Bunga Pahar dan Simboliknya Dalam Adat Melayu

Dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa adat dan tradisi yang masih menjadi amalan sehingga ke hari ini. Salah satu daripadanya adalah bunga pahar atau bunga telur. 

Bukan sekadar hiasan atau buah tangan semata-mata, malah bunga pahar mempunyai simbolik yang unik dalam kalangan masyarakat Melayu. 

Maksud Bunga Pahar

Bunga pahar adalah kuntuman bunga diikat telur yang kemudiannya dipacak pada pulut kuning di kiri dan kanan mempelai.

Lama kelamaan, ramai yang memilih untuk menggunakan tempat bunga pahar atau ;kaki pahar’ yang diperbuat daripada besi, tembaga dan sebagainya kerana lebih mudah dan kukuh.

Namun, ada yang masih mengekalkan adat dengan meletakkan pulut yang telah dibungkus bersama jambangan bunga pahar.

Sumber : Facebook NijeRos

Bunga telur ini seterusnya akan diberikan kepada saudara mara terdekat, yang dijemput merenjis air mawar, menepung tawar serta menabur bunga rampai pada kedua mempelai.

Terdapat sesetengah majlis kahwin yang turut memberikan bunga telur ini sebagai buah tangan kepada tetamu yang hadir. 

Simbolik dan Tradisi Bunga Pahar / Bunga Telur

Dalam adat Melayu, telur yang diikat pada bunga melambangkan kesuburan. Justeru, pemberian bunga telur atau tradisi bunga pahar dianggap sebagai cara untuk mendoakan agar pasangan mempelai tersebut subur dan dikurniakan zuriat pada masa terdekat. 

Pada masa yang sama, ia turut menjadi tanda ingatan tulus ikhlas daripada pihak pengantin. 

Kira-kira 2 atau 3 dekad yang lalu, kebanyakan majlis kenduri kerap mengamalkan tradisi membeli beratus-ratus biji telur ayam untuk direbus di dalam periuk besar. 

Ia kemudiannya dimasukkan ke dalam bekas sebelum dibalut, dimasukkan ke dalam bekas atau digubah menjadi bunga telur. 

Rekaan bunga telur pada zaman dahulu boleh dilihat menerusi balutan tisu atau tuala. 

bunga pahar
Sumber : Facebook Anajingga dot com

Ada juga yang diletakkan di dalam bekas kaca, rotan atau kayu. 

Lebih menarik lagi, bunga telur yang berwarna-warni kemudiannya disusun menjadi bunga pahar.

Jenis pilihan bagi rekaan bunga pula sangat menarik dengan berasaskan pelbagai fabrik seperti reben, organza dan renda.

 Ia sekaligus menjadi penyeri tempat persandingan mempelai dan menambat hati tetamu untuk dibawa pulang. 

bunga pahar
Sumber : Facebook Telur Pindang Tradisi Johor

Pada zaman ini, sesetengah pengantin akan menggantikan bunga telur dengan buah tangan lain seperti gula-gula, bertih jagung dan jajan yang dibungkua dengan cantik. 

Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti tidak pandai menyediakan telur, risiko banyak telur yang pecah ketika direbus serta masalah telur yang tidak tahan lama untuk disimpan. 

Di samping itu, pengantin juga mungkin tidak berkesempatan untuk hasilkan bunga pahar kerana ia hanya dapat disediakan satu atau dua sebelum majlis. 

Tambahan pula, kini terdapat pelbagai pilihan produk cenderahati di pasaran menjadikan pemberian bunga telur semakin dipinggirkan dan tidak lagi menjadi pilihan utama bagi sesebuah majlis perkahwinan.  

Meskipun begitu, lambakan cenderahati seperti kek, gula-gula dan bertih jagung tidak mempunyai nilai sentimental yang kuat seperti bunga telur. 

Manakan tidak, setelah dimakan atau digunakan, kotak dan bekasnya akan dibuang begitu sahaja. 

bunga pahar
Sumber : Facebook Khalid Abdul

Sebagai orang Melayu, adalah tanggungjawab kita untuk meneruskan adat pemberian bunga telur agar ia tidak hilang ditelan zaman. 

Tambahan pula, ia mempunyai nilai sentimental yang lebih mendalam buat para tetamu yang hadir ke majlis. 

Sumber : Pusat Antarabangsa i-PUTRA, Harian Metro, Mstar

Baca Juga : Bahasa Melayu Klasik: Contoh & Senarai Kosa Kata

Bantu kami share artikel ini: