Senarai Alat Muzik Tradisional Di Malaysia

alat musik tradisional
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai adat dan budaya, Malaysia juga tidak ketinggalan mempunyai alat muzik tradisional yang tersendiri.

Sekalipun alat muzik ini telah lama digunakan, sebahagiannya masih digunakan sehingga hari ini termasuklah digunakan bagi acara-acara rasmi dan juga majlis perkahwinan.

Alat-alat muzik ini juga menggambarkan identiti kaum dan budaya yang berbeza yang menjadi keunikan di Malaysia.

Maksud Alat Muzik

Alat muzik merupakan alat yang dibuat atau dimodifikasi untuk tujuan menghasilkan muzik.

Terdapat 4 jenis alat muzik iaitu:

  • Alat muzik tiup –  Bunyi yang dihasilkan oleh peniupan
  • Alat muzik bertali –  Bunyi dihasilkan melalui pemetikan
  • Alat muzik tekan –  Bunyi dihasilkan dengan menekan
  • Alat muzik perkusi –  Bunyi dihasilkan melalui pemukulan

Senarai Alat Muzik Tradisional Malaysia

Antara alat muzik yang bersifat tradisional yang popular di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Sape
  • Gong
  • Gedombak
  • Sompoton
  • Seruling
  • Tabla
  • Bo
  • Kompang
  • Nafiri
  • Rebab
  • Gambus
  • Rebana

i) Sape

Sape merupakan alat muzik tradisional berasal dari Kalimantan Timur.

Ia lazimnya dimainkan dimainkan bagi mengiringi berbagai persembahan suku Dayak.

Malah satu ketika dahulu alat muzik ini digunakan untuk mengiringi upacara spiritual mengubati pesakit dalam kalangan suku berkenaan.

Alat muzik sape dimainkan sama seperti gitar dan gambus tetapi tidak menggunakan pemetik tetapi hanya menggunakan ibu jari dan jari jemari yang lain.

ii) Gong

Gong merupakan alat muzik yang bukan saja cukup terkenal dalam kalangan masyarakat di Sabah sebagai alat muzik, malah menjadi pelengkap kepada sesebuah tradisi bagi suku kaum tertentu.

Bagi sesetengah masyarakat di Sabah, selain sebagai alat muzik, gong juga digunakan sebagai pemberian dalam sesebuah perkahwinan.

Ianya ini diperbuat daripada besi dan ada juga gong yang diperbuat daripada gangsa yang bercampur timah.

Jenis gong yang lazimnya digunakan dipanggil tawak-tawak dan sering dimainkan dalam pelbagai persembahan muzik tradisi seperti dalam persembahan Mak Yong.

iii) Gedombak

Gedombak adalah sejenis alat muzik yang dimainkan secara paluan yang mana permukaannya dibuat daripada belulang haiwan.

Alat muzik ini juga tergolong di dalam keluarga gendang tetapi hanya sebelah permukaan sahaja tertutup dan sebelah lagi terbuka.

iv) Sompoton

Sompoton adalah sejenis alat muzik yang diperbuat dari sejenis labu dan menggunakan lapan laras buluh sumbiling.

Labu yang digunakan ialah labu yang ditanam khas yang tidak boleh dimakan dan untuk tujuan ini labu tersebut (labu tua) dikeringkan dahulu dan kemudian isinya dibuang.

Aalat ini adalah popular di Sabah khususnya dalam dikalangan masyarakat Kadazandusun.

Ianya dimainkan secara perseorangan untuk hiburan sendiri atau dalam kumpulan.

vi) Seruling

Seruling merupakan sejenis alat muzik dari keluarga woodwind dan merupakan sebuah alat aerofon yang mengeluarkan bunyi daripada aliran udara yang merentasi lubang.

Suatu ketika dahulu, ia hanya diperbuat daripada buluh, yang memperlihatkan alat muzik ini sangat dekat dengan alam.

Namun kini, seiring dengan perkembangan zaman, seruling moden ada yang diperbuat daripada logam aluminium, kayu serta pvc.

vii) Tabla

Tabla merupakan sejenis alat muzik tradisional yang sangat terkenal dalam masyarakat kaum India yang dikatakan berasal dari gendang Mridangam.

Ianya dimainkan secara solo atau mengiringi upacara keagamaan, persembahan, barathanatyan, perkahwinan dan sebagainya

Alat muzik ini mempunyai sepasang gendang iaitu Sidda (gendang kecil) dan Dagga (gendang besar) yang ada satu muka masing-masing.

Badannya dibuat daripada kayu jati, rosewood dan jackwood manakala kulit kambing ditampal pada permukaan tabla untuk menghasilkan bunyi irama yang indah.

viii) Bo

Bo yang juga dikenali sebagai Po adalah sejenis alat muzik yang diklasifikasikan dalam kumpulan Idiofon yang sangat popular semasa Dinasti Sui dan Dinasti Tang.

Ia juga merupakan sepasang piring bulat yang rata yang biasanya diperbuat daripada kepingan gangsa.

Alat muzik ini biasanya digunakan masyarakat Cina untuk menghalau hantu kerana ianya menganggap bunyi yang kuat sebagai baik sepertimana amalan mereka membakar mercun.

ix) Kompang

Kompang ialah sejenis alat muzik tradisional paling popular bagi masyarakat Melayu yang tergolong dalam kumpulan alat muzik gendang, namun kulit kompang biasanya diperbuat daripada kulit kambing.

Alat muzik ini mempunyai baluh berbingkai dibuat daripada kayu, lazimnya kayu jenis nangka.

Kebiasaannya, seurat rotan diselit di bahagian belakang di antara kulit dan bingkai kayu bertujuan menegangkan permukaan kompang dan menguatkan bunyi kompang tersebut.

Pada zaman dahulu, kompang diguna bagi membakar semangat tentera ketika berperang, namun kini kompang sudah menjadi sebahagian daripada budaya dan kesenian muzik orang Melayu di Nusantara. 

x) Nafiri

Nafiri merupakan sejenis alat tiupan horn yang diperbuat dari perak dan berukuran panjang 32 inci.

Ia juga mengeluarkan bunyi yang sayup dan menggerunkan.

Alat muzik ini dimainkan dalam muzik nobat dalam majlis hiburan kaum kerabat diRaja, mengiringi istiadat-istiadat istana, istiadat pertabalan, hari keputeraan Sultan, perkahwinan diRaja dan upacara sambutan diRaja. 

xi) Rebab

Rebab dikatakan sebuah alat muzik tradisional yang paling lama dan tertua di negara Malaysia. 

Ianya digunakan sebagai alat muzik dalam persembahan tarik selampit, main puteri dan juga mak yong.

Selain itu, ia juga merupakan sejenis alat muzik kebudayaan yang wujud hasil daripada idea kreatif masyarakat Melayu.

xii) Gambus

Gambus merupakan sejenis alat muzik bertali tradisional di Malaysia yang berbentuk seperti buah pear yang dibelah dua. 

Gambus tergolong dalam alat muzik jenis ‘petik’ yang dikatakan berasal dari Timur Tengah.

Ianya terdapat dalam pelbagai jenis iaitu dari gambus tiga tali sehingga gambus yang mempunyai 12 tali.

xiii) Rebana

Rebana ialah alat muzik pergendangan tradisi Melayu dan tergolong dalam kategori membranofon. 

Alat muzik ini mempunyai kerangka yang bulat diperbuat daripada kayu dan sebelah mukanya ditutupi oleh kulit binatang serta dipukul dengan tapak tangan untuk mengeluarkan bunyi yang lantang.

Ia biasanya dimainkan secara berkumpulan yang terdiri daripada 12 hingga 15 orang pemain. 

Info Lanjut

Info lanjut mengenai alat muzik tradisional, sila baca:

Baca juga: Muzikal Lawak Superstar 2024 [LIVE] Minggu Akhir & Keputusan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut