Ayat Kursi – Maksud, Kelebihan & Manfaat Mengamalkannya

ayat kursi
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Ayat Kursi adalah merupakan ayat ke 255 dalam Surah Al-Baqarah yang digelar sebagai Penghulu Segala Ayat Al-Quran. 

Ayat ini menerangkan mengenai keagungan Allah SWT serta kekuasaanNya yang tidak terbatas dan kebesaranNya sebagai pencipta alam ini. 

Berikut dikongsikan keistimewaan dan beberapa manfaat mengamalkan ayatul kursi. 

Pengenalan

Sejak kecil lagi, kita diajarkan untuk menghafal ayatul kursi kerana manfaat dan keistimewaannya. 

Menurut Imam al-San’ani seperti ayat di bawah, ayatul kursi ini istimewa kerana dalam ayat ini ia menerangkan nama-nama dan sifat-sifat Allah. 

Ia juga merupakan syiar kebesaran Allah yang memiliki kekuasaan meliputi tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi.

وَاخْتَصَّتْ آيَةُ الْكُرْسِيِّ بِذَلِكَ لِمَا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ مِنْ أُصُولِ الْأَسْمَاءِ وَالصِّفَاتِ الْإِلَهِيَّةِ، وَبِالْوَحْدَانِيَّةِ، وَالْحَيَاةِ، وَالْقَيُّومِيَّةِ، وَالْعِلْمِ، وَالْمُلْكِ، وَالْقُدْرَةِ، وَالْإِرَادَةِ

Maksudnya: “Kelebihan ayat ini Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak)”. 

[Lihat: Subul al-Salam, 297/1]

Ayat Kursi & Terjemahan Bahasa Melayu

Firman Allah SWT:

اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلَا نَوْمٌ ۚ لَّهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ مَن ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِندَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِّنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Maksudnya:
” Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).
Yang tidak mengantuk usahkan tidur.
Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.
Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.
Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).
Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.
Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)”.

(Surah Al-Baqarah, Ayat 255)

Ayat Kursi, Keistimewaan & Manfaat Mengamalkannya

BACA JUGA: Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi – KPM

Kesitimewaan Membaca & Mengamalkannya

1. Dijanjikan Syurga

Sesiapa yang mengamalkan ayatul kursi selepas setiap kali solat fardhu, Allah menjanjikannya syurga. Ini adalah berdasarkan hadis berikut;

Daripada Abi Umamah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap selepas kali solat fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati”. 

[Riwayat al-Thabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (7532)] [Riwayat al-Nasa’ie di dalam al-Sunan al-Kubra (9848)][Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban]

2. Ayat Pelindung Diri Sebelum Tidur

Seperti yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a dalam riwayat al-Bukhari, syaitan tidak akan berani mendekati mereka yang membaca ayatul kursi sebelum tidur.

Oleh itu, kita digalakkan untuk membaca ayat ini sebelum tidur untuk melindungi diri daripada gangguan syaitan. 

3. Melindungi Rumah

“Sesungguhnya, seorang yang membaca ayat Kursi setiap kali masuk ke rumahnya, maka syaitan akan keluar dari rumah tersebut.” (Tafsir Ibn Kathir)

4. Terpelihara Dari Bala Bencana & Gangguan Syaitan

Dalam hadith-hadith Nabi, (Bukhari, Muslim dan lain-lainnya) diterangkan bahawa Ayatu’l-Kursi” ialah Penghulu ayat-ayat Al-Quran, dan sesiapa yang mengamalkannya akan terpelihara ia dari bala bencana dan dari gangguan syaitan, serta mendapat pahala yang besar.

5. Mendapat Pahala Yang Besar & Mengingati Keagungan Allah

Menurut Sheikh Dr. Yusuf al-Qardhawi :

إن آية الكرسي بها عشر جمل كلها ثناء على الله عز وجل، والجملة الأولى «الله لا إله إلا هو» وهي تثبت التوحيد، لا شريك لله

“Sesungguhnya ayat Kursi ini memiliki sepuluh bahagian ayat, kesemua pembahagian ini memuji Allah. Kenyataan pertama dari ayat ini dimulakan dengan nama Allah yang mana ia mengesahkan keesaan Allah dan tiada sekutu bagi Allah.”

Dengan membaca ayat kursi, kita dapat mengingati dan menghayati keagungan serta kebesaran Allah yang tiada batasannya. 

RUJUKAN:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1446-irsyad-al-hadith-siri-ke-136-kelebihan-membaca-ayat-al-kursi

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut