10+ Aktiviti Menarik di Singapura & Tempat Wajib Dikunjungi

aktiviti menarik di singapura
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

10+ Aktiviti Menarik di Singapura & Tempat Wajib Dikunjungi

Walaupun saiznya yang kecil berbanding negara-negara jiran yang lain, Singapura menawarkan pelbagai tarikan dan aktiviti menarik yang tidak mengecewakan. 

Dengan gabungan landskap bandar moden, budaya yang pelbagai, dan kawasan semula jadi, Singapura menjadi antara negara pilihan pelancong dari seluruh dunia dan bertaraf global. Ia  menjanjikan pengalaman yang menyeronokkan bagi pelancong yang berulang kali datang mahupun baru pertama kali.

Artikel kali ini akan berkongsi lebih 10 tempat yang wajib dikunjungi dan aktiviti menarik di Singapura yang anda boleh cuba. 

Mari kita selami keunikan Kota Singa ini dan temui mengapa ia menjadi salah satu destinasi pelancongan paling popular di Asia Tenggara.

BACA JUGA: Universal Studios Singapore: Tiket Masuk, Tarikan Utama + Tips Penting!

Tempat & Aktiviti Menarik di Singapura

1. Jewel Changi Airport – Meneroka Kawasan Sekitar & Tarikan Utama Airport

Apabila tiba sahaja di Singapura di Jewel Changi Airport, perkara pertama yang anda harus lakukan adalah meneroka lapangan terbang tersebut. 

Di dalam lapangan terbang ini ada air terjun dalaman tertinggi di dunia tau. Air terjun tersebut dikenali sebagai Rain Vortex dan mempunyai ketinggian mencecah 40 meter!

Sumber: Jewel Changi

Selain itu, anda boleh menjelajahi Taman Kanopi (Canopy Park) yang menyediakan pelbagai aktiviti seperti Sky Nets, Mirror Maze, dan Hedge Maze yang sesuai untuk semua peringkat umur. Kedua-dua Rain Vortex dan Canopy Park ini terletak di Level 5.

Kalau dah lapar, ada banyak restoran yang anda boleh cuba di sini. Bagi yang muslim, pastikan anda mencari restoran yang menyediakan makanan halal. 

Sumber: Jewel Changi Airport

Tips:

  • Sebelum memulakan penerokaan, gunakan kemudahan penyimpanan bagasi yang terdapat di Level 1 untuk menyimpan barang-barang bagi membolehkan anda bergerak bebas tanpa beban. 
  • Untuk memudahkan anda, muat turun aplikasi Changi yang membolehkan anda merancang perjalanan dan membuat tempahan untuk restoran. 

2. Gardens by the Bay –  Mengambil Gambar Dengan View Menarik

Bagi peminat fotografi mahupun sesiapa yang ingin merasai pengalaman yang unik, Gardens by the Bay adalah destinasi yang tidak boleh dilepaskan. 

Antara tarikan di sini ialah, Cloud Forest dan Flower Dome, Supertree Grove dan OCBC Skyway. Masing-masing mempunyai daya tarikannya tersendiri. 

Sumber: Google Review

Tarikan terbaru di Gardens by the Bay adalah ‘Serene Garden’, sebuah taman Jepun kontemporari yang menawarkan ketenangan di tengah-tengah kesibukan bandar.

Taman ini menggabungkan elemen tradisional seperti batu dan air dengan reka bentuk moden, mencipta ruang yang sempurna untuk berehat dan bermeditasi.

Tips: Beli tiket secara dalam talian untuk mengelakkan beratur panjang dan nikmati diskaun eksklusif.

3. Galeri Nasional Singapura – Melihat Pameran & Karya Seni

Berkunjung di Galeri Nasional Singapura juga antara aktiviti menarik di Singapura yang wajib anda lakukan. Lagi-lagi sekiranya anda seorang peminat seni. 

Galeri ini menempatkan lebih dari 9.000 karya seni dari seluruh Asia Tenggara dan menawarkan pengalaman yang interaktif kepada pengunjungnya.

Sumber: Google Review

Ada enam galeri utama di sini iaitu DBS Singapore Gallery, UOB Southeast Asia Gallery, dan Wu Guanzhong Gallery. 

Galeri ini juga menawarkan pengalaman interaktif melalui pelbagai pameran dan program edukasi, serta acara khas seperti “Art After Dark” yang menggabungkan seni, muzik, dan makanan.

Tips: 

  • Beli tiket masuk secara dalam talian untuk dapatkan diskaun dan harga promosi. 
  • Muat turun aplikasi galeri untuk lawatan berpandu interaktif.

4.  Kampong Glam – Merasai Suasana Tempatan & Budaya

Sumber: Visit Singapore

Untuk merasai suasana tempatan yang meriah di Singapura, anda boleh berkunjung ke Kampong Glam. Kampong ini menawarkan suasana budaya yang penuh warna dengan pengaruh Melayu, Arab, dan India. 

Kampung Glam juga merupakan pusat budaya Melayu-Islam di Singapura. Ada banyak tarikan yang anda boleh rasai di sini. Memang best!

Sumber: Visit Singapore

Salah satunya ialah Masjid Sultan. Masjid ini merupakan ikon utama Kampong Glam. Anda boleh menyertai lawatan berpandu interaktif yang menggunakan teknologi augmented reality (AR) untuk menceritakan sejarah masjid serta komuniti Islam di Singapura.

Di samping itu, anda juga boleh bersiar-siar di Haji Lane yang terkenal dengan kedai-kedai butik dan kafe hipster. Lorong jalan ini juga menjadi lebih meriah dengan penambahan mural-mural baru yang dihasilkan oleh artis tempatan dan antarabangsa. 

Sumber: Visit Singapore

Setiap hujung minggu, jalan ini bertukar menjadi pasar seni jalanan yang meriah, di mana pengunjung boleh membeli kraftangan tempatan dan menyaksikan persembahan secara langsung. 

Bukan itu sahaja, anda juga boleh menghabiskan masa di Bussorah Street yang terkenal dengan kedai-kedai karpet dan tekstil tradisional. Kini ia juga menempatkan beberapa galeri seni kontemporari yang menampilkan karya-karya artis Melayu dan Islam moden. 

Tips: Jangan lupa untuk mencuba makanan Melayu dan teh tarik autentik di salah satu restoran tradisional di kawasan ini.

5. Singapore Botanic Gardens – Melawat Tapak UNESCO

Walaupun sudah berusia 165 tahun, Singapore Botanic Gardens masih mampu menawan hati pengunjung. Taman tropika yang luar ini terletak di tengah-tengah kawasan beli-belah Orchard Road yang sibuk. Masuk je dalam taman ini rasa macam dekat dunia lain. Tenang dan damai.

Sumber: National Parks Board

Taman ni bukan calang-calang tau, ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ada lebih 10,000 spesies flora di taman ini dan yang paling menarik sekali ialah Taman Orkid Kebangsaan.

Kalau anda peminat bunga-bungaan, mesti kena pergi sini. Ada lebih 1,000 spesies dan 2,000 kacukan orkid yang berwarna-warni, cantik tak terkata!

Sumber: National Parks Board

Menariknya lagi, masuk ke sini percuma sahaja kecuali nak masuk Taman Orkid la. Taman ini dibuka dari awal pagi sehingga malam. Memang boleh la habiskan satu hari kat sini, explore semua yang ada. Tak payah risau pasal transport, senang je nak sampai guna MRT. 

6.  The Intan – Mendalami Budaya Peranakan

Seterusnya, aktiviti menarik di Singapura yang anda boleh lakukan adalah dengan meluangkan masa untuk berkunjung ke The Intan, sebuah muzium peranakan persendirian yang menjadi salah satu destinasi budaya di Singapura. 

Sumber: Google Review

Terletak di sebuah rumah kedai yang telah diubahsuai dengan penuh teliti, The Intan menawarkan pengalaman yang benar-benar istimewa dan peribadi. 

Bayangkan anda melangkah masuk ke dalam rumah seorang kawan Peranakan yang mesra, disambut dengan senyuman lebar dan secawan teh harum. Itulah suasana yang akan anda rasai di The Intan.

Muzium ini ditubuhkan oleh Alvin Yapp iaitu seorang pengumpul barangan antik yang ramah dan suka bercerita. 

Beliau sendiri akan membawa anda menjelajah melalui koleksi artifak Peranakan yang ada di sini, yang setiap satunya mempunyai cerita tersendiri. 

Sumber: Visit Singapore

Apa yang membuat The Intan benar-benar istimewa adalah pengalaman hands-on yang ditawarkan. Anda boleh mencuba pakaian tradisional Peranakan, belajar seni sulaman manik yang rumit, atau mengambil bahagian dalam kelas memasak untuk mempelajari rahsia di sebalik hidangan Peranakan yang lazat. 

