Bacaan Tahiyat Akhir Berserta Maksud – Rumi & Bahasa Melayu

tahiyat akhir
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Bacaan Tahiyat Akhir Beserta Maksudnya – Panduan Rumi & Bahasa Melayu 

Apabila menunaikan solat, kita perlu mengetahui rukun-rukun solat bagi memastikan ibadah solat kita sah.Meninggalkan salah satu rukun solat secara sengaja menyebabkan solat akan terbatal.

Terdapat 13 rukun solat yang wajib kita lakukan iaitu;

  1. Berdiri tegak.
  2. Niat.
  3. Takbiratul ihram.
  4. Membaca surah al-Fatihah.
  5. Rukuk dengan tama’ninah. 
  6. Iktidal.
  7. Sujud.
  8. Duduk antara dua sujud dengan tama’ninah.
  9. Duduk tasyahud / tahiyat akhir dengan tama’ninah.
  10. Membaca tasyahud / tahiyat akhir.
  11. Membaca selawat ke atas nabi Muhammad SAW pada tasyahud/tahiyat akhir.
  12. Memberi salam yang pertama.
  13. Tertib

Jelaslah, bacaan tahiyat akhir adalah merupakan salah satu rukun solat yang wajib kita lakukan dengan sempurna (baca dengan makhraj dan tajwid yang betul). 

Bagi yang baru belajar, berikut dikongsikan bacaan tahiyat akhir beserta maksudnya dalam rumi & bahasa melayu. 

BACA JUGA: Solat Taubat – Niat, Cara Menunaikannya & Doa – Mudah saja!

Bacaan Tahiyat Akhir

Bacaan Tahiyat Akhir Beserta Maksudnya - Panduan Rumi & Bahasa Melayu

Bacaan Tahiyat Akhir Dalam Rumi:

Attahiyatul Mubarakatush Solawatuth Thayyibatu Lillah.

Assalamu’alaika Ayyuhan Nabiyyu Warahmatullahi Wabarakatuh.

Assalamu’alayna Wa ’alaa ‘ibadillahis Solihin.

Asyahadu Allaa Ilaha Illallah.

Wa ’asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.

Allahumma Solli ’alaa Muhammad Wa ’alaa Ali Muhammad.

Kama Sollayta ’ala Ibrahim Wa ’alaa Ali Ibrahim.

Wabarik ‘alaa Muhammad Wa ’alaa Ali Muhammad.

Kama Barakta ‘alaa Ibrahim Wa ’alaa Ali Ibrahim Fil ‘alamin Innaka Hamidum-Majid.

Maksud Tahiyat Akhir: 

Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi.

Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah.

Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad.

Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.

Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.

Bacaan Tahiyat Akhir Beserta Maksudnya - Panduan Rumi & Bahasa Melayu

Cara Duduk Tahiyat Awal vs Tahiyat Akhir

Bacaan Tahiyat Akhir Beserta Maksudnya - Panduan Rumi & Bahasa Melayu

Terdapat dua jenis duduk yang dilakukan oleh seseorang ketika tahiyat akhir. Yang pertama adalah duduk tawarruk, dan keduanya adalah duduk secara iftirash.

Tawarruk bermaksud: Seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.

Manakala iftirash pula membawa erti: Seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.

Duduk tawarruk adalah duduk yang disunnahkan ketika tasyahud akhir pada solat empat rakaat seperti Zohor dan Asar, demikian juga disunatkan pada solat tiga rakaat seperti solat Maghrib. 

Manakala duduk secara iftirash pula, ia disunatkan ketika duduk di antara dua sujud, ketika tasyahud awal bagi solat tiga rakaat dan empat rakaat, serta ketika tasyahhud akhir bagi solat dua rakaat seperti solat subuh, solat tahiyyatul masjid, dan selainnya daripada solat-solat sunat.

Doa Selepas Membaca Tahiyyat Akhir –  Sebelum Memberi Salam

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، 

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، 

وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ

Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.” 

– Riwayat al-Bukhari (832)

RUJUKAN:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut