Dasar Gaji Progresif 2024: Jadual Gaji Pokok & Insentif Majikan

Berdasarkan beberapa kajian yang telah dilakukan, kenaikan gaji para pekerja di Malaysia tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Gaji Progresif untuk memastikan pemberian upah/gaji yang adil kepada semua pekerja.

Kertas Putih bagi cadangan Dasar Gaji Progresif ini telah dibentangkan pada 30 November 2023. Anda boleh rujuk pautan ini untuk melihat perincian mengenai dasar ini.

Berikut dikongsikan info terkini mengenai Dasar Gaji Progresif.

Apa itu Dasar Gaji Progresif?

Dasar Gaji Progresif merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk memastikan pemberian upah/gaji yang adil kepada semua pekerja.

Pihak kerajaan komited untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat bagi meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.

Dasar ini akan memberi manfaat kepada pekerja peringkat permulaan dan pekerja bukan peringkat permulaan daripada pelbagai sektor yang bergaji antara RM1500 DAN RM4999 sebulan.

Majikan akan mendapat tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menyumbang kepada produktiviti, daya saing dan pendapatan syarikat.

Tiga Asas Dasar Gaji Progresif

Dasar Gaji Progresif yang bertujuan menangani isu gaji rendah yang membelenggu golongan pekerja di negara mempunyai tiga ciri asas iaitu:

  1. Bersifat Sukarela: Syarikat yang berminat boleh mendaftat secara sukarela melalui sistem permohonan dalam talian (gajiprogresif.gov.my)
  2. Berteraskan Insentif: Syarikat berdaftar serta memenuhi syarat dan kriteria akan menerima insentif daripada pihak kerajaan.
  3. Terkait Produktiviti: Kenaikan gaji perlu seiring peningkatan tahap kemahiran dan produktiviti pihak pekerja.

Projek Rintis

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif ini telah dimulakan dengan projek rintis pada Jun 2024 sehinggalah Ogos 2024.

Pelaksanaan projek rintis DGP bertujuan untuk menilai ketersediaan dasar dan sistem yang dibangunkan serta menentukan sebarang penambahbaikan yang diperlukan.

Ia membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999. Pemilihan syarikat dibuat secara telus berdasarkan prinsip kesaksamaan, tahap keperluan sektor dan sokongan dasar.

Penilaian projek rintis akan dilaksanakan pada September 2024 untuk memastikan ketersediaan dasar sebelum pelaksanaan penuh secara menyeluruh dilaksanakan kepada semua majikan dan ekonomi.

Sebanyak RM50 juta disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan.

Pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula Oktober ini apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

Dasar Gaji Progresif: Usaha Tangani Isu Gaji Rendah

Majikan Gaji progresif – Syarat Kelayakan & Kadar Insentif

Syarat penyertaan majikan mendaftar sebagai Majikan Gaji Progresif dirangka dengan memberi tumpuan kepada syarikat tempatan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memandangkan majoriti pekerja yang menerima gaji rendah merupakan pekerja PMKS.

Prestasi Majikan Gaji Progresif akan dinilai melalui sistem penarafan bintang, berdasarkan dua komponen, iaitu komponen asas dan komponen bonus.

Tujuan sistem penilaian majikan adalah untuk membolehkan syarikat bersaing antara satu sama lain dari segi prestasi kenaikan gaji bagi mewujudkan budaya penetapan gaji yang lebih baik.

Penarafan bintang akan dikendalikan oleh agensi yang mempunyai kredibiliti supaya keputusan penarafan bintang dapat menjadi rujukan yang diterima oleh semua pihak.

Syarat Penyertaan

  • Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau lain-lain pertubuhan.
  • Berdaftar dengan PERKESO & KWSP.
  • Bukan syarikat berkaitan kerajaan dan multinasional.
  • Tuntutan insentif hanya kepada pekerja warganegara Malaysia.
  • Menggaji pekerja yang bekerja sepenuh masa di bawah satu kontrak perkhidmatan.
  • Menggaji pekerja yang menerima gaji pokok tidak melebihi had gaji ditentukan Jawatankuasa Eksekutif Pelaksanaan DGP.
  • Penyertaan dibuka kepada semua sektor kecuali pentadbiran awam dan pertahanan; aktiviti sosial wajib serta aktiviti badan dan pertubuhan luar wilayah.

Kadar Insentif

Kumpulan pekerja;

  1. Peringkat permulaan : Maksimum RM200/bulan.
  2. Bukan peringkat permulaan : Maksimum RM300/bulan.

Cara Permohonan

Majikan yang berminat untuk menyertai DGP boleh membuat permohanan secara dalam talian melalui laman sesawang: https://gajiprogresif.gov.my.

Proses permohonan majikan melibatkan:
i. Pendaftaran penyertaan Majikan Gaji Progresif;
ii. Kelulusan penyertaan;
iii. Permohonan insentif;
iv. Kelulusan insentif; dan
v. Pembayaran insentif.

MUAT TURUN:

Dasar Gaji Progresif

Berikut adalah jadual matriks gaji untuk pekerja peringkat permulaan yang dimuatkan dalam Buku Panduan Gaji Pokok Permulaan dan Kenaikan Tahunan untuk Sektor-Sektor Terpilih, Kementerian Sumber Manusia.

Dasar Gaji Progresif
Dasar Gaji Progresif
Dasar Gaji Progresif
Dasar Gaji Progresif

Rujuk sepenuhnya melalui lampiran di bawah:

Pelaksanaan Mulai Oktober 2024

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) secara menyeluruh seperti dijangka akan dilaksana pada Oktober 2024, selepas penilaian impak projek rintis DGP selesai dilaksanakan pada September ini.

Walaubagaimanapun, pihak majikan yang berminat untuk menyertai DGP sudah boleh mula mendaftar bermula pada 15 Mei lalu, melalui laman sesawang berikut: www.gajiprogresif.gov.my 

Untuk pengetahuan umum, seramai 732 majikan sudah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif dan daripada jumlah itu, seramai 237 (32 peratus) majikan sudah mengemukakan permohonan untuk menyertai Projek Rintis DGP.

Terdapat empat Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan merentasi kementerian dan agensi telah ditubuhkan dan sedang melaksanakan gerak kerja untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.

Jawatankuasa tersebut merangkumi, Jawatankuasa Kerja Pembangunan Dasar, Jawatankuasa Pembangunan Sistem, Jawatankuasa Peningkatan Kemahiran dan Produktiviti serta Jawatankuasa Kerja Panduan Kenaikan Gaji Tahunan.

Perincian gaji progresif sektor swasta akan diumumkan secara terperinci dalam Belanjawan 2024.

Dasar Gaji Progresif diharapkan dapat menangani dan seterusnya mengatasi masalah dihadapi rakyat ketika ini, iaitu peningkatan gaji yang perlahan.

Menurut laporan Kertas Putih ‘Cadangan Dasar Gaji Progresif’, kadar pertumbuhan purata gaji penengah bulanan dari 2021 hingga 2022 hanya 4.1 peratus setahun.

Implikasi gaji rendah menyebabkan pekerja membelanjakan gaji mereka untuk perkara asas dan tidak berpeluang membuat simpanan.

Simpanan dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) pada puratanya sangat kecil. Mereka juga terpaksa membuat pinjaman dengan institusi kewangan.

Dasar Gaji Progresif: Usaha Tangani Isu Gaji Rendah

Prinsip Utama Dasar Gaji Progresif

Merujuk akhbar terbitan Berita Harian, berikut adalah prinsip dan ciri utama dalam Dasar Gaji Progresif:

1. Pendapatan pekerja akan diselaraskan dengan tahap produktiviti mereka. Ini bermakna, semakin tinggi produktiviti seorang pekerja, semakin tinggi gaji diterimanya, sekali gus mendorong pekerja meningkatkan kemahiran dan prestasi.

2. Dasar ini mampu mengatasi keherotan struktur gaji pekerja. Salah satu tujuan utama adalah untuk mengatasi masalah jurang gaji antara pekerja baharu dan lama serta graduan, implikasi daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum.

Dengan Dasar Gaji Progresif, jurang ini diharapkan dapat dikurangkan melalui penilaian prestasi dan produktiviti lebih objektif.

3. Kejayaan Dasar Gaji Progresif perlu kerjasama dan komitmen majikan serta pekerja. Majikan perlu menyokong dan melaksanakan dasar ini dengan ikhlas, sementara pekerja perlu meningkatkan kemahiran dan produktiviti mereka.

4. Pembangunan kemahiran pekerja adalah penting untuk meningkatkan produktiviti mereka dan seterusnya pengeluaran syarikat. Peningkatan gaji bukan sahaja berdasarkan produktiviti semasa tetapi potensi masa depan pekerja.

Oleh itu, latihan dan pembangunan kemahiran akan menjadi komponen penting dalam dasar ini, memastikan pekerja mempunyai peluang untuk terus maju dalam karier mereka.

5. Dasar Gaji Progresif akan membabitkan pemantauan dan penilaian berterusan untuk memastikan keberkesanan serta keadilan dalam pelaksanaannya. Ini termasuk mekanisme maklum balas daripada pekerja dan majikan.

Secara keseluruhannya, prinsip Dasar Gaji Progresif adalah untuk mewujudkan satu sistem lebih adil dan seimbang. Peningkatan gaji berdasarkan sumbangan produktiviti individu yang akhirnya boleh membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat.

Dasar Gaji Progresif: Usaha Tangani Isu Gaji Rendah

Sumber:

  1. Instagram Berita Harian
  2. Facebook Jabatan Penerangan WPKL
  3. Bernama
Bantu kami share artikel ini: