Air detox sering menjadi pilihan individu yang ingin menurunkan berat badan kerana ia dipercayai dapat membantu menyingkirkan toksin serta lemak dalam badan.
Namun, sejauh manakah keberkesanannya terhadap tahap kesihatan seseorang?
Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Apa Itu Air Detox?
Air detox Ia biasanya dihasilkan dengan menyeduh (infuse) air kosong dengan hirisan buah-buahan atau sayur-sayuran segar. Ia juga sering digelar sebagai fruit-infuses water atau fruit-flavored water.
Disebabkan ia dihasilkan dengan menyeduh perisa semulajadi, air detox dikatakan lebih berkhasiat dan kurang kalori daripada jus buah-buahan. Inilah yang membuatkan minuman ini menjadi pilihan ramai individu yang sedang berdiet.
Selain jus buah tanpa gula, minuman segar ini juga merupakan salah satu minuman alternatif yang lebih sihat bagi menggantikan minuman bergula seperti soda dan minuman kordial.
Kelebihan Air Detox Untuk Kesihatan
Minuman detox dikatakan dapat memberikan kesan baik terhadap kesihatan antaranya :
- Mengimbangi pH dalam badan
- Meningkatkan kesihatan sistem pencernaan
- Menyingkirkan toksin dalam badan
- Membaiki mood
- Meningkatkan tenaga
- Baik untuk kesihatan kulit wajah
Menurut perkongsian daripada Healthline, agak mustahil untuk mempercepat proses pembuangan toksin dalam badan dengan mengamalkan air detox. Namun, adalah penting untuk anda kekal hidrat setiap hari.
Tambahan pula, pengambilan 8 gelas air kosong sehari dapat memberikan manfaat kepada kesihatan antara membantu menurunkan berat badan berlebihan, melancarkan sistem pencernaan, meningkatkan tenaga dan membaiki mood dan menggalakkan fungsi ketahanan badan yang lebih optimum.
Pada masa yang sama, tidak salah untuk anda amalkan minum air kosong mencukupi dengan khasiat tambahan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pada masa yang sama, rasanya yang segar juga dapat membuatkan seseorang lebih berminat untuk amalkan minum air kosong mengikut keperluan harian.
Cara Buat Air Detox di Rumah
Sangat mudah untuk hasilkan minuman ini di rumah. Apa yang anda perlukan adalah buah-buahan, sayur-sayuran dan herba segar.
Hiris ramuan yang anda gemari dan tambahkannya ke dalam air kosong bersuhu panas atau sejuk.
Semakin banyak ramuan yang anda letak, semakin kuat rasa minuman yang dihasilkan.
Antara kombinasi bahan yang anda boleh cuba untuk hasilkan minuman detox adalah :
- Daun pudina dan timun.
- Halia dan lemon
- Oren dan blackberry
- Tembikai dan pudina
- Grapefruit dan rosemary
- Oren dan lemon
- Strawberi dan daun basil
- Epal dan kulit kayu manis
Sekiranya anda membuat air detox sejuk, anda boleh tinggalkannya di dalam peti sejuk selama 1 hingga 12 jam bagi memastikan perisa semulajadi diseduh dengan lebih lama.
Namun, anda harus pastikan supaya membuang hirisan buah, sayur dan herba selepas 12 jam bagi mengelakkan ia ‘membusuk’ di dalam air.
Sekiranya anda kesuntukan masa, anda juga boleh melenyekkan sedikit ramuan yang ingin digunakan agar perisa dapat diseduh dengan lebih pantas.
Kesimpulannya, minuman detox tidak dapat menyingkirkan toksin dalam badan sebagaimana yang orang ramai sering perkatakan.
Walau bagaimanapun, ia merupakan sebuah minuman alternatif yang lebih baik berbanding minuman bergula atau berkarbonat.
Ia juga mempunyai kelebihan yang hampir sama dengan mengamalkan minum air kosong yang mencukupi setiap hari.
Sumber : Healthline