PTPS Sabah: Portal Permohonan Penajaan Pendidikan

Individu dari negeri Sabah yang memerlukan penajaan pendidikan kini boleh membuat permohonan melalui satu portal bersepadu iaitu Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS).

Portal ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 3 Julai 2024 yang lalu di Menara Kinabalu.

Umumnya, portal ini memperkasakan serta memudahkan penyaluran bantuan kepada anak Sabah terutama pada peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri tersebut.

Untuk mengetahui mengenai portal ini, sila baca selanjutnya di bawah.

Mengenai PTPS Sabah

PTPS merupakan inisiatif baharu di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya untuk memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah, terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat Pengajian Tinggi.

Portal ini berfungsi sebagai portal bersepadu yang menyelaraskan badan penaja dan pemberi bantuan, serta menjadi platform rasmi bagi para pelajar untuk memohon tajaan pendidikan.

Menariknya, portal ini melibatkan kerjasama antara badan-badan penaja utama seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Kumpulan Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan (Tugas-tugas Khas), dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Portal ini menyediakan kemudahan bagi pelajar untuk mengemukakan permohonan secara atas talian di mana-mana sahaja.

Objektif PTPS Sabah

Objektif portal ini diwujudkan adalah untuk memastikan anak-anak Sabah mendapat akses pendidikan tanpa halangan kewangan dan menyediakan infrastruktur serta kemudahan yang diperlukan untuk semua peringkat pendidikan.

Jenis Tajaan

Terdapat 5 jenis tajaan yang boleh dipohon menerusi portal ini iaitu:

i) Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS)

BKNS menawarkan tajaan seperti Anugerah Biasiswa Tuan Yang Terutama yang Dipertua Negeri Sabah (TYT), Biasiswa Cemerlang dan Biasiswa Perdana untuk mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana.

ii) Dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah

Tajaan seperti Dermasiswa Pengajian Tinggi MUIS untuk pelajar-pelajar yang mengikuti bidang pengajian selain pengajian Islam, serta Bantuan Yuran Pendaftaran Awam dan Tiket Penerbangan (One Off).

iii) Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TTK)

Tajaan bantuan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer 2.0 (BAIK) dan Subsidi Kapal Terbang (Subfly).

iv) Biasiswa Kumpulan Yayasan Sabah

Yayasan Sabah menawarkan tajaan Dermasiswa/Biasiswa/Pinjaman Pengajian Tinggi yang mengikuti pengajian di peringkat Sijil, Diploma, ljazah Sarjana Muda, ljazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bagi sesi pengajian 2024.

v) Perbadanan Baitulmal Sabah

Bantuan Awal Pendidikan untuk pelajar-pelajar dari Negeri Sabah yang melanjutkan pengajian di IPTA, Politeknik, Matrikulasi, dan peringkat Sijil.

Cara Memohon

Untuk memohon, pemohon perlu membuat semakan kelayakan terlebih dahulu.

Semakan kelayakan ini boleh dibuat menerusi pautan portal ini iaitu https://ptps.sabah.gov.my/.

Selepas semakan kelayakan dibuat, pemohon boleh mendaftar masuk dan membuat permohonan.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai PTPS Sabah, sila layari laman web https://ptps.sabah.gov.my/ atau menghubungi 088-368600.

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini: