Nama Al-Arqam sudah tidak asing lagi di Malaysia sebagai sebuah kumpulan ajaran sesat yang sangat popular sekitar tahun 70-an.
Justeru, artikel pada kali ini kami ingin berkongsi kepada anda berkenaan dengan sejarah pertubuhan sesat Al-Arqam dan bentuk-bentuk kesesatan yang diharamkan.
Baca juga:
- Kronologi & Perkembangan Terkini Kes GISB Holdings
- Cafe & Restoran Ikhwan
- Sistem Penilaian Penjawat Awam
Apa itu Al-Arqam?
Pertubuhan Al-Arqam adalah kumpulan ajaran sesat yang telah difatwakan haram, sesat dan menyeleweng di Malaysia.
Ia juga dikenal pasti sebagai kumpulan kedua yang membawa ajaran sesat di Selangor selepas gerakan Ajaran Salah (Haji Kahar).
Kumpulan Al-Arqam dikatakan sangat aktif berevolusi dari sudut penjenamaan dan penampilan, serta memiliki pengikut yang sangat ramai.
Strategi penyebaran kumpulan ini adalah melalui bidang pendidikan, penerbitan, perniagaan, perubatan, pakaian sunnah, dan hiburan islamik.
Asal Usul dan Sejarah
Pada tahun 1968, Ashaari bin Muhammad bersama beberapa orang sahabatnya telah menubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan dengan Kumpulan Rumah Putih di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Ia ditubuhkan dengan misi kononnya untuk menyedarkan umat Islam agar lebih menghayati makna Islam. Namun beberapa tahun selepas itu, kumpulan ini telah menukar nama gerakan mereka kepada Darul Arqam.
Beberapa tahun selepas itu tersebar khabar angin tentang wujudnya amalan Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh Ashaari Muhammad dan pengikutnya. Ini seterusnya telah menyebabkan beberapa orang kuat dalam Darul Arqam sendiri keluar dri jemaah tersebut dan berlakunya pemecatan beberapa individu yang berpengaruh dalam kumpulan tersebut.
Isu ini berhaya mendapat perhatian media masaa kerapa reputasi Darul Arqam yang dilihat sangat berjaya dan kehadapan dalam menjana ekonomi kumpulan mereka. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memanggil Ashaari Bin Muhammad untuk mendapatkan penjelasan berkaitan isu tersebut dan beberapa isu lain yang berkaitan dengan Aurad Muhammadiah.
Berdasarkan pengakuannya beliau mengaku tidak menyebarkan Aurad Muhammadiah, namun pada masa yang sama tidak menafikan mengamalkannya.
Beliau seterusnya mengeluarkan kenyataan akhbar menafikan bahawa beliau pernah menyatakan bahawa individu yang bertanggungjawab membawa Aurad Muhammadiah iaitu Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Suhaimi yang telah meninggal dunia pada tahun 1925 akan hidup semula sebagai Imam Mahdi di akhir zaman.
Rentetan dari beberapa isu akidah yang melanda Ashaari Bin Muhammad dan kumpulannya itu, akhirnya jawatankuasa fatwa negeri-negeri telah memutuskan bahawa fahaman Aurad Muhammadiah pengangan kumpulan Darul Arqam yang terkandung di dalam dua buah buku iaitu yang bertajuk “Aurad Muhammadiah Pegangan Dar Al-Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan” dan buku “Manaqib” (riwayat hidup) Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi” adalah bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.
Kedua-dua buah buku tersebut turut diharamkan kerana dibimbangi akan mengeliru dan menyesatkan umat Islam. Rentetan itu, Ashaari bin Muhammad dan beberapa pemimpin kanan kumpulan tersebut ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kemudiannya membuat pengakuan tentang penyelewengan Al-Arqam.
Ashaari bin Muhammad, kemudiannya dibebaskan dari tahanan tetapi masih dikenakan tahanan di rumah.
Beliau akhirnya meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.
Kesesatan Ashaari dan Al-Arqam
Berikut adalah beberapa kesesatan Ashaari dan Al-Arqam berdasarkan dari petikan buku daripada Khatijah Aam (Bekas Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Sdn. Bhd Holding) berjudul “Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya”.
1. Mendakwa Ashaari Muhammad adalah mujaddid dan diyakini sebagai pembantu Imam Mahdi
- “Allah lahirkan duta-Nya bertaraf mujaddid, pembawa Imam Mahdi yang kini amat diyakini, kemuliannyalah menyebabkan Malaysia jadi mulia.”
2. Mendakwa Rasulullah SAW berjumpa, berkomunikasi serta membawa berita bahawa Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim
- “…Rasulullah mendatanginya, bercakap-cakap padanya, memberi panduan dan berita-berita…”
3. Ashaari gemar membuat ramalan dengan mendakwa memperolehinya melalui mimpi yang benar, mempunyai kasyaf serta mendapat berita ghaib melalui talian roh seperti ilham dan yaqazah
- “…Sebenarnya Abuya Ashaari Muhammad termasuk orang yang direzekikan Allah dengan berita-berita ghaib ini. Kita bertuah kerana boleh menumpang manfaatnya sama…”
4. Mendakwa dan memperakui bahawa Syeikh Suhaimi adalah Imam Mahdi
- “Di majlis itu seseorang bertanya kepada Sayyidi Sheikh Suhaimi, apakah benar tuan Imam Mahdi? Sayyidi Sheikh Suhaimi bertafakur 15 minit dan kemudian angkat kepala lalu menjawab, ‘Ya, saya Imam Mahdi’.
5. Mempercayai dan memperakui dakwaan Sheikh Muhammad as-Suhaimi bahwa dia akan dighaibkan Allah, serta Allah mengizinkannya untuk dilihat seperti meninggal dunia
- “Kata Sayyidi Sheikh, ‘Insha Allah, saya akan dighaibkan Allah, tapi kalau hilang begitu sahaja, sedangkan saya begitu terkenal, akan jadi masalah. Maka Allah izinkan saya untuk dilihat seperti meninggal dunia walhal saya dighaibkan Allah.”
6. Menyamatarafkan Syeikh Suhaimi dengan Nabi Isa AS dengan mendakwa beliau mempunyai segala ciri Imam Mahdi dan ghaib seperti Nabi Isa AS
- “Hinggalah bilamana penjajah begitu mengancam maka Sayyidi Suhaimi yang mempunyai segala ciri Imam Mahdi itu ghaib, seperti ghaibnya Nabi Isa AS.”
7. Mendakwa Ashaari adalah orang Tuhan, orang Rasul yang diberikan wahyu atau ilham
- “Demikian sebenarnya kelahiran orang Tuhan, pemimpin kebenaran mestilah dari sejarah yang bersifat kebenaran. Tanpa itu, mustahil Allah hendak hidupkan agama-Nya yang mulia, di tangan orang yang kotor! Orang yang Tuhan, orang Rasul yang akan diberikan wahyu atau ilham tentulah dipersiapkan untuk mampu melakukannya.”
8. Mendakwa Rasulullah SAW telah menganugerahkan Aurad Muhammadiah kepada Syeikh Suhaimi dan Ashaari Muhammad
- “Kepada mereka (pengikut Ashaari), Rasulullah telah anugerahkan sebuah terekat khusus iaitu Aurad Muhammadiah.”
Apa itu Aurad Muhammadiah?
Aurad Muhammadiah ialah amalan atau wirid selepas setiap solat fardhu yang dimulai dengan bertawassul kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat seterusnya kepads Ashaari (Abuya) dan juga Syeikh Suhaimi yang dikenali sebagai Imam Mahdi Al-Muntazar.
Fatwa Kesesatan Al-Arqam
Pertubuhan Al-Arqam telah difatwakan sebagai SESAT sebagaimana direkodkan dalam buku Warta Kerajaan Fatwa Ajaran Sesat terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Ia secara rasminya diharamkan pada tahun 1994 dan segala aktiviti berkaitan dengan penyebarannya dalam apa jua bentuk yang boleh menghidupkan kumpulan Al-Arqam adalah DILARANG serta diminta BERTAUBAT.
Usaha Untuk Menghidupkan Semula Al-Arqam
Pada 21 Disember 2006, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan dalam fatwa bertajuk Usaha-usaha menghidupkan semula Al-Arqam melalui Syarikat Rufaqa Corporation Sdn Bhd (SRC) dan Rangkaian Syarikat Gabungan.
Syarikat tersebut dikesan membawa fahaman yang sama dengan al-Arqam sebagaimana difatwakan pada 11 Ogos 1994.
Pada 9 November 2013, Balu Ashaari, Hatijah Aam atau dikenali Ummu Jah bersama 300 pengikut lafaz taubat kerana melanggar arahan mufti yang mengharamkan ajaran kumpulan Al-Arqam dalam satu majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pada tahun 2017, JAIS mengenal pasti terdapat 19 daripada 39 kumpulan ajaran sesat dan menyelewng yang masih aktif di Selangor, termasuk Al-Arqam.
Ummu Jah kemudiannya, meninggal dunia di Medical Centre (KMC) di Alor Setar, Kedah pada 22 Oktober 2015.
Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita haruslah sentiasa berhati-hati dengan ajaran sesat yang semakin pesat di Malaysia ini. Kembalilah semula kepada panduan utama ajaran Islam yang benar sehingga akhir zaman iaitu Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW.
Sumber:
- Keratan Majalah Majalah Agama Islam Selangor, Bil 2/April 2021. Majlis Agama Islam Selangor
- Usaha-Usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaq’ Corporation Sdn. Bhd (SRC) dan Lain-Lain Syarikat. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia