Sistem Suria: Maksud & Cara Terbentuk

Salah satu subjek di dalam mata pelajaran Sains yang perlu dipelajari oleh murid di sekolah menengah adalah sistem suria.

Oleh itu, murid akan mempelajari apakah yang dimaksudkan sistem ini, bagaimana ia terbentuk dan apakah planet di dalam sistem ini.

Maksud Sistem Suria

Sistem ini adalah salah satu sistem yang terdapat di dalam galaksi bima sakti yang terdiri daripada berbilion bintang, lapan planet, meteor, asteroid dan komet yang mengelilingi matahari mengikut orbit yang berbeza pada satah yang rata.

Matahari merupakan salah satu keluarga sistem suria yang paling besar dari segi saiz dan jisimnya.

Oleh kerana itulah, matahari mampu menarik jasad-jasad yang beredar mengelilinginya kerana kuasa graviti yang besar.

Keseluruhan jumlah jisim yang  ada dalam keluarga sistem suria ialah 99.9% hasil daripada sumbangan matahari dan kesemua planet yang mengorbit matahari menerima sumber haba dan cahaya yang boleh hidup disebabkan suhu yang terlalu sejuk. 

Sistem Suria Terbentuk

Lebih kurang 4.5 bilion tahun yang lalu, sistem ini telah terbentuk daripada gas-gas terutamanya hidrogen dan debu-debu yang mengandungi partikel-partikel daripada unsur-unsur yang lebih berat seperti karbon, silikat, besi dan lain-lain daripada hasil letusan Supernova atau dari nebula planet.

Debu-debu yang membentuk sistem ini dipanggil “Nebulosa Suria” dan ianya bermula apabila gas-gas dan debu-debu ini mula berkumpul sesamanya.

Apabila nebula sudah berkumpul, ia akan menarik gas-gas dan debu-debu yang lain untuk ke arah pusatnya akibat  daripada daya tarikan graviti antara mereka.

Pertambahan pemgumpulan debu-debu dan gas-gas akan menjadi bebola gas yang makin besar, mampat, padat dan panas.

Ini mengakibatkan putaran bermula, tarikan debu-debu bertambah dan gas-gas yang tertarik ke arahnya. 

Sebaik sahaja putaran makin kuat, maka daya centrifugal pada satah khatulistiwa bebola gas tadi akan bertambah dan ia akan mengurangkan tarikan debu-debu dan gas-gas jatuh atau runtuh ke arah pusatnya. 

Ini mengakibatkan debu-debu dan gas-gas yang berada disekitarnya akan menjadi leper dan rata pada satah khatulistiwa bebola gas tadi.

Pada pusat pula tekanan yang kuat dan dengan ketumpatan yang tinggi menyebab pelanggaran gas-gas dan molekul di dalamnya akan bertambah dan ini akan menghasilkan kepanasan yang luar biasa yang dikenali Protosun atau Proto Matahari.

Dengan bertambahnya jisim pada Proto Matahari tadi maka proses pelakuran mula terjadi pada pusatnya dengan mengeluarkan tenaga cahaya, haba dan pelbagai julat tenaga tinggi yang cukup besar, maka lahirlah Matahari.

Manakala debu-debu dan gas-gas pada bahagian piring luar pada satah khatulistiwa yang ikut berpusing akan bergabung  membentuk bebola-bebola yang besar menjadi planet-planet pelbagai saiz.

Planet-planet terbentuk dengan proses yang dikenali sebagai “akresi” dan oleh itu, planet-planet yang berada berdekatan dengan Matahari seperti Utarid, Zuhrah, Bumi dan Marikh mengandungi bahan-bahan yang tahan kepanasan yang tinggi seperti silikat dan besi.

Manakala planet-planet jauh dari Marikh seperti Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun mengandungi bahan-bahan yang mudah meruwap seperti gas metana, hidrogen helium.

Kesemua planet ini jauh lebih besar dari planet-planet yang berada berdekatan dengan Matahari.

Planet Dalam Sistem Suria

Planet-planet dalam yang ada dalam sistem ini adalah seperti berikut:

i) Planet Utarid

  • Planet yang paling dekat dengan Matahari, iaitu kira-kira 57.9 juta kilometer.
  • Planet terkecil dalam sistem suria. Diameter Utarid adalah 40% lebih kecil daripada Bumi, dan 40% lebih besar daripada bulan. Malahan, saiznya juga lebih kecil daripada bulan Musytari, Ganymede; dan bulan Zuhal, Titan.
  • Permukaan Utarid adalah lebih kurang sama dengan permukaan bulan, dengan kawah-kawah asteroid dan tebing yang berpuluh-puluh kilometer tingginya. Namun, disebabkan ketiadaan atmosfera, cahaya tidak dapat diserakkan. Akibatnya, langit kelihatan gelap seperti di angkasa lepas.

ii) Planet Zuhrah

  • Planet kedua terdekat dengan Matahari.
  • Zuhrah juga dikenali sebagai planet ‘rumah hijau’ kerana kandungan karbon dioksida yang tinggi di dalam atmosferanya.
  • Zuhrah juga berputar dari timur ke barat, berbeza dengan Bumi dan planet-planet lain, iaitu dari barat ke timur. Hal ini bermakna di Zuhrah, Matahari akan terbit dari barat.
  • Saiz dan usia Zuhrah sama dengan Bumi tetapi iklimnya jauh lebih mencabar, dengan suhu sekitar 460°C.

iii) Planet Bumi

  • Planet ketiga dari Matahari.
  • Merupakan satu-satunya tempat di alam semesta yang dihuni makhluk hidup.
  • Bumi mempunyai lapisan udara yang dikenali sebagai atmosfera yang melindungi permukaan Bumi daripada angin suria, sinaran ultraungu berbahaya dan radiasi dari angkasa lepas.
  • Lebih 71% kawasan Bumi dilitupi oleh air dan 29% terdiri daripada daratan.

iv) Planet Marikh

  • Planet keempat dari Matahari dan juga dikenali sebagai Planet Merah.
  • Marikh mempunyai dua bulan, iaitu Phobos dan Demos.
  • Marikh hanya mempunyai keluasan 25% permukaan Bumi dan 10% jisim Bumi.
  • Jika dipandang dari Bumi, atmosfera Marikh dapat dibahagikan kepada dua kawasan yang berbeza. Kawasan yang lebih cerah dilitupi oleh debu dan pasir kemerahan, manakala kawasan kutub mengandungi air beku dan karbon dioksida.

v) Planet Musytari

  • Planet kelima dari Matahari dan juga planet yang terbesar daripada lapan planet dalam sistem suria.
  • Jisimnya hampir 320 kali ganda daripada jisim Bumi dan mempunyai jisim dua kali ganda daripada jumlah jisim semua planet dalam sistem suria.
  • Musytari dikatakan sebagai pelindung kepada Bumi, iaitu mampu memesongkan objek-objek besar daripada melanggar Bumi dengan daya gravitinya yang sangat kuat.

vi) Planet Zuhal

  • Planet keenam dari Matahari dan planet kedua terbesar dalam sistem suria.
  • Zuhal dikelaskan sebagai planet gergasi bergas.
  • Mempunyai sistem gelang atau cecincin yang kebanyakannya terdiri daripada ais dengan sejumlah kecil serpihan batuan dan debu.
  • Sebanyak 62 bulan yang ditemukan setakat ini mengorbit planet berkenaan. Saiz Titan, bulan Zuhal yang terbesar (selepas Ganymede), adalah lebih besar daripada planet Utarid.

vii) Planet Uranus

  • Planet ketujuh dari Matahari.
  • Unsur pertama di bahagian dalam Uranus ialah ais dan batu. Uranus merupakan planet ketiga terbesar dalam sistem suria. Sering digelar sebagai planet gergasi bergas oleh ahli astronomi.
  • Uranus mempunyai sistem cecincin seperti Zuhal tetapi nipis dan gelap.
  • Uranus mempunyai banyak bulan.
  • Merupakan planet yang unik kerana paksi putarannya condong ke sisi, hampir selari dengan orbitnya yang mengelilingi Matahari.
  • Uranus mengambil masa 84 tahun (waktu di Bumi) untuk mengelilingi Matahari.

viii) Planet Neptun

  • Planet kelapan dari Matahari.
  • Juga dikelaskan sebagai planet gergasi bergas.
  • Mengambil masa hampir 165 tahun (waktu di Bumi) untuk mengelilingi Matahari.

Sumber:

Baca juga: Petrosains – Harga Tiket Masuk & Tarikan Utama Wajib Dicuba!

Bantu kami share artikel ini: