagi pelajar yang menghadapi masalah atau mempunyai aduan berkenaan tiket penerbangan yang ditebus menggunakan subsidi ini, anda boleh memaklumkan di syarikat penerbangan pilihan anda dengan cara berikut:
- Malaysia Airlines Berhad/ FireFly/ MASwings
- Sebarang aduan berkenaan baucar FlySiswa yang dimohon daripada Malaysia Airlines boleh dibuat terus melalui pautan feedback form. Pelajar perlu memilih “Enquiry” untuk “Type”, “General” untuk “Area” dan “Others” bagi “Category”.
- AirAsia
- Sebarang aduan berkenaan baucar FlySiswa yang dimohon daripada AirAsia, boleh dibuat terus melalui saluran “AskBo” pada laman sesawang AirAsia dengan memilih shortcut button “FLYsiswa”.
- Batik Air Malaysia
- Sebarang aduan berkenaan baucar FlySiswa yang dimohon daripada Batik Air Malaysia, boleh dibuat terus melalui e-mel kepada [email protected].
Pelajar juga boleh membuat pertanyaan atau aduan dengan Kementerian Pengangkutan di e-mel [email protected]
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://subsidiudara.mot.gov.my atau rujuk Soalan Lazim (FAQ) di SINI.