Seronokkan?!

Jadi, kalau anda nak merasai pengalaman budaya yang benar-benar unik dan peribadi di Singapura, The Intan adalah tempat yang tepat. 

Tips: Untuk melawat ke sini, anda perlu membuat tempahan awal.

7. Merlion Park – Spot Wajib Ambil Gambar

Ini adalah lokasi wajib dikunjungi bila anda melawat Negara Singa ini. Terletak di Marina Bay, taman ini menempatkan patung Merlion setinggi 8.6 meter, dengan reka bentuk unik yang menggabungkan kepala singa dan badan ikan. 

Sumber: Visit Singapore

Nak tahu tak, kepala singa itu melambangkan asal-usul Singapura sebagai “Temasek,” yang bermaksud “kota laut,” sementara badan ikan pula menggambarkan sejarah negara ini sebagai perkampungan nelayan. 

Kawasan ini memang spot yang sangat popular untuk mengambil gambar kenang-kenangan. Di tambah lagi dengan latar belakang Marina Bay Sands yang futuristik, Singapore Flyer, dan jambatan Helix, memang tidak hairanlah ia menjadi tumpuan ramai.  Pada waktu malam, kawasan ini menjadi lebih meriah dengan pancaran lampu yang menerangi teluk.

Sumber: Google Review

Taman ini juga menyediakan ruang yang santai untuk berjalan kaki, sambil mendengar bunyi air pancur dari patung Merlion yang mengalir ke dalam teluk​. Selain itu, anda juga boleh jalan-jalan ke tempat menarik berdekatan contohnya, Teater Esplanade. 

8. Pulau Ubin – Merasai Suasana Kampung Tradisional Dalam Kemodenan

Aktiviti menarik di Singapura yang anda boleh lakukan seterusnya ialah berkunjung ke Pulau Ubin. Di sini anda berpeluang merasai suasana kampung tradisional atau “kampung” yang jarang ditemui di Singapura moden.

Pulau ini adalah salah satu tempat terakhir di Singapura yang mengekalkan keaslian alam semula jadi dan suasana desa. Ada banyak aktiviti menarik yang anda boleh lakukan di sini, antaranya ialah berbasikal mengelilingi seluruh pulau, bersiar-siar di kawasan sekitar, berkhemah dan sebagainya. 

Sumber: Google Review

Selain itu, di pulau ini juga terdapat tarikan untuk mereka yang sukakan alam, antaranya ialah Chek Jawa Wetlands yang menempatkan enam habitat berbeza dalam satu kawasan.

Jangan lupa juga untuk mendaki Bukit Puaka, titik tertinggi di Pulau Ubin. Dari puncaknya, anda dapat  menikmati pemandangan menakjubkan Ubin Quarry dan kawasan sekitarnya. 

Dengan pelbagai aktiviti dan tarikan yang ditawarkan, Pulau Ubin pasti akan memberi anda pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan membuatkan anda ingin kembali lagi!

9. Night Safari – Melihat Haiwan Nokturnal

Sekiranya anda mencari aktiviti menarik di Singapura pada waktu malam, Night Safari Singapura adalah destinasi yang boleh dipertimbangkan. 

Sumber: Google Review

Nak tahu tak, Night Safari di Singapura adalah tarikan malam pertama di dunia yang dikhaskan untuk melihat haiwan nokturnal dalam habitat semula jadi mereka. Di sini anda berpeluang melihat bagaimana haiwan bertindak pada waktu malam, yang selalunya lebih aktif berbanding siang hari.

Selain itu, anda juga boleh menyertai sesi memberi makan badak India dari jarak dekat. Jangan lupa juga untuk menonton persembahan ‘Creatures of the Night’, di mana anda boleh menyaksikan bakat semula jadi haiwan-haiwan nokturnal yang ada di sini.

Sumber: Google Review

Di sini terdapat lebih 2,500 haiwan daripada 130 spesies berbeza, termasuk beberapa spesies terancam seperti harimau Malaya dan kucing batu Asia.  

Untuk meneroka semua kawasan di sini, anda boleh memilih untuk menaiki trem berpandu atau berjalan kaki melalui empat laluan khas. Dua-dua pun seronok. 

Tips: Jangan gunakan lampu suluh biasa atau lampu kamera kerana ia boleh mengganggu haiwan. Sebaliknya, bergantung pada pencahayaan khas yang disediakan.

10. Pulau Sentosa – Mencuba Semua Tarikan yang Ada 

Pulau Sentosa juga antara salah satu tempat menarik di Singapura yang menawarkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur. Ia terletak hanya 15 minit daripada pusat bandar Singapura. 

Sumber: Traveloka

Salah satu tarikan utama di sini adalah Universal Studios Singapore, sebuah taman tema yang terkenal dengan pelbagai permainan dan pertunjukan berinspirasikan filem. 

Selain itu, Sentosa juga terkenal dengan pantai-pantainya yang menakjubkan seperti Siloso Beach dan Palawan Beach, di mana anda boleh bersantai sambil menikmati pemandangan laut yang indah serta bermain aktiviti air seperti parasailing dan jet ski. 

Sumber: Sentosa

Satu lagi tarikan menarik di Sentosa adalah S.E.A. Aquarium, salah satu akuarium terbesar di dunia. Di sini, anda dapat melihat pelbagai spesies hidupan laut dari seluruh dunia dalam suasana yang menakjubkan. 

Baru-baru ni pun, Sentosa dah tambah lagi satu tarikan baru yang memang menakjubkan – Sentosa Sensory Scape. Projek bernilai S$90 juta ni bukan calang-calang, tau. Ia jadi sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk jadikan Sentosa ni destinasi percutian yang digemari ramai.

Sumber: Sentosa

Sentosa juga menawarkan pelbagai pilihan tempat makan dan membeli-belah, daripada restoran mewah sehinggalah ke kafe-kafe yang santai. Pokoknya semua ada di sini!

Tips: 

  • Gunakan Sentosa Express untuk akses mudah ke pulau, atau cuba berjalan melalui Sentosa Boardwalk untuk pemandangan indah. 
  • Tempah tiket dalam talian untuk menikmati diskaun dan mengelakkan barisan panjang.

11. Marina Bay Sands – Menerokai Tarikan yang Ada

Marina Bay Sands adalah salah satu mercu tanda paling ikonik di Singapura. Terkenal dengan pemandangan memukau dan tarikan bertaraf dunia, kawasan ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pelancong. 

Salah satu daya tarikan utama ialah Marina Bay Sands dengan tiga menara hotel yang bersambung melalui Sands SkyPark. 

Sumber: Google Review

Dari atas SkyPark, anda boleh menikmati pemandangan 360 darjah bandar Singapura sambil berenang di kolam infiniti tertinggi di dunia. Di bawahnya, anda boleh bersantai di The Shoppes at Marina Bay Sands, kompleks beli-belah mewah dengan butik berjenama dan restoran terkenal.

Pada waktu malam pula, kawasan sekitar Marina Bay ni jadi lagi cantik. Ada pertunjukan cahaya dan air yang dipanggil ‘Spectra’, free je nak tengok. 

12. Art Science Museum 

Art Science Museum ini terletak di Marina Bay. Jadi, alang-alang ke Marina Bay anda boleh singgah ke sini. Bangunannya yang berbentuk bunga teratai sudah cukup untuk menarik perhatian sesiapa sahaja yang melawat kawasan Marina Bay. 

Sumber: Marina Bay Sands

Tetapi apa yang ada di dalamnya lebih mengagumkan lagi! 

Muzium ini mempunyai 21 ruang pameran yang merangkumi hampir 5,000 meter persegi, dan sejak dibuka pada tahun 2011, ia telah menjadi tuan rumah kepada pameran-pameran besar oleh artis-artis terkenal dunia seperti Leonardo da Vinci dan Vincent van Gogh.

Sumber: Viator

Selain itu, muzium ini sentiasa mempunyai pameran-pameran baharu dan menarik, jadi setiap kali anda melawat, pasti ada sesuatu yang baru untuk dilihat.  Setiap tahun, muzium ini akan menganjurkan pameran berskala besar yang menarik pengunjung dari seluruh dunia.

Penutup

Sebagai penutup, Singapura adalah destinasi yang kaya dengan pelbagai pengalaman menarik dan unik yang pasti akan meninggalkan kesan mendalam kepada setiap pengunjung. 

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk meneroka keindahan dan keunikan yang ditawarkan oleh negara ini. Pastikan anda merancang percutian anda dengan baik agar dapat menikmati pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Selamat menjelajah dan nikmati setiap momen di Singapura!

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut