Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0): Panduan & Muat Turun

Standard Guru Malaysia (SGM) merupakan sebuah dokumen yang menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerbitkan Standard Guru Malaysia (SGM) pada tahun 2009.

KPM mengambil inisiatif untuk membuat semakan semula SGM dan menghasilkan Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0) berasaskan panduan Southeast Asia Teacher Competency Framework (SEA-TCF).

Penggubalan SGM 2.0

Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:

  • Pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil dan realistik
  • Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan, dan
  • Proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.

Tujuan SGM 2.0

Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Berikut merupakan tujuan utama mengapa Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0) diperkenalkan:

Penilaian Kendiri: Guru boleh menggunakan SGM 2.0 untuk membuat penilaian kendiri. Hasil penilaian ini, guru dapat mengenal pasti standard kompetensi yang dimiliki dan seterusnya merancang keperluan latihan bagi pembangunan kerjaya mereka.

Pembangunan Profesionalisme Berterusan: Pihak sekolah dan institusi pendidikan memanfaatkan hasil penilaian kendiri guru untuk merancang Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) dan melaksanakan program atau latihan berasaskan sekolah untuk meningkatkan profesionalisme guru dan pembangunan organisasi.

Instrumen Penilaian Kompetensi: SGM 2.0 digunakan sebagai panduan kepada pembuat dasar untuk membangunkan instrumen penilaian kompetensi guru dan penetapan kriteria serta syarat-syarat pemilihan dan pengambilan guru.

Keperluan Latihan: Pembekal latihan menggunakan SGM 2.0 sebagai rujukan untuk mengenal pasti keperluan latihan yang bersesuaian dengan keperluan laluan kerjaya dan PPB guru.

Artikel berkaitan: SKPM : Standard Kualiti Pendidikan Malaysia KPM

Kerangka SGM 2.0

Standard Guru Malaysia

Kerangka SGM 2.0 didasari oleh dua komponen utama, iaitu Standard Kompetensi dan Etika Keguruan.

Standard Kompetensi terdiri daripada empat domain, iaitu Orientasi Ilmu, Instruksional, Pelibatan Komuniti, dan Kualiti Peribadi.

Kerangka ini juga merangkumi Etika Keguruan yang dijelaskan melalui empat teras, iaitu Tanggungjawab terhadap Profesion, Tanggungjawab terhadap Murid, Tanggungjawab terhadap Ibu Bapa/Penjaga, dan Tanggungjawab terhadap Masyarakat dan Negara.

Muat turun PDF

Untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai pelaksanaan dan panduan Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0), sila muat turun buku SGM2.0 secara percuma versi e-buku (ebook) dengan mengklik pautan di bawah:

[Muat turun PDF]

SGM menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang.

Buku Standard Guru Malaysia, bersama-sama dengan buku Panduan Standard Guru Malaysia dan Manual Instrumen Standard Guru Malaysia akan dapat memastikan guru yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.

Bantu kami share artikel ini